PAS yang berdepan tindakan 'boikot' oleh pakatan pembangkang kini bersendirian dan semakin dipinggirkan oleh sekutu sendiri selepas beberapa pemimpin utamanya keluar parti dan menubuhkan parti baru iaitu PAN yang diiktiraf DAP dan PKR.
"PAS tidak terlibat kerana PAS bukan dalam PH. Jadi jangan tanya apa-apa tentang PAS hari ini sebab mesyuarat hari ini adalah untuk tiga parti ini sahaja,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media tengahari tadi.
Mesyuarat hari ini, katanya,adalah perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian PH yang telah bermula dengan rasminya sejak pertengahan Oktober 2015.
"Perjanjian PH ini lahir daripada keinsafan ketiga-tiga parti ini bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersepadu dan utuh sesuai dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang kami bawa selama ini.
"PH akan mengadakan persidangan Pimpinan PH buat pertama kalinya pada 9 Januari ini, sekali gus memeterai perjanjian PH yang mengikat PKR, DAP dan PAN dalam sebuah kesatuan yang mampan," ujarnya.
Menyentuh tentang PAS, kata Presiden PKR ini, perkara itu belum boleh dibangkitkan lagi.
"Kita tunggu persidangan pertama nanti dan di situ bolehlah tanya tentang PAS dana apa sahaja," katanya.
Wan Azizah sebelum itu membaca kenyataan bersama menyebut, perjanjian itu akan dimeterai pada Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam Sabtu ini.
Perjanjian itu bakal membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun depan.
Perjanjian pakatan harapan mengandungi tujuh fasal utama mengenai prasyarat iaitu prinsip dan kaedah membuat keputusan; prinsip dan kaedah membina kesatuan politik antara parti; prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian antara parti.
Fasal lain ialah prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar bersama; prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi; prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan pakatan harapan dan blok pembangkang serta prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian itu dilanggari.
Kenyataan itu ditandatangani Dr Wan Azizah; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.
Dr Wan Azizah berkata, keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik antara PKR, DAP dan PAN melalui sebuah perjanjian pakatan harapan lahir daripada keinsafan bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh.
"Kami yakin pemeteraian perjanjian pakatan harapan ini adalah satu kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik Keadilan (PKR), DAP dan Amanah (PAN) yang berjaya mengetepikan kepentingan politikkan masing-masing demi mencapai persetujuan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment