Thursday, October 15, 2015
PKNS, KPS Diarah Desak Bantahan Kenaikan Tol
SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mengarahkan dua anak syarikatnya meskipun
sekadar pemegang saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Shah Alam
(Kesas) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) untuk mendesak mesyuarat
khas lembaga pengarah membantah kenaikan kadar tol.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Perbadanan Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki 30 peratus saham minoriti dalam
konsesi Lebuhraya Kesas sejak 1993 dan Kumpulan Perangsang Selangor
Berhad (KPS) sebanyak 20 peratus dari 1999 memaklumkan bahawa sehingga
hari ini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah diadakan
membincangkan kenaikan tol ia sekadar makluman.
“Kenaikan kadar tol berkuatkuasa hari ini tidak dibawa dalam mesyuarat
lembaga pengarah oleh itu Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah
mengarahkan PKNS dan juga KPS untuk menulis surat kepada Kesas dan juga
Sprint untuk mendesak satu mesyuarat khas lembaga pengarah dipanggil
bagi membincangkan perkara ini dan dalam mesyuarat tersebut kerajaan
negeri telah mengarahkan kedua-dua anak syarikat membantah dan menolak
kenaikan kadar tol tersebut.
“Walaupun kita adalah pemegang saham minoriti dan tidak mempunyai kata
pemutus tetapi mereka perlu mewakili pendirian kerajaan negeri yang
tidak membenarkan sebarang kenaikan tol ketika ini,” katanya ketika
ditemui selepas mempengerusikan MTES di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi PKNS menegaskan meskipun kerajaan negeri
tidak mempunyai kuasa pemutus dan sekadar pemegang minoriti dalam
syarikat konsesi lebuhraya namun dasar Selangor membantah kenaikan tol
yang tidak bertanggungjawab dan menekan kehidupan rakyat semakin
terhimpit akibat kegawatan ekonomi serta kejatuhan nilai ringgit.
“Pertama kita kena tolak dulu bantah dan kemudian kita lihat opsyen lain bagaimana boleh membantu meringankan bebanan rakyat.
“Kita ada mencadangkan dalam MTES bahawa kerajaan persekutuan sepatutnya
menggunakan perolehan dari hasil kutipan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) untuk membiayai dan meneruskan pembayaran pampasan
kepada syarikat konsesi,” katanya.
Timbalan Presiden PKR itu berkata, dimaklumkan perolehan daripada
kutipan GST itu besar lebih daripada RM 6 bilion seperti diumumkan.
“Mengapa tidak menggunakan perolehan GST ini untuk meringankan bebanan
rakyat tetapi menggunakan kesempatan seperti ini untuk terus menekan
kehidupan rakyat khususnya pengguna lebuh raya.
“Bagaimanapun selaku pemegang saham minoriti dan tidak ada kata pemutus
cuma gunakan wakil kita untuk membantah kenaikan tol tersebut dan sama
ada berjaya meyakinkan lembaga pengarah itu, ia akan diputuskan dalam
mesyuarat akan datang,” katanya.
Beliau menyatakan, keputusan kerajaan persekutuan membenarkan kenaikan
kadar tol di 18 lebuhraya di seluruh negara berkuatkuasa hari ini adalah
tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.
Menurutnya, kenaikan tol di antara 10 sen sehingga RM4.70 hanya akan
membebankan rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan
kos sara hidup yang semakin tertekan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment