Tuesday, January 26, 2016
TPPA Lebih Demokratik Berbanding PBB, IMF, Bank Dunia – Mustapa
KUALA LUMPUR : Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
lebih demokratik memandangkan segala keputusan akan dibuat secara
bersama dan konsensus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa berkata menerusi perjanjian perdagangan ini, Suruhanjaya TPPA
bakal ditubuhkan, dan tidak ada satu negara pun memiliki kuasa veto,
dan ini berbeza dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tabung
Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia.
“Beberapa negara dalam PBB diberikan kuasa veto, manakala dalam
TPPA keputusan dibuat secara bersama atau konsensus manakal IMF dan Bank
Dunia, memberikan lebih kuasa kepada negara besar berbanding negara
kecil.
“Justeru, TPPA adalah satu perjanjian yang lebih adil dan
demokratik berbanding PBB, IMF dan World Bank,” katanya semasa
membentangkan usul TPPA pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.
Mustapa menegaskan penyertaan dalam TPPA akan meningkatkan
rangkaian perdagangan negara, termasuk dengan negara yang belum ada
perjanjian perdagangan bebas seperti Amerika Syarikat, Mexico, Peru dan
Kanada.
Beliau berkata kelebihan TPPA kepada Malaysia termasuk duti ke atas
99.8 peratus produk elektrik dan elektronik (E&E) akan dimansuhkan
serta-merta, berbanding purata 5.0 peratus duti ke atas barangan E&E
Malaysia untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat pada masa ini.
“Pemansuhan duti ini akan memberi faedah kepada syarikat tempatan
untuk meningkatkan pelaburan, dan menerusi pelaburan tambahan ini kita
menjangkakan peluang pekerjaan serta eksport juga akan bertambah,”
katanya.
Antara negara lain yang terlibat dalam perundingan TPPA ialah
Australia, Brunei, Chile, Jepun, New Zealand, Singapura dan Vietnam.
Mustapa berkata walaupun Amerika Syarikat menyumbang 20 peratus
kepada pengeluaran dunia dan merupakan negara terbesar dalam TPPA,
prinsip yang digunakan di sepanjang rundingan TPPA ialah ‘Tiada apa yang
dipersetujui sehingga semuanya dipersetujui’.
Mustapa menegaskan bahawa Malaysia menyertai TPPA atas kerelaan,
tanpa dipaksa, dan boleh keluar sekiranya pakatan perdagangan itu
membawa kemudaratan kepada negara, tanpa disaman atau menjadi sebuah
negara muflis.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment