Tuesday, January 05, 2016
Hukum Mati Ulama' Syiah : Iran Janji 'Balas Dendam' Terhadap Arab Saudi
Arab Saudi akan berdepan pembalasan Tuhan kerana melaksanakan hukuman
mati terhadap seorang ulama Syiah berpengaruh, Nimr Al-Nimr kata
pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam.
“Penumpahan darah ulama ini secara tidak wajar akan mendapat pembalasan
segera,” kata Khamenei kepada para ulama Iran di Teheran.
Nimr menjalani hukuman mati bersama 46 lelaki lain di Arab Saudi kelmarin.
“Ilmuwan ini tidak menghasut orang ramai supaya mengangkat senjata atau
merancang konspirasi. Beliau hanya mengkritik secara terbuka berdasarkan
pengetahuan agamanya,” ujar Khamenei.
Beliau menyifatkan kematian Nimr sebagai satu kesilapan politik oleh kerajaan Arab Saudi.
Riyadh bagaimanapun menyatakan, mereka yang menjalani hukuman mati itu
didapati bersalah kerana menyokong ideologi radikal, menyertai
pertubuhan pengganas dan merancang pelbagai komplot jenayah.
Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai yang marah cuba membakar
Kedutaan Arab Saudi di Teheran lewat kelmarin. Menurut beberapa pegawai
semalam, seramai 40 orang telah ditangkap berhubung serangan itu.
Penunjuk-penunjuk perasaan di Teheran membaling bom petrol dan menyerbu
Kedutaan Arab Saudi sebelum diarah bersurai oleh pihak polis.
Selain Teheran, beratus-ratus orang menunjuk perasaan di bandar suci
pengikut Syiah, Karbala di Iraq. Sebilangan pemimpin Iraq turut menggesa
kerajaan supaya menutup Kedutaan Arab Saudi yang baru dibuka di
Baghdad.
Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi pula melahirkan perasaan amat terkejut dengan kematian Nimr.
“Kebebasan bersuara dan penentangan secara aman ialah hak asasi asas
manusia yang dianugerahkan Tuhan dan undang-undang antarabangsa.
Pelanggarannya memberikan impak negatif ke atas keselamatan dan
kestabilan rantau ini (Asia Barat),” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment