Monday, January 25, 2016
Malaysia Gesa Tindakan Untuk Redakan Ketegangan Antara Negara Anggota OIC
PUTRAJAYA : Malaysia membuat gesaan agar langkah
sewajarnya diambil bagi meredakan sebarang ketegangan yang wujud antara
negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ketika berucap pada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri Luar OIC pada
Khamis (21 Januari) di Jeddah berikutan serangan penunjuk perasaan terhadap
pejabat perwakilan Arab Saudi di Iran baru-baru ini, Menteri Luar Datuk
Seri Anifah Aman menggesa agar persengketaan antara negara Islam segera
ditamatkan.
“Sekarang adalah masa untuk bersikap terbuka, berterus terang dan
jujur dengan diri kita sendiri bahawa kini terdapat masalah berterusan
dalam kalangan negara Islam. Persengketaan sesama kita perlu dihentikan.
Ia merugikan Ummah.
“Kita terlalu sibuk dengan masalah sesama kita hingga kita
mengabaikan objektif kita untuk memastikan kemajuan Ummah,” katanya
dalam kenyataan yang dihantar ke sini.
Anifah berkata OIC perlu menjadi titik yang menyatukan umat Islam dan
negara anggotanya berlandaskan semangat persaudaraan dan kerjasama.
Oleh itu, Malaysia menyeru semua negara anggota OIC yang prihatin
supaya mencari jalan untuk mengukuhkan dan mengeratkan lagi ikatan
perpaduan dalam kalangan umat Islam dan negara anggota OIC, katanya.
“Kita perlu hentikan apa jua tindakan yang bercanggah dan tidak
memberi manfaat kepada Ummah. Langkah demikian akan hanya melemahkan
perpaduan sesama kita. Tidak dapat dinafikan, kita juga yang akan rugi
akhirnya,” kata beliau.
Malaysia, katanya, berkongsi sikap prihatin negara lain berhubung
serangan penunjuk perasaan baru-baru ini terhadap premis diplomatik dan
konsul Arab Saudi di Iran.
Beliau berkata serangan terhadap Kedutaan Arab Saudi di Teheran dan
Konsul Jeneralnya di Mashhad pada 4 Januari mengakibatkan kerosakan serius
terhaap pejabat perwakilan itu dan perbuatan tersebut secara jelas
mencabuli Konvensyen Vienna 1961, katanya.
“Kami menyeru semua negara yang prihatin supaya mematuhi konvensyen
itu, yang kita semua mengesahkannya, serta mengambil langkah untuk
memastikan kesucian pejabat perwakilan diplomatik sentiasa terpelihara,”
katanya.
Malaysia menegaskan sekali lagi tentang perlunya semua pihak yang
prihatin supaya bertenang berikutan kejadian baru-baru ini serta
berusaha untuk memelihara keamanan dan keselamatan.
“Ketidakstabilan dan konflik akan hanya menyediakan tempat untuk pihak yang berniat jahat untuk berkembang,” katanya.
Oleh itu, Malaysia menyeru negara anggota supaya mengelak daripada
mengambil tindakan yang boleh melemahkan usaha ke arah memelihara
keamanan dan keselamatan, kata beliau.
Anifah berkata penyelesaian konflik secara aman perlu menjadi keutamaan semua pihak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment