Monday, January 25, 2016
SPR Sedia Pada Bila-bila Masa Hadapi PRN Sarawak – Mohd Hashim
PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
bersedia melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada bila-bila
masa mengikut tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diumumkan kelak,
kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata PRN Sarawak adalah cabaran pertama yang akan
dihadapinya sebagai pengerusi baharu SPR bermula 24 Jan ini dan berharap
ia dapat dilaksanakan dengan baik menerusi kekuatan para pegawai SPR yang berpengalaman dan sumber rujukan sedia ada.
“Ini bukan kali pertama SPR mengadakan pilihan raya, sudah lama kita melaksanakan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.
“Jadi saya rasa tiada masalah. Kita akan aturkan kerja untuk PRN
Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menerima nota serah tugas
sebagai Pengerusi SPR daripada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu
majlis perpisahan di Ibu Pejabat SPR, di sini hari ini.
Ditanya mengenai perbelanjaan besar yang diperuntukkan oleh SPR bagi
PRN Sarawak, beliau berkata ia berikutan kenaikan kos logistik.
Mohd Hashim berkata perbandingan tidak sepatutnya dibuat antara
kos perbelanjaan bagi PRN Sarawak kali ini dengan kos pada lima tahun
lepas kerana peredaran masa dan peningkatan harga barangan.
“Tempatnya sama, tetapi sewa kenderaan mungkin naik, sewa helikopter
naik, makan minum pun naik, itu yang menyebabkan kos itu naik,” katanya
sambil menambah ia bukanlah peningkatan yang melampau.
Sebelum ini, Abdul Aziz berkata PRN Sarawak dijangka menelan
belanja sebanyak RM181 juta, lebih dua kali ganda kos perbelanjaan pada
2011 iaitu sebanyak RM78 juta.
Selain kos logistik, Abdul Aziz berkata peningkatan itu juga
berikutan jumlah kawasan mengundi yang lebih besar dengan mencatatkan
penambahan daripada 71 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment