Sunday, October 18, 2015
Manfaatkan Semua Aplikasi Teknologi Terkini Untuk Menang Pilihanraya – Arvind Gupta
KUALA LUMPUR : Ketua Biro Informasi Teknologi Pusat Parti
Bharatiya Janata (BJP) India, Arvind Gupta berkata, parti politik yang
ingin memenangi pilihanraya di negara masing-masing perlulah
memanfaatkan kelebihan rangkaian teknologi masa kini dengan
sebaik-baiknya.
Menurut beliau, teknologi yang wujud hari ini merupakan satu pemudah
cara atau pun platform yang dapat mendekatkan sesebuah parti politik dan
kepimpinannya bersama rakyat terbanyak di negara mereka.
“Contohnya seperti aplikasi whatsapp dan facebook di mana dua
aplikasi ini boleh dikatakan digunakan oleh sebahagian besar rakyat di
negara ini dan juga di seluruh dunia sebagai medium untuk berhubung dan
menyampaikan maklumat antara satu sama lain.
“Mana-mana parti politik ingin memenangi pilihan raya serta ingin
memperlihatkan parti mereka itu releven dengan teknologi masa kini,
perlulah memanfaatkan sebaik-baiknya aplikasi aplikasi teknologi yang
sudah tersedia ini yang amat berkesan dalam menyampaikan sebarang
informasi dengan cepat dan meluas,”tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap di forum Asean Conference On
Woman In Politics anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) yang bertempat di
Dewan Merdeka PWTC di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menggariskan lima perkara yang perlu
dilaksanakan oleh parti politik dalam menjalankan kempen- kempen bagi
menanamkan keyakinan rakyat terhadap parti politik mereka.
“Perkara yang pertama ialah manusia itu sendiri. Dalam politik,
manusia merupakan perkara asas yang pertama untuk sesebuah parti politik
mendekatkan diri dengan mereka yang bergelar pengundi mahupun ahli-ahli
parti dan jentera yang merupakan nadi utama yang menjadi penggerak
parti bagi melaksanakan kempen-kempen pilihanraya.
“Dalam usaha mendekati manusia-manusia ini, perkara kedua yang kita
perlukan ialah platform atau pun medium yang akan kita gunakan untuk
mendekati mereka dan di sinilah datangnya kepentingan aplikasi teknologi
terkini seperti whatsapp facebook dan lain-lain.
“Perkara ketiga ialah data-data berhubung pengundi dan juga trend
pengundian yang perlu kita kaji dan teliti. Yang keempat ialah dengan
mengadakan program-program yang kreatif dan dapat menarik minat rakyat
sama ada secara terus ataupun secara online,” jelasnya.
Manakala yang kelima menurut beliau inilah memikir dan melaksanakan
strategi dari sudut komunikasi dan juga lain-lain seperti penjenamaan
parti dan lain-lain lagi.
“Dan saya ingin menambah satu lagi perkara yang menjadi tambahan
kepada lima perkara tersebut dan merupakan yang paling penting iaitu
perlaksanaan. Tidak ada gunanya sebarang cadangan dan kertas kerja
program yang baik dan menarik jika ianya tidak dapat dilaksanakan dengan
baik.
“Perlaksanaan merupakan kunci kepada kejayaan sebuah parti politik di
dalam kempen-kempen mereka. pelaksanaan ini amat penting untuk
dilakukan dengan begitu teliti bagi memastikan kejayaannya.
“Ini kerana tidak ada guna bagi perancangan atau strategi yang baik
tanpa wujudnya satu pelaksanaan yang berjaya untuk mencapai objektif dan
matlamat sesebuah parti yang paling utama dalam kempen iaitu untuk
memenangi pilihanraya di negara masing-masing,”ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment