Monday, January 25, 2016
Ahmad Bashah Boleh Melompat Atas Meja, Tapi Dia Tak Gila Kuasa
EDITOR MENULIS...
25 JANUARI 2016
Jika diimbas kenangan ketika PRU ke-13 yang lalu, Presiden UMNO,
Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Dato’ Seri Mukhriz
Mahathir akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya BN berjaya
merampas kembali Kedah dari PAS.
Pengumuman tersebut dibuat sehari sebelum berlangsung hari mengundi
dan kempen bagi PRU ke-13 bakal berhenti pada jam 12 tengah malam itu.
Tiada sebarang aktiviti kempen dibenarkan selepas detik 12 malam.
Dikhabarkan Ahmad Bashah yang tahu tentang Mukhriz akan dilantik
sebagai Menteri Besar Kedah kira-kira dua bulan sebelum PRU ke-13
berlangsung tetap seperti biasa, malah berkempen bagai orang muda tanpa
mengenal erti penat atau lelah.
Biarpun penat bersusah payah sejak mengambil alih jawatan Pengerusi
Perhubungan UMNO Negeri Kedah sejak BN ditewaskan pada PRU ke-12
kira-kira 5 tahun sebelumnya, Ahmad Bashah tidak kisah untuk tidak
dilantik sebagai Menteri Besar.
Khabarnya, Ahmad Bashah ketika dimaklumkan Najib tentang perkara
tersebut akur dan menerima dengan baik. Langsung tidak membantah walau
sepatah. Malah beliau dikatakan lebih fokus kepada usaha 5 tahunnya
untuk merampas Kedah kembali.
Sekiranya orang lain di tempat Ahmad Bashah, saya yakin ada yang
akan protes. Malah bagi sesetengah orang, ada yang sampai tepuk meja
atau melompat atas meja. Tapi tidak Ahmad Bashah. Beliau orang lama yang
tahu tentang hak Presiden dan bukan jenis gila kuasa.
Khabarnya, beberapa bulan sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad ada bertemu dengan Najib dan meminta Presiden UMNO itu
mengatur supaya melantik anaknya sebagai Menteri Besar di Kedah jika BN
berjaya merampas kembali negeri itu.
Tidak pasti sama ada Mahathir tahu bahawa anaknya itu suka atau tidak
dengan permintaan tersebut kerana Mukhriz difahamkan lebih memilih
untuk menjadi Menteri di Kerajaan Pusat berbanding di Kedah. Namun
mungkin atas nama tidak mahu ‘derhaka’, Mukhriz terima dalam ‘paksa
rela’…
Ditakdirkan Allah, BN berjaya tewaskan PAS di Kedah. Kerajaan Negeri
beralih tangan dan Mukhriz lekas-lekas mengangkat sumpah sebagai Menteri
Besar. Ahmad Bashah langsung tidak melompat atas meja. Malah dilihat
masih mampu tersenyum puas walaupun wajahnya terpampang penat lelah
sepanjang 5 tahun berjuang.
Siapa yang tidak kenal dengan UMNO Negeri Kedah? Politiknya unik dan
sukar dimengerti.
Budaya yang diamalkan akar umbi politik UMNO di Kedah
berbeza dari yang lain. Sepak teranjang, kias berkias dan enggan
bertolak ansur adalah satu kebiasaan. Malah ada yang sanggup bertanding
calon bebas, tapi mengaku ‘pejuang UMNO tulen’, itulah orang Kedah.
Setakat bergaduh sesama sendiri dalam UMNO Bahagian di Kedah adalah
sesuatu yang biasa. Di mana-mana negeri pun berlaku begitu. Yang hendak
tunjuk kuat, hendak tunjuk dirinya paling UMNO di Kedah, dan dirinya
paling betul pun ramai juga ketika itu.
Namun itulah yang terpaksa diharungi Ahmad Bashah yang dibayangkan
sebagai ‘bodoh’, tidak berpendidikan tinggi dan sering diperlekeh pihak
tertentu yang dilihat ‘pro-Mukhriz’ sejak akhir-akhir ini.
Dialah yang menyatukan semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO ketika
itu. Dialah yang sibuk mengatur gerak kerja, daftar pemilih, menyusun
strategi dan mengetuai semua jenis ‘peperangan politik’ di Kedah sama
ada secara langsung atau tidak langsung. Tapi ada pula yang tidak malu,
mengaku dialah ‘kepala perang’ yang tewaskan PAS di Kedah…
Bila Ahmad Bashah dikatakan adalah ‘arkitek’ dan ‘general perang’
yang bertanggungjawab merampas Kedah kembali dari PAS, ramai yang
mencebik bibir tetap enggan percaya. Mana mungkin ‘orang bodoh’ seperti
Ahmad Bashah mampu lakukan semua itu, bukan? Tapi percaya atau tidak,
itulah fakta dan kebenaran yang sebenar.
Ada sumber menyatakan pada saya bahawa sekiranya Mukhriz tidak
diumum sebagai MB, BN mungkin akan menang 3-4 kerusi Dun lagi
berdasarkan kajian sikap pengundi terutama pengundi Cina. Namun
disebabkan nama Mukhriz disebut sebagai MB, maka ramai pengundi Cina
yang beralih kembali ke Pakatan Rakyat ketika itu.
Kenapa? Khabarnya kerana ada nama Mahathir di nama Mukhriz, dan insan
itulah menjadi ikon Perkasa yang dilabel sebagai pelampau Melayu ketika
itu. Saya tidak peduli sangat soal itu kerana ia hanyalah sekadar
kajian sikap yang terperinci, tapi tidak berpeluang untuk dibuktikan.
Habis kisah lama, Mukhriz ditabal menjadi Menteri Besar Kedah. Semua
sokong termasuk Ahmad Bashah. Itulah yang diceritakan kepada saya
oleh ‘orang lama’ yang sudah ‘dipencenkan’ sejak Mukhriz meletakkan
‘orang-orang baru’ yang ‘hebat terlampau’ gerak kerjanya tentang Ahmad
Bashah.
Tapi hari ini Ahmad Bashah dicerca, dihina dan diperlekeh oleh
penyokong-penyokong Mukhriz. Beliau tidak marah. Ahmad Bashah tidak buat
poster suruh berkumpul. Ahmad Bashah tidak ajak berdemo. Ahmad Bashah
tidak gunakan tentera siber memaki hamun.
Dan dikhabarkan Ahmad Bashah
sedang tenang mengatur hari pertunangan anaknya.
Saya tertanya-tanya, siapa berani nafikan jasa Ahmad Bashah
mengetuai UMNO merampas Kedah dari PAS? Siapa pula mampu menafikan
pahala yang beliau dapat hasil dari maki hamun dan fitnah para penyokong
taksub Mukhriz itu?
Nak sokong, sokonglah. Nak politik, politiklah. Tapi ingat kita ahli
UMNO beragama Islam dan kita perlu akur pada dosa dan pahala, kan?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment