Monday, January 25, 2016
Hishamuddin Harap Kemelut Politik Kedah Diselesai Secara Bijaksana, Rasional
KLUANG : Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein
berharap kemelut politik yang melanda Kedah ketika ini
dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan, bijaksana dan rasional
demi kelangsungan parti dan rakyat.
Menteri Pertahanan itu berkata sekiranya diselesaikan secara matang,
apa jua kemelut yang berlaku di dalam UMNO negeri sudah tentu tidak akan
membawa kesan yang teruk kepada parti dan rakyat.
“Saya tengok bahawa luahan dan pendirian kepimpinan bahagian-bahagian
(UMNO)di Kedah banyak berkisar kepada pertimbangan mereka sendiri dan
perkara itu juga sudah disampaikan kepada Presiden UMNO yang juga
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.
“Sehubungan itu, saya harap isu ini ditangani secara matang,
bijaksana bersandarkan perkara-perkara yang ada kaitan rapat dengan hala
tuju UMNO Kedah dan pentadbiran kerajaan Kedah itu sendiri,” katanya
kepada pemberita selepas melancarkan program Jiwa Murni Parlimen
Sembrong di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini.
Menurut Hishammuddin, krisis politik di Kedah bukan sesuatu
perkara baharu di peringkat negeri-negeri malah parti juga pernah
melalui pelbagai keadaan yang mencabar sebelum ini.
Semalam, kepimpinan UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib
susulan desakan mereka sebelum ini yang mahukan Menteri Besar Kedah
Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berundur.
Dua hari sebelum itu (20 Januari), hampir seluruh kepimpinan UMNO Kedah
termasuk 14 Ketua UMNO Bahagian menyuarakan hilang keyakinan terhadap
kepimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Kedah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment