Wednesday, October 07, 2015

Melanggar Baiah, Kini Giliran Wakaf Pula

wakaf
EDITOR MENULIS...
7 OKTOBER 2015

Bergetar hati saya bila memikirkan permainan politik PAS dan Amanah, yang akhirnya membawa kepada soal-soal yang melibatkan hukum, dan janji mereka kepada Allah.

Sebelum ini, kita disajikan dengan kemelut “baiah” yang membawa kepada jatuhnya talak tiga. Bukan rahsia, pihak-pihak yang melanggar baiah tersebut cuba mengeluarkan hujah-hujah teknikal untuk menyelamatkan diri dari bala yang dipohon ke atas diri sendiri. Penjelasan agamawan (bukan politik) cukup untuk kita tahu akan status pernikahan pihak-pihak terbabit gara-gara baiah talak tiga itu.

Kini, kita dikejutkan pula dengan soal wakaf.

Dari segi syarak, wakaf bermaksud seseorang yang menyerahkan hak miliknya ( harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya ) kepada pengguna wakaf tersebut dari mula harta diwakafkan hingga ke akhirnya semata-mata kerana Allah S.W.T. Ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Semata-mata kerana Allah S.W.T., maka, seharusnya wakaf itu bersikap menyeluruh dan menguntungkan seluruh umat Islam, tidak hanya terbahagi-bahagi kepada politik kepartian semata. Apakah, dengan mewakafkan sesuatu untuk parti, sudah mencapai hasrat dan maksud  wakaf itu sendiri dalam menghadirkan keuntungan dan kelebihan kepada keseluruhan umat Islam di Malaysia?

Samada ini juga merupakan kifarah dari Allah ke atas mereka-mereka ini, wallahualam. Yang pasti, mereka kini perlu berhadapan dengan isu wakaf dan “harta sepencarian” seperti yang didakwa. Saya berharap tidak ada hujah-hujah yang boleh mencemarkan kesucian Islam itu sendiri, hanya demi untuk membenarkan tindakan kepartian mereka.

Adapun perbalahan yang sedang berlaku di antara dua pihak ini sangat memalukan umat Islam secara amnya, sedangkan realitinya ia hanya berkisar kepada PAS dan Amanah; dua golongan yang asalnya dari lembah yang sama.

Rakan saya ada memberi persoalan “Takkan Allah pun diorang nak tipu?”. Bagaimana pula jika penulis katakan “Buruk siku tidak mengenal samada dengan manusia atau tuhan”?

Kenalilah sikap mereka-mereka ini.

Fikir-fikirkanlah...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEigpndkboHYjZ61MBcwGvLXwOZU1NR3Z4aKxoabJVUQMEJAwpSHLpLUC75XkAzH-IR43XVgAgl_Y-PPL5DxUxJyjqGsqXvlu8v9YlnOrEA4roBq5dvorn0wiPyrBwsDm4ZH9De8N4yBT1y1/s1600/IMG_0003.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment