Ada yang suaminya mengajar di Johor Bahru dan isterinya terpaksa mengajar di Perlis. Ada yang bertahun-tahun terpisah, seorang di Sarawak dan seorang lagi di Pahang. Ada pula yang menabur bakti di Sabah, namun pasangannya pula terpaksa bertugas di Selangor. Itulah episod ‘duka lara’ guru-guru kita sejak sekian lama…
Namun pada hujung tahun lalu, seorang hamba Allah itu tiba-tiba telah diamanahkan memegang kuasa untuk mengubah status quo berkenaan. Menyelami hati guru berdasarkan pengalamannya, maka beliau berusaha untuk menamatkan ‘duka lara’ tersebut.
Dalam kenyataannya, ‘duka lara’ tersebut akan dihapuskan secara berperingkat mengikut fasa. Katanya sejumlah 30,000 pendidik yang bakal dihapuskan ‘duka lara’ mereka. Yang terbaru, katanya sudah 1,848 guru yang sudah tersenyum gembira…
Namun hakikatnya, sasaran 30,000 itu masih lagi belum selesai dan saya yakin ia akan dapat dipenuhi mengikut tempoh fasa demi fasa. Hanya masa saja yang akan menentukan. Bagi 1848 orang guru itu, khabarnya mereka kini sudah mampu tersenyum lebar, terhapus sudah ‘duka laranya’…
Soalnya, tidak boleh bersabarkah? Sekiranya sebelum ini bertahun-tahun mampu menahan sabar, tidak bolehkah bersabar untuk beberapa bulan? Mengapa tidak diberikan ruang untuk pihak terbabit menentukan keutamaan mereka yang wajar ditamatkan ‘duka lara’nya?
Pada saya, apalah kiranya jika diutamakan ‘abang kakak’ yang lebih ‘senior’ dalam episod duka lara mereka, kan? Maksudnya, wajarlah diberi keutamaan pada mereka yang lebih lama dan punya masalah yang lebih kritikal berbanding pasangan yang masih ‘muda’ duka laranya…
Pada pandangan saya, berilah ruang kepada hamba Allah itu laksanakan pelan dan rancangan menamatkan ‘duka lara’.
Selain perlu berdepan dengan kerenah birokrasi dan ‘top-top gun’ yang kurang bersungguh menamatkan duka lara berkenaan, beliau juga perlukan masa meneliti guru mana yang wajar diutamakan untuk ditamatkan duka laranya…
Apa yang penting, kerapkanlah berdoa pada Allah untuk dipermudahkan dan dipilih sebagai salah seorang yang terlibat dalam program tersebut. Dia yang menentukan segalanya, bukan hamba Allah itu. Hamba Allah itu hanyalah perancang dan berusaha, namun Allah yang tentukan terpilih atau tidak. Guru-guru tidak percaya pada kuasa ketentuan Allah?
Sekiranya terpilih, maka bersyukurlah pada Allah SWT. Namun sekiranya tidak terpilih, yakinlah bahawa terdapat hikmah di sebalik ketetapan Allah itu. Setiap qadha dan qadarNya itu terselit hikmah yang kadangkala kita ‘buta’ untuk menilainya, bukan? Percaya pada qadha dan qadar Allah?
Justeru itu saya meminta kepada semua guru supaya bersabar. Mujurlah Allah SWT menghantar dan mengilhamkan hamba Allah itu untuk menamatkan duka lara cikgu-cikgi kita. Jika diharapkan seperti yang sebelumnya, ‘masaklah’ guru-guru kita dengan sistem-sistem yang ‘huru-hara’, kan?
No comments:
Post a Comment