Monday, January 25, 2016
Anggota Parlimen Diminta Lebih Terbuka, Sokong TPPA Pada Sidang Khas Parlimen
JOHOR BAHARU : Anggota Parlimen diharap lebih terbuka
dan membuat keputusan bijak dengan menyokong Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) semasa pembentangan mengenai perjanjian itu pada
Sidang Khas Parlimen pada Selasa depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad
Maslan berkata anggota Parlimen seharusnya memahami dengan terperinci
mengenai kandungan dan faedah TPPA memandangkan masa yang diberikan
untuk memahami perjanjian itu mencukupi.
“Saya harap anggota Parlimen akan terbuka (dan) melihat kebaikan dan faedah yang bakal diperoleh menerusi TPPA.
“Kita mahu melakukan sesuatu yang baik kepada negara. Oleh itu, kita
harap anggota Parlimen akan terbuka untuk memberi sokongan kepada TPPA,”
katanya kepada pemberita di RTM Johor, di sini hari ini.
Terdahulu, Anggota Parlimen Pontian itu menjadi tetamu jemputan
dalam program radio RTM “Johor Sana Sini, Segar Pagi” selama 30 minit
yang dikendalikan oleh juruhebah radio, Junaidah Alahan.
Ahmad berkata tiga sesi penerangan telah diadakan untuk anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), pembangkang dan juga Senator.
Menerusi sesi penerangan itu, katanya empat bengkel berbeza turut
diadakan yang menyentuh antaranya isu-isu mengenai akses pasaran, buruh,
alam sekitar, ubat-ubatan, perolehan kerajaan dan Bumiputera.
“Jadi, empat bengkel ini telah diberikan kepada anggota Parlimen untuk mendalami secara terperinci isu-isu mengenai TPPA.
“Pegawai yang terlibat dalam rundingan turut menghadiri bengkel itu bagi menjawab segala persoalan.
Ini termasuk segala perincian yang dibincangkan dalam rundingan
tersebut,” katanya, sambil menambah proses penerangan itu diadakan
dengan amat terbuka dan telus.
Sehubungan itu, katanya tiada sebab bagi semua wakil rakyat untuk
menyatakan mereka tidak mempunyai cukup maklumat mengenai TPPA.
Ahmad berkata Sidang Khas Parlimen pada Selasa ini akan bermula
dengan penerangan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mustapa Mohamed, diikuti perbahasan daripada beberapa wakil
anggota Parlimen BN dan pembangkang.
Perkara yang dibangkitkan akan dijawab oleh menteri-menteri
berkaitan sebelum dirumuskan oleh Mustapa pada Rabu yang diikuti dengan
pengundian.
Majoriti mudah diperlukan di Dewan Rakyat sebagai sokongan
untuk menandatangani TPPA dan undian di Dewan Negara akan diadakan pada
Khamis, katanya.
Pada program radio itu, Ahmad berkata TPPA merupakan perjanjian
perdagangan bebas “alaf baharu” yang berbeza dengan perjanjian
perdagangan bebas sebelum ini memandangkan ia mempunyai standard
perdagangan yang lebih tinggi.
Selain Malaysia, 11 negara lain yang terlibat dalam TPPA ialah
Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand,
Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam, yang memuktamadkan rundingan TPPA
pada 5 Okt 2015.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment