Sunday, October 18, 2015

Siapalah Yang Bijak Sangat Buat Perjanjian Dengan Syarikat Konsesi, Kan?

Kita pun tidak suka kadar tol dinaikkan. Jika boleh, kita mahu kadar tol di negara kita ini dikurangkan setiap tahun, setiap bulan, malah setiap hari sehingga kita semua tidak perlu membayar satu sen pun pada syarikat konsesi tol di Malaysia.

Siapalah yang suka bila dikenakan bayaran bagi sesuatu khidmat itu. Dulu, ketika mana tandas awam disediakan secara percuma, kita tidak pernah memuji. Namun selepas tandas awam tidak terjaga kencing bersepah, maka kita dikenakan bayaran 20 sen untuk masuk ke tandas dan wang itu diberikan pada pihak yang menjaganya.

Hasilnya, marah sungguh kita bila disuruh bayar untuk masuk ke tandas. Nak kencing pun kena bayar, keluh kita. Dihamburkan pula kata-kata kesat dan nista pada kerajaan. Tidak cukup dimulut, ada pula yang sampai menconteng di tandas awam, memaki hamun. Tapi yang kencing bersepah, buang air besar tidak cebok tidak pula diseranah!

Bila kadar tol dinaikkan, kerajaanlah yang jadi mangsa. Kononnya kerajaan berkuasa untuk mengeluarkan perintah supaya syarikat konsesi tol tidak menaikkan kadar tol mengikut budi bicara mereka.

Kononnya kerajaan sokong kenaikan kadar tol dan bersikap lepas tangan hingga mengakibatkan rakyat ‘terbunuh’. Andy Flop Poppy bertanya, apakah kenaikan kadar tol itu untuk membunuh rakyat? Lalu artis itu marah-marah pada kerajaan yang menawarkan kontrak ‘ciput’ padanya…

Pada pandangan kita, jika mahu salahkan kerajaan pun tidak guna. Ini adalah kerana, ketika perjanjian dibuat oleh Kerajaan dan syarikat konsesi tol, mereka memang mempunyai hak untuk menaikkan kadar tol mengikut jadual lima tahun sekali. Itu terma perjanjian.

Kita difahamkan bahawa kali terakhir kadar tol dinaikkan adalah pada tahun 2008 – 2009 dahulu. Maksudnya, syarikat-syarikat berkenaan sepatutnya berhak menaikkan kadar tol pada tahun 2013 – 2014. Tapi, tiada kenaikan kadar tol berlaku pada tahun-tahun tersebut.
Menurut khabar yang kita dengar, memang syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ada bertemu dengan pihak kerajaan ketika itu untuk menuntut hak mereka. Namun atas budi bicara, setelah diminta oleh pihak kerajaan, maka kadar tol tidak jadi dinaikkan dan mereka perlulah dibayar pampasan sewajarnya untuk menampung kos operasi yang meningkat.

Dari apa yang berlaku itu, maka jelaslah bahawa pihak kerajaan tidak bersikap lepas tangan sebagaimana yang didakwa. Entah siapalah yang jadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2013 – 2014 dan berjaya memujuk syarikat konsesi untuk menangguhkan kenaikan kadar tol ketika itu, bukan?















Tapi bila hampir berakhir tahun 2015, barulah kerajaan terpaksa benarkan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya itu naikkan kadar tol.


Entah mana punya Perdana Menterilah yang buat perjanjian dengan syarikat konsesi itu dulu dan menetapkan terma kenaikan kadar tol 5 tahun, bukan? Kalau Perdana Menteri itu bijak sangat, patutnya termanya berbunyi ‘kadar tol perlu dikurangkan setiap tahun’! Barulah ‘bijak’ untuk rakyat, bukan?

Malangnya Perdana Menteri itu bukan lagi Perdana Menteri. Dia hanya tinggalkan ‘tahi’nya untuk ‘dicuci’ oleh Perdana Menteri yang berikutnya. Nak marah dia pun tak berguna kerana dia sudah tua sangat dan ‘tak makan saman’…

Pada pandangan kita lagi, kenaikan kadar tol di negara kita memang tidak dapat dielakkan. Kalau kita gigit palang di pondok tol itu sampai patah pun, itu adalah hak mereka untuk menaikkan kadar tol. Kita hanya perlu terima saja.

Punca kenaikan kadar tol? Perjanjianlah! Apa lagi? Kalau terma perjanjian tidak begitu, masakan pula syarikat konsesi lebuhraya naikkan kadar bayaran, bukan? Kalau kerajaan halang, maka mereka boleh saman kerajaan atas dakwaan ‘breech of contract’! Sudahlah kadar tol dinaikkan, kerajaan perlu bayar pula saman berjuta-juta guna duit kita pada syarikat konsesi? Mahu begitu?

Maka kita selepas ini perlulah kurangkan guna lebuhraya. Jika gunakan lebuhraya sekalipun, penggunaannya haruslah seminimum mungkin. Asalkan sampai ke destinasi yang dituju, cukuplah. Lambat, sesak atau banyak lampu isyarat, itu penulis kena tanggunglah, bukan?

Nak marahkan kerajaan, kita rasa tidak wajar. Hendak salahkan syarikat konsesi lebuhraya, itu hak mereka dari sudut perjanjian. Nak hentam bekas Perdana Menteri, memang tak guna. Tunggu sajalah sampai perjanjian tamat. Semoga cucu cicit kita nanti tidak perlu bayar tol lagi di zaman mereka…

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment