Monday, January 04, 2016

Kerajaan Perlis Akan Pastikan Projek RMK-11 Dilaksana Ikut Jadual – Azlan Man

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhlkEw911_KcJOTrQPRh02BQYnIiTfHOA7h7KwogEdgbg4njERTiKHvHnVjnnSVmfMHD0NhIlaFdLL6xOv7gkWxA85KvzqmBLWtVLmaBRFqNbIuo7Ww4JkGpzpzKBGA_O-dRX4hl9n554GG/s1600/Azlan-Man.jpg
KANGAR : Kerajaan Perlis akan memastikan 77 projek bernilai RM6.8 bilion yang diluluskan oleh kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dilaksanakan mengikut perancangan.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.75 bilion telah diperoleh bagi melaksanakan ‘Rolling Plan Pertama’ membangunkan infrastruktur beberapa projek selama dua tahun mulai tahun ini.

“Projek-projek ini yang dianggap mega, bermatlamat menyediakan pekerjaan tetap dan menjana pendapatan jangka panjang kepada rakyat, tanpa meminggirkan projek-projek kecil,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kerajaan negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari, anggota-anggota Exco kerajaan negeri serta Setiausaha kerajaan negeri yang baharu, Ahmad Zamri Khairuddin.

Menurut Menteri Besar, antara projek itu ialah pembangunan Lembah Chuping (RM723.7 juta); Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar (RM150 juta); Kompleks Kastam dan Imigresen Padang Besar (RM150 juta); Program Perumahan Rakyat Arau (RM55 juta); menaik taraf Empangan Timah Tasoh (RM300 juta); dan Projek Lencongan Banjir Timah Tasoh (RM35 juta).

“Bagi memastikan perancangan yang dibuat berjalan lancar, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan sektor swasta untuk menggerakkan ekonomi negeri menjadi lebih mapan,” katanya.

Azlan berkata sektor swasta akan menjadi pemaju utama pusat bandar Kangar manakala anak syarikat Tabung Haji, TH Property, melabur sebanyak RM250 juta untuk membangunkan bandar Kuala Perlis.

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Menteri Besar itu berkata hasil GST menjadi sumber pendapatan baharu kerajaan untuk memenuhi tuntutan pengurusan pentadbiran negara.

“Saya minta tuan-tuan melihat GST dalam aspek positif. Para peniaga pula perlu mendaftar perniagaan dan mereka tidak berpeluang menipu atau melakukan transaksi perniagaan secara gelap.

“Rakyat pula hendaklah mengambil berat dengan memeriksa resit untuk mengetahui barang yang tidak dikenakan GST bagi mengelak peniaga tidak bermoral mengambil kesempatan menipu dengan mengenakan GST,” kata Azlan.

Katanya kerajaan Perlis akan mengikuti langkah kerajaan pusat melaksanakan ‘dasar keluar’ ke atas penjawat awam negeri bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik.

Azlan mengisytiharkan ‘Rajin Berusaha Kuat Bekerja’ sebagai slogan untuk penjawat awam Perlis.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment