Tuesday, January 26, 2016

Penyertaan TPPA Tidak Bermakna Malaysia Pilih AS Dan Ketepikan Hubungan Dengan Negara Lain Termasuk China

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/10/Mustapa-Mohamed-tppa_600_1.jpg
KUALA LUMPUR : Penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bukan bermakna negara meminggirkan rakan dagang China, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ataupun negara-negara Islam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam dasar luar negara Malaysia, ASEAN merupakan keutamaannya dalam jalinan perdagangan, dan pada masa yang sama China dan negara lain turut mempunyai kepentingan, katanya.

“Penglibatan dalam TPPA tidak bermakna kita memilih Amerika dan mengetepikan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain.

“Ini adalah tanggapan yang tidak tepat,” katanya semasa membentangkan usul TPPA pada sidang khas Dewan Rakyat selama dua hari, bermula Selasa.

Mustapa turut berkata penglibatan dalam TPPA tidak bermakna Malaysia mengabaikan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Mustapa berkata Malaysia berkeyakinan bahawa WTO merupakan platform terpenting untuk meningkatkan hubungan perdagangan antara negara dunia.

WTO dianggotai 162 negara, dan insiatif WTO seperti Agenda Pembangunan Doha (DDA), yang bermula pada 2001 sehingga ke hari ini, masih lagi belum menampakkan hasil.

Katanya Malaysia tidak boleh menunggu DDA dimuktamatkan sebelum terlibat dalam mana-mana FTA.

“Ini satu tindakan yang tidak cerdik. Sekiranya kita menunggu sehingga DDA tamat, kita tidak akan dapat menandatangani satu pun FTA baharu.

“Oleh itu, pihak-pihak yang berkata kita (Malaysia) tidak patut menandatangani TPPA dan terus terlibat dalam WTO sesungguhnya tidak faham tentang perdagangan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi TPPA, Malaysia perlu ada keberanian, dan kerajaan harus berani melaksanakan langkah yang mungkin tidak popular dalam jangka pendek.

Beliau menyuarakan kebimbangnya sekiranya Malaysia mengambil pendekatan yang terlalu jumud, tertutup, antipelaburan asing dan antiperdagangan, Malaysia akan tercicir dan akan ‘berputih mata’.

“Saya bimbang Malaysia akan menyesal sekiranya kita tidak menyertai TPPA kerana para pelabur akan melihat negara-negara seperti Vietnam sebagai satu destinasi pelaburan yang lebih menarik.

“Kita tidak mahu negara kita dipintas oleh Vietnam atau negara jiran yang lain,” katanya.

Mustapa berkata dalam mengamalkan keterbukaan, tidak bermakna Malaysia mengabaikan segala-gala tanpa ada kawalan atau sekatan.

Dasar keterbukaan yang diamalkan adalah bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan, melindungi hak Bumiputera, merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, serta merapatkan jurang antara negeri maju dan mundur, katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment