Sunday, October 18, 2015

Persoalan : Jika Mahathir Masih Berkuasa, Mampukah Dia Kekal Di Zaman Ini?

EDITOR MENULIS...
18 OKTOBER 2015
social media
Kadang-kadang timbul di fikiran saya betapa beruntungnya pemimpin terdahulu yang berada di atas ketika mana zaman masih lagi tidak mempunyai internet, terutama laman-laman sosial yang bersepah di era serba moden ini.

Zaman dulu walaupun berhubung hanya menerusi telefon rumah atau pejabat, surat, dan mesin taip, namun segalanya aman tenteram, terkawal dan terpelihara dari sebarang unsur syubhah,fitnah atau penyebaran tohmahan yang tidak benar.

Kadangkala, saya sendiri merindui kedamaian di zaman tersebut. Amat berbeza dengan zaman ini yang walaupun serba mudah, lengkap dengan maklumat dihujung jari, namun huru-haranya mampu membuat kita terdedah pada dosa secara percuma.

Pada perkiraan saya, zaman internet bermula di era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Berlandaskan kemajuan teknologi, tidak dapat dinafikan kebaikan internet mampu memberikan kelebihan kepada negara kita menuju kemajuan dan peningkatan ketamadunan.

Namun malang, di sebalik kelebihan itu, tersingkap satu kelemahan yang amat menakutkan hingga mampu mengkucar-kacirkan kestabilan sesebuah negara. Mesir, Turki dan beberapa kerajaan di negara timur tengah, tumbang gara-gara internet dan laman sosial.

Saya terbayang, apa akan jadi jika di zaman Tun Dr Mahathir dahulu sudah wujud Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi-aplikasi seperti Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Apakah beliau akan menerima nasib yang sama seperti Perdana Menteri sekarang, Dato’ Seri Najib Tun Razak?

Sebagai contoh, kira-kira 3 – 4 tahun sebelum beliau berkata ‘dah lama dahhh..’, sudah mula wujud serangan propaganda pihak pembangkang seperti Tranungkite, Mahazalim, Mahafiraun dan emel berantai. Manakala di pihak UMNO dan Barisan Nasional ketika itu hanyalah memiliki myKmu sahaja untuk mempertahankan kerajaan dan Tun Dr Mahathir sendiri.

Dari sudut gerak saraf ketika itu, saya akui bahawa propaganda di kem pembangkang sememangnya sudah merajai dunia netizen di zaman itu dan status quo tersebut dipercayai kekal hingga sekarang. UMNO/BN jauh ketinggalan di belakang pembangkang di dunia internet.

Pernah suatu ketika, seorang pemimpin muda UMNO ‘menginjak’ dengan kaki satu-satunya server yang mempertahankan UMNO/BN di sebuah bilik di PWTC sejak 1998 dan mengarahkan server buruk itu dihumban keluar dari bilik itu.
Namun, saya positif mengatakan bahawa sekiranya semua laman sosial dan aplikasi komunkasi itu wujud sejak 1981, nescaya mungkin Tun M takkan kekal lama sebagai Perdana Menteri. Setidak-tidaknya, mungkin ketika beliau bergaduh dengan Ku Li pada 1986-1987 dulu, beliau mungkin goyah dan mungkin tumbang terus.

Di zaman Najib ini, bukan calang-calang orang mampu menghadapi cabaran sebagai Perdana Menteri. Sekiranya lemah berfikir dan mengharapkan stokin pink sahaja, mungkin seseorang itu mampu bertahan selama 5 hingga 6 tahun sahaja. Itupun sudah cukup lama…

Untuk kekal tabah sebagai Perdana Menteri di zaman ini, individu itu memerlukan kesabaran, ketahanan mental dan fikizal, penelitian tinggi dan fakta yang benar selain dari kekuatan interpersonal yang tinggi. Paling mustahak, individu itu perlu kuat iman dan prinsip dirinya.

Bayangkan, seorang Ketua Kampung di sebuah negeri pernah memberitahu saya bahawa dia hendak letak jawatan. Rakan saya itu berkata, dia tidak tahan dengan penangan media sosial. Walau sebaik mana pun khidmat yang dia berikan, tetap ada pihak yang akan mengutuk, mengaib dan menabur fitnah padanya. Pening kepala rakan saya itu dibuatnya…

Namun diatas lantikan watikah dari Sultan dan menyara anak isteri dengan rezeki yang halal, rakan saya itu gagahkan juga diri sebagai Ketua Kampung. Katanya, kalau diturutkan hati yang panas, sudah lama dia letak jawatan.

Itu baru Ketua Kampung, belum lagi Perdana Menteri. Boleh dikatakan hampir setiap jam, ada saja penyebaran di internet yang memburuk-buruk, memperlekeh, menghina dan menabur tohmahan pada Najib. Bukan sekadar beliau, malah seisi keluarganya turut terkesan.

Hal berkenaan bukan saja berlaku pada Najib, malah jema’ah menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, menteri besar, ketua-ketua menteri, exco-exco, pegawai-pegawai daerah, hinggalah kepada kepimpinan ketua cawangan UMNO dibawah. Semua kena!

Tidak terkecuali juga pihak pembangkang. Mereka pun kena juga! Mereka yang selalu buat onar, tapi mereka juga kena? Kenapa? Hukum karma? Saya tidak percaya pada hukum karma. Tapi saya percaya pada doa mereka yang dizalimi dengan fitnah…

Justeru itu, sebagai seorang warganegara bumiputera berbangsa Melayu dan beragama Islam, saya meminta supaya seluruh rakyat Malaysia menghentikan perangai buruk menyalahgunakan media sosial ke arah sesuatu yang tidak sihat, malah berdosa dari sudut agama.

Saya bukanlah seorang yang sempurna, namun dengan ikhlas hati, kita perlu hentikan segala kekarutan di laman sosial yang sepatutnya diisi dengan kebenaran dan pahala. Itu saja yang saya minta buat masa ini. Harap maklum…

Fikir-fikirlah permintaan saya ini...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s320/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment