Tuesday, January 05, 2016

Shahrom Melepasi Jarak Dua Pertiga Kutub Selatan

image
image
image
Penjelajah Negara ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah sudah melepasi jarak dua pertiga penjelajahannya di Kutub Selatan  selepas 27 hari berski.

Menurut Penasihat Misi Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, Shahrom telah mencapai jarak sejauh lebih 630 kilometer dalam tempoh 27 hari tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, saya mendapat maklumat bahawa Shahrom sudah melepasi jarak dua pertiga misi merentas Kutub Selatan dan ini memberi satu petunjuk yang baik untuk Shahrom menamatkan misi itu dengan jayanya. Jadi saya berharap, Rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar Shahrom berada dalam keadaan yang baik untuk menamatkan baki jarak penjelajahannya itu”.

Tambah Datuk Akmar yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri dan Penasihat Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Shahrom hanya perlu berski sejauh kurang 300 kilometer sahaja lagi untuk tiba di titik sifar darjah Kutub Selatan iaitu destinasi yang ditetapkan bagi melengkapkan misi merentas benua ais paling sejuk di dunia itu.

Shahrom kini secara konsisten  berski sejauh antara 25 hingga 28 kilometer sehari dengan rutin perjalanan satu kilometer dan rehat selama sepuluh minit sambil bertukar posisi pengemudi arah dengan dua lagi penjelajah dari United Kingdom dan Jordan.

Pada 24 Disember lalu, Shahrom tiba di lokasi pengambilan bekalan makanan yang ditetapkan untuk mengisi semula stok makanannya sepanjang ekspedisi itu.

Setakat ini, Shahrom hanya berehat sehari iaitu pada 25 Disember lalu sempena cuti sambutan hari Krismas.

Shahrom memulakan ekspedisinya pada 10 Disember lalu selepas tertangguh selama dua minggu akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan.

Shahrom, 36 tahun merupakan atlet sukan lasak negara bagi acara duathlon dan triathlon, dalam misinya merentas Kutub Selatan sejauh hampir seribu kilometer dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan yang dikelolakan oleh Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B).

Shahrom dijangka menamatkan misinya itu dalam tempoh antara 50 hingga 60 hari. Jika berjaya menamatkan penjelajahannya itu, Shahrom bakal mencipta satu lagi rekod baru anak Malaysia dipersada antarabangsa sebagai rakyat Malaysia pertama merentas benua Antartika dengan berski sejauh hampir seribu kilometer.

Misi Dinamakan Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada awal bulan Julai 2015.

Dalam misi ekspedisi itu, Shahrom turut membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan daripada sebuah syarikat Bumiputera, yang akan membolehkan Shahrom menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan untuk diminum sebagai air hidrogen beralkali khusus untuk memberi tenaga tambahan dan segala bahan mineral yang diperlukan oleh Shahrom sepanjang penjelajahannya itu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment