Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan sekiranya Parti Amanah Negara (PAN) bertanding di semua kerusi di Kelantan, Pas akan menghadapi masalah.
Saya pernah menulis dalam sebelum ini meramalkan sekiranya pertandingan berlaku di tiga penjuru harapan UMNO untuk menang adalah tinggi kerana undi PAN diambil daripada undi Pas dan penyokongnya juga. Ini congak politik yang paling mudah.
Pas adalah sebuah parti politik. Pertimbangan untuk Pas bekerjasama dengan UMNO adalah pertimbangan politik di samping kerjasama biasa. Pas bukan badan dakwah begitu saja.
Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) malah menjadi partisan politik Amanah. Kerjasama politik bagi UMNO dan Pas adalah sesuatu yang logik kerana ini bakal menggubal dasar dan melaksana dasar bukan hanya selama ini menerima manfaat dari pelaksanaan dasar.
Walaupun kerjasama politik UMNO–Pas bergantung kepada syura Pas tetapi niat untuk bekerjasama bukanlah sesuatu yang jelik dan tidak syarie. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sangat memahami ini. Malangnya, timbalan presiden dan naib-naib presidennya ternyata mempunyai pandangan yang berbeza dan sinis sekali.
Mujur belum ada pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan semangat silaturahim. Saya berdoa supaya ini tidak berlaku walaupun saya sedar bahawa orang UMNO juga ada perasaan dan hati. Tetapi kesabaran dan usaha yang berterusan terutama dari pihak ketiga harus berlaku.
Jangan sampai warga umat mengambil kesimpulan bahawa Pas terlalu berkira-kira untuk wahdah. Atau UMNO mengajak Pas bekerjasama kerana UMNO sudah terlalu lemah. Realiti politik tidak sedemikian. Hakikat yang ada Pas sudah meninggalkan Pakatan Rakyat dan Pas masih mahu bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor. Pakatan Rakyat menjadi semakin lemah tanpa Pas.
Apakah Pas rasa khilaf meninggalkan DAP dan tidak bersedia meninggalkan keenakan kuasa di Selangor kerana sebab-sebab tertentu dan secara tidak langsung masih bekerjasama dengan DAP dan membuat keputusan Exco atau akhirnya Pas akan berkawan dengan PAN semula walaupun PAN dituduh sebagai pengkhianat.
Mengapa pengalaman berpolitik dengan UMNO pada tahun-tahun 70-an masih lagi diungkit sedangkan pengalaman buruk dengan DAP dan PAN masih segar dalam ingatan.
Realiti politik Malaysia memerlukan kerjasama politik dengan pihak lain. Kalau Pas ingin bersendirian menuju ke Putrajaya, logik politik tidak boleh menyebabkan ini terjadi. Dalam keadaan Pas bersama dengan Pakatan Rakyat dulu pun Putrajaya tidak dapat ditawan. Kemenangan Pas pun dibantu oleh DAP dan PKR.
Takdirnya Pas boleh bersama dengan UMNO, Barisan Nasional (BN) akan menjadi lebih kuat. Tanpa Pas bersama dengan BN, saya percaya BN khususnya UMNO masih boleh menang dan mampu membentuk kerajaan.
Saya berdoa pihak ketiga harus terus istiqamah untuk menjadikan kerjasama ini suatu realiti politik supaya perpecahan dalam kalangan umat Melayu dapat disantuni dan politik Malaysia akan jadi lebih stabil dan pengurusan serta pembangunan negara akan berjalan dengan lebih baik.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment