Tuesday, January 05, 2016
21 Lebuh Raya Laksana Tol Elektronik Sepenuhnya Tahun Ini
CYBERJAYA : Kesemua 21 lebuh raya di Lembah Klang
akan melaksanakan sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya menjelang
akhir tahun ini, kata Yang Dipertua Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi
Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Datuk Ir Zainudin A Kadir.
Beliau berkata langkah tersebut merupakan inisiatif bagi
menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah, selesa
dan membantu pengguna menikmati perjalanan lebih lancar di setiap plaza
tol.
“Secara purata, kutipan tol secara manual adalah sebanyak 360
transaksi setiap jam berbanding 1,000 transaksi dengan penggunaan Smart
Tag dan lebih 700 transaksi dengan menggunakan Touch n Go,” katanya pada
taklimat media di Ibu Pejabat Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) di
sini hari ini.
Beliau berkata syarikat konsesi lebuh raya akan menanggung kos
RM150,000 setiap lorong, termasuk kos kerja-kerja konfigurasi dengan
pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik itu.
Zainudin berkata pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik
sepenuhnya tidak akan melibatkan pemberhentian jurutol sebaliknya mereka
akan ditugaskan ke bahagian lain termasuklah khidmat pelanggan,
memeriksa sistem dan membuat pemantauan di tol plaza.
Katanya terdapat kira-kira 3,500 jurutol di seluruh negara pada masa kini.
Zainudin berkata sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Malaysia mula melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik
di Bangunan Sultan Islandar, Lebuhraya PLUS pada 16 Disember 2008 dan
disusuli dengan beberapa plaza tol di Lebuhraya Linkedua dan Lebuhraya
PLUS, katanya.
Plaza Tol Mambau dan Plaza Tol Lukut di Lebuhraya Seremban-Port
Dickson melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik pada 1 Jun
tahun lepas, dan diikuti tujuh lagi lebuh raya dengan 12 plaza tol pada 9
Sept lalu.
Zainudin berkata 10 plaza tol di empat lebuh raya iaitu MEX,
Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga) dan
Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan melaksanakan sistem pembayaran
tol secara elektronik sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari, 13 Januari
ini.
Plaza-plaza tol terlibat termasuklah tiga plaza tol di Lebuhraya MEX
iaitu Plaza Tol Salak Selatan; Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri
Kembangan, tiga plaza tol di Lebuhraya NPE (Plaza Tol PJS2; Plaza Tol
PJS5 dan Plaza Tol Pantai Dalam), dua plaza tol di Lebuhraya Grandsaga
(Plaza Tol Batu 9 serta Plaza Tol Batu 11) dan dua lagi plaza tol di
Lebuhraya LKSA (Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian).
Zainudin berkata syarikat konsesi lebuh raya terbabit akan
menawarkan beberapa insentif kepada pengguna termasuk pengedaran 140,000
kad Touch n Go secara percuma di mana pengguna perlu membayar nilai
kredit sebanyak RM5.
Selain penawaran unit Smart tag bernilai RM99 dengan tambah nilai
Touch n Go RM20, beliau berkata pemberian rebat sebanyak 10 peratus
selama dua bulan untuk kenderaan kelas 1 bermula 13 Januari sehingga 12
Mac tahun ini.
Zainudin yang turut ditanya sama ada kerajaan dalam perbincangan
untuk menamatkan konsesi lebuh raya berkata: “Setakat ini, tiada.”
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment