Thursday, October 01, 2015
Pemuda UMNO Kutuk Serangan Berterusan Rejim Israel Terhadap Penduduk Palestin
KUALA LUMPUR : Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia
menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak
di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Datuk Seri Anifah
Aman Menteri Luar Negeri Malaysia di Persidangan Pertubuhan Islam OIC
mengenai keganasan rejim Israel terhadap Palestin terutamanya golongan
awam termasuk kanak-kanak dan wanita-wanita yang tidak berdosa.
Pengerusinya, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, konflik yang
telah lama berlarutan berdekad-dekad ini seolah-oleh tiada
penyudahannya, hampir setiap tahun rejim Israel akan menyerang Palestin
dengan helahan baru dalam pelbagai bentuk.
“Terbaharu, adalah pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa di Al-Quds
oleh rejim Israel. Masjid Al-Aqsa adalah tempat suci Islam ke-3 selepas
Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah.
“Nabi Muhammad SAW menunggang Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Al-Aqsa dalam peristiwa bersejarah Israq dan Mikraj.
“Pencerobohan Masjid Al-Aqsa ini adalah sebahagian daripada
perancangan sistematik rejim Israel bagi mengubah landskap , demografi
dan sejarah Masjid Al-aqsa di Al-Quds dengan pengasingan masa dan zon,”
ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambahnya, perkara ini bukan sahaja menindas hak rakyat Palestin
tetapi juga sudah tentu mengundang kemarahan masyarakat antarabangsa
yang cintakan keamanan dan juga terutamanya bagi umat islam.
Semua provisi undang-undang antarabangsa kata beliau lagi telah dicabuli oleh rejim Israel dengan sewenang-wenangnya.
“Kami menyambut baik desakan pemimpin-pemimpin dunia yang terus mengutuk keganasan rejim Israel ini di mesyuarat agung PBB.
“Kami amat berharap dengan desakan pemimpin-pemimpin dunia dan di
bawah kepimpinan Presiden Obama, Amerika Syarikat tidak lagi menutup
mata sebelah dan mengamalkan sikap pilih kasih dan tidak peduli terhadap
perkara ini,” katanya.
Tegas beliau lagi jalan penyelesaian yang konklusif perlu disegerakan
demi menjamin hak rakyat Palestin yang sudah tentunya akan membawa satu
nafas dan harapan baru ke arah keamanan dunia sejagat.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sentiasa konsisten dan komited dalam
memperjuangkan nasib rakyat Palestin yangg tertindas dan akan terus
menyuarakan pendirian kami mengutuk segala bentuk kekejaman rejim israel
terhadap rakyat Palestin”, ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment