Saturday, October 17, 2015
"Pakar Strategi Auta PKR" - RAFIZI RAMLI
Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM)
mempertikai cadangan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli supaya pemegang
konsesi lebuh raya sedia ada, diberi keutamaan dalam projek lebuh raya
akan datang sebagai mekanisme mengekang kenaikan kadar tol.
Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu menarik perhatian bahawa di
Malaysia terdapat 31 lebuh raya bertol dimiliki syarikat konsesi berbeza
dengan pelabur dan pemegang taruh mempunyai komitmen berbeza mengikut
polisi syarikat masing-masing.
Ini bermakna kerajaan perlu ada 31 'projek gantian' dengan nilai sama
untuk ditukarkan dengan nilai penyelarasan kadar tol berkala bagi 31
konsesi lebuh raya sedia ada, kata persatuan itu.
"Namun, sekiranya projek berkenaan tiada kaitan dengan kepakaran
syarikat konsesi, contohnya pembangunan hospital, ini bermakna syarikat
perlu membuat pelaburan baharu.
"Ini sudah pasti boleh menaikkan kos pembangunan hospital itu sendiri dan akhirnya boleh merugikan negara," kata PSKLM.
Senario itu, kata PSKLM boleh menjurus kepada syarikat pakar dalam
pembinaan hospital tidak boleh lagi bersaing untuk mendapatkan projek
berkenaan kerana telah diberi secara terus kepada syarikat konsesi lebuh
raya.
"Ini sudah tentu bertentangan dengan prinsip keterbukaan dan persaingan
secara adil yang diguna pakai dalam pasaran," kata persatuan itu sambil
menambah landskap ekonomi, politik dan sosial negara mungkin berubah
mengikut keperluan dan kesesuaian pada masa akan datang.
"Tidak ada sesiapa dapat memastikan siapa penentu kepada projek lebuh
raya di masa akan datang. Sekiranya syarikat konsesi sedia ada dijamin
mendapat projek akan datang, besar kemungkinan proses pemberiannya pula
akan dipersoal," kata persatuan itu.
Dalam posting di blognya, Rafizi mencadangkan supaya pemegang konsesi
lebuh raya mendapat keutamaan dalam projek-projek lebuh raya akan datang
sebagai pertukaran untuk tidak menaikkan kadar tol.
Dengan cara ini, beliau berkata mereka tidak perlu bimbang tentang
keuntungan yang berkurangan kerana mereka mempunyai potensi untuk terus
terlibat dalam projek lebuh raya kerajaan yang akan datang dengan syarat
perjanjian ditetapkan secara adil mengikut kadar keuntungan munasabah.
PSKLM menegaskan bahawa cadangan itu memerlukan persetujuan kesemua
pemegang taruh bagi 31 lebuh raya di negara ini, dan realitinya ia boleh
menimbulkan pelbagai kerumitan dan memakan masa lama atas pelbagai
sebab.
Menurut persatuan itu, besar kemungkinan 'projek gantian' tidak memenuhi
syarat ditetapkan institusi kewangan yang telah membiayai konsesi asal.
PSKLM berkata, sekiranya penyelarasan kadar tol tidak dilaksanakan
kerana menunggu 'projek gantian', ia sudah pasti akan memberi kesan
kepada pinjaman kewangan yang telah dibuat berlandaskan kepada jangkaan
aliran tunai hasil daripada kenaikan kadar tol berkala yang dipersetujui
ketika perjanjian ditandatangani.
"Tidak salah untuk kami nyatakan bahawa ada kemungkinan syarikat konsesi
tidak dapat memenuhi obligasi kewangan mereka kepada pemberi pinjaman
sekiranya penyelarasan kadar tol tidak dilaksanakan," kata kenyataan
itu.
Penyelarasan kadar tol yang berkuat kuasa Khamis, melibatkan lebih 10 lebuh raya utama di Lembah Klang serta Johor.
Semalam, Kementerian Kerja Raya berkata kerajaan telah menangguhkan
kenaikan kadar tol di lebuh raya yang layak mendapat kenaikan sejak 2008
sebagai antara inisiatif untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.
Jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada syarikat konsesi lebuh raya
dari 2008 hingga 2013 adalah RM1,108.91 juta, manakala bagi 2014
berjumlah RM402.99 juta.
Langkah itu diambil supaya syarikat konsesi lebuh raya tidak menaikkan
kadar tol, sekali gus meringankan beban kewangan orang ramai.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment