Wednesday, October 21, 2015
Usul Tidak Percaya Terhadap PM : Gambaran Betapa Celarunya Pembangkang
KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd
Sharkar Shamsuddin berkata, pembangkang boleh berbuat apa saja termasuk
mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, namun beliau yakin bahawa ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional
(BN) akan tetap memegang pada prinsip iaitu menyokong kepimpinan yang
sedia ada pada hari ini.
Menurut beliau, tindakan pembangkang yang mengusulkan undi tidak
percaya kepada Perdana Menteri di hari pembukaan persidangan parlimen
memperlihatkan pihak pembangkang lebih mementingkan kepentingan politik
mereka berbanding kepentingan rakyat.
“Bagi saya, di awal-awal persidangan parlimen kita sebagai ahli
parlimen perlulah membawa atau membincangkan perkara-perkara yang
mempunyai kepentingan kepada rakyat. Saya lihat, tindakan pembangkang
pada hari pertama persidangan parlimen dengan membawa usul undi tidak
percaya kepada PM itu sepatutnya tidak berlaku.
“Apa yang perlu diperbincangkan
dan diusulkan terlebih dulu tentulah perkara-perkara yang mendatangkan
atau membawa kebaikan untuk rakyat. Namun tindakan pembangkang itu
nampaknya lebih kepada kepentingan politik mereka semata-mata,” ujarnya
kepada pihak media di sini hari ini.
Selain itu, beliau berpandangan bahawa perancangan yang tidak
tersusun pembangkang ketika mengemukakan usul undi tidak percaya itu
memperlihatkan perpecahan yang berlaku di kalangan ahli parlimen pembangkang itu sendiri.
“Usul yang dibawa oleh ahli parlimen PKR, itu dibidas oleh Ahli
Parlimen Batu Kawan, Lim Guan Eng yang menganggap PKR tidak serius dan
menjadikan usul tidak percaya itu seperti bermain guli, di mana
sepatutnya Ketua Pembangkanglah yang membawa usul tersebut, bukan ahli
parlimen biasa.
“Ini jelas memperlihatkan senario kepimpinan pembangkang yang tidak
pernah sepakat dalam memutuskan sebarang perkara dan tindakan. Bagi
saya, ini merupakan satu indikasi yang memperlihatkan bahawa sekiranya
dalam hal-hal seperti ini mereka tidak mampu untuk bermuafakat,
bagaimana rakyat mahu mengharapkan pembangkang sepakat dalam mentadbir
negara?,” tegasnya.
Ahli parlimen PKR Hee Loy Sian membawa usul undi tidak percaya
terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hari pertama
persidangan parlimen semalam.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng membidas tindakan
tersebut dan meminta ahli parlimen PKR itu menarik balik usul kerana
menurut Guan Eng usul itu harus dibentangkan oleh ketua pembangkang dan
berkata bahawa usul itu tidak harus dikemuka oleh anggota parlimen biasa
kerana ia perkara penting dan “bukan main guli”.
Susulan daripada bantahan DAP itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan
Azizah Ismail semalam bersetuju untuk memfailkan sendiri usul tidak
percaya terhadap Perdana Menteri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment