Tuesday, January 05, 2016
Semoga Beliau Cepat Sembuh... Aamiin..... Mak Jah Perlu Berlakon Untuk Cari Wang Rawat Kanser
PETALING JAYA : Pelakon veteran Mak Jah terkilan apabila tindakan
mendedahkan dia menghidapi penyakit kanser rahim tahun lalu
mengakibatkan dia kekurangan tawaran berlakon.
Mak Jah atau nama sebenarnya, Maimunah Ahmad, 68, berkata, dia bimbang
terputus punca pendapatan yang digunakan untuk menanggung kos rawatan
dan ubat-ubatan penyakit yang dihidapi itu.
"Sekarang kurang tawaran berlakon kerana orang takut nak ambil saya,
mungkin sebab saya dedahkan pada tahun lalu yang saya mengalami penyakit
kanser. Ramai produksi sangka saya sudah tidak mahu berlakon.
"Kalau boleh saya ingin terus berlakon kerana dapat jumpa kawan-kawan
dan tidak mahu terlalu fikir tentang penyakit. Lagi pula saya memerlukan
wang untuk kos ubat-ubatan setiap bulan berjumlah RM2,500,"ujarnya
kepada pihak media.
Mak Jah diminta mengulas tentang perkembangan kesihatannya selepas
disahkan mengidap penyakit kanser rahim tahap satu pada Jun 2014.
Sementara itu, kata Mak Jah, dia perlu mencari punca pendapatan lain
bagi menampung kos perbelanjaan ubat-ubatan tersebut jika ia tidak
mencukupi.
"Saya dapat bantuan Baitulmal berjumlah RM300 setiap bulan dan jumlah
itu digunakan untuk bayar untuk sewa rumah. Anak saya juga ada beri duit
RM500 setiap bulan untuk belanja makan.
"Cuma yang saya risaukan kos ubat untuk kanser, kencing manis dan darah
tinggi yang berjumlah RM2,500 setiap bulan sahaja yang perlu dicari.
Bulan lepas saya ada berlakon dengan produksi Haji Zil (Zeel Production)
dapat juga menampung belanja ubat untuk bulan ini," ujarnya.
Bercerita tentang kesihatannya, Mak Jah yang mendapatkan rawatan di
Hospital Kuala Lumpur berkata, penyakit kanser yang dihadapinya belum
lagi ke tahap yang perlu menjalani rawatan kemoterapi.
Katanya, penyakit itu masih boleh sembuh jika dia mengambil ubat-ubatan yang betul dan amalan makanan yang sihat.
"Kanser baru tahap satu dan doktor beritahu boleh sembuh jika saya makan ubat-ubat yang betul selain mengutamakan makanan sihat.
"Setakat ini, saya masih rasa sihat seperti biasa cuma kadang-kala rasa
lemah. Buat masa ini saya belum lagi buat rawatan kemoterapi," ujarnya.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Maimunah Binti Ahmad 14-256-02-013518-1 (Bank Islam).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment