TEKS UCAPAN Y.B. MENTERI
BAGI PEMBENTANGAN DAN PERBAHASAN KE ATAS USUL
MENGENAI PERJANJIAN PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA)
PADA 26 JANUARI 2016, SELASA DI DEWAN RAKYAT
Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Tuan, Yang di-Pertua, saya dengan penuh takzim berdiri dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul:
“Bahawa Dewan ini,
menerima akan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang
mengamalkan ekonomi terbuka yang terlibat dalam perdagangan
antarabangsa, pelaburan asing, teknologi dan pelancongan;
mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di
peringkat serantau dan global;
menyokong keputusan Kerajaan bagi Malaysia untuk menjadi sebahagian
anggota negara TPPA dengan menandatangani dan meratifikasi TPPA; dan
Bahawa dalam memutuskan penyertaan Malaysia dalam TPPA, Dewan ini
menyeru agar semua pihak bersama-sama berusaha menjayakan matlamatnya.”
Tuan Yang diPertua,
Izinkan saya berhujah mengapa keputusan Kerajaan untuk menyertai
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau nama ringkasnya TPPA ini
adalah selari dengan kepentingan negara.
Tuan yang diPertua,
LATAR BELAKANG
Mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat dari 30
September hingga 5 Oktober 2015 telah memuktamadkan rundingan TPPA. Ini
adalah setelah lebih 5 tahun berunding. Lanjutan dari itu, pada 5
November 2015, teks penuh TPPA yang mengandungi 30 bab yang terdiri
daripada 595 muka surat teks perjanjian, 5755 muka surat yang
mengandungi lampiran bagi jadual akses pasaran bagi 12 negara TPPA,
jadual syarikat milik Kerajaan, peraturan tempasal; dan 20 surat-surat
sampingan yang dipersetujui secara dua hala mengenai isu spesifik telah
dihebahkan kepada umum.
Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI
telah memuat naik Frequently Asked Questions (FAQ) di laman sesawangnya
bagi memudahkan orang ramai memahami kandungan TPPA. Pada 3 Disember
2015, hasil kajian kos-faedah oleh Institute Strategic and International
Studies (ISIS) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai impak TPPA
telah dimuat naik di laman sesawang MITI.
Disamping itu, ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah diberikan dokumen-doumen berikut pada bulan Disember:
Teks dan lampiran TPPA; setebal 16 jilid dan
Hasil kajian kos-faedah oleh Institute Strategic and International Studies (ISIS) dan PricewaterhouseCoopers (PwC).
Ringkasan TPPA dalam Bahasa Melayu juga telah diedarkan kepada semua
ahli Dewan Rakyat pada bulan Januari 2016. Ringkasan ini juga diedarkan
sekali lagi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat pada pagi ini sebagai rujukan.
Sebagai usaha kerajaan untuk memberi penjelasan kepada semua lapisan
masyarakat, termasuk di peringkat negeri, saya sendiri telah membuat
lebih dari 300 sesi penerangan mengenai TPPA sejak 1 Ogos 2013 sehingga
ke hari ini. Tujuan program-program ini adalah untuk mendedahkan
kandungan TPPA serta mendapat input daripad pelbagai pihak.
Golongan-golongan yang telah ditemui termasuklah pelajar-pelajar pusat
pengajian tinggi, belia, golongan akar umbi, guru-guru, penjawat awam,
persatuan-persatuan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, Ahli Parlimen
dan lain-lain pihak yang berkepentingan.
Pegawai-pegawai MITI juga
telah memberi penjelasan kepada beberapa pihak berkepentingan dari
semasa ke semasa. Selain itu, temuramah di media massa, media elektronik
dan media cetak telah diberikan dari semasa ke semasa. Kesemua sesi
penerangan dan dialog ini telah memberi peluang kepada semua ahli
lapisan masyarakat untuk memahami TPPA dan mengajukan
persoalan-persoalan tertentu serta mendapat pencerahan.
Malah MITI juga telah menubuhkan Cleared Advisors, iaitu kumpulan
pakar meliputi beberapa bidang yang memberi nasihat kepada kerajaan
berkaitan hal-hal yang sedang dirundingkan di bawah TPPA. Mesyuarat
pertama kumpulan ini diadakan pada 4 Disember 2014. Cleared Advisors ini
terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing dari sektor
swasta, kumpulan profesional, ahli akademik dan badan bukan kerajaan.
MITI telah berkongsi dengan kumpulan ini butir-butir terperinci mengenai
TPPA.
Tindakan Kerajaan untuk membentangkan sebuah triti antarabangsa
kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu tindakan yang
unpredecented, iaitu tidak pernah berlaku dalam sejarah. Semasa sidang
media di Sidang Kemuncak APEC di Bali, YAB Perdana Menteri telah membuat
keputusan supaya TPPA di bawa ke Parlimen untuk dibahaskan.
Daripada
sudut undang-undang, iaitu dibawah Perlembagaan Negara Bab 3 Perkara 39
mengenai Kuasa eksekutif Persekutuan “Kuasa eksekutif Persekutuan
hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada
peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual
Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh
mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen
boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang
lain.” Dalam kata lain, Kerajaan berhak untuk menandatangani perjanjian
antarabangsa, termasuk TPPA tanpa perlu dibawa kepada Parlimen.
Namun demikian, sebagai Kerajaan yang menghormati demokrasi, TPPA
dibentangkan ke Parlimen pada hari ini di Dewan Rakyat kerana ia
merupakan perjanjian bebas terbesar di dunia yang paling komprehensif
berbanding mana-mana FTA yang ditandatangani oleh Malaysia di dunia pada
hari ini. Ia meliputi banyak perkara selain dari hal-hal berkaitan
dengan tarif dan mempunyai kesan yang besar kepada negara. Sebelum
dibahaskan di Parlimen, perkara ini menjadi subjek dalam seminar forum
dan menarik perhatian banyak pihak. Keputusan Kerajaan untuk membawa
TPPA ke Parlimen amat bertepatan sekali kerana langkah ini telah
mendorong kerajaan untuk mengadakan majlis-majlis penerangan diseluruh
negara.
Yang kedua, tindakan unprecedented atau bersejarah adalah keputusan
untuk menubuhkan sebuah Kaukus TPP yang melibatkan ahli Parlimen yang
daripada Barisan Nasional dan pembangkang. Kaukus ini telah bermesyuarat
sebanyak 15 kali. Kali pertama mesyuarat diadakan adalah pada 6 Ogos
2013 dan yang terakhir pada 30 November 2015. Kaukus tersebut yang
diketuai oleh Yang Berhormat Jasin terdiri daripada 11 Ahli-Ahli Yang
Berhomat yang lain termasuklah 6 dari Barisan Nasional dan 5 ahli
pembangkang. Mereka adalah ahli Parlimen Johor Bahru, Putatan, Hulu
Rajang, Kuala Selangor, Simpang Renggam dan Kota Tinggi. Pembangkang
pula diwakili oleh Lembah Pantai, Kota Bharu, Klang, Sungai Siput dan
Kelana Jaya.
Saya ucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang
menyertai Kaukus TPP kerana memberi pandangan secara yang telus dan
terbuka. Kerajaan amat menghargai sumbangan ahli Yang Berhormat dan ia
menunjukkan dalam isu-isu melibatkan kepentingan negara, pihak Kerajaan
dan Pembangkang boleh duduk semeja. Malah dalam beberapa tegas Yang
Berhormat mengenai ISDS dan cukai eksport telah dibawa meja rundinagn
dan sebahagian pandangan telah diterima oleh rakan-rakan TPPA yang lain.
Yang ketiga, satu lagi tindakan bersejarah ialah sesi plenari dan
bengkel yang diadakan pada hari Selasa 13 Januari 2016 yang
menghimpunkan ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan pembangkang.
Pada sidang plenari, ahli-ahli Pembangkang telah mengemukakan lebih
banyak soalan berbanding ahli-ahli Barisan Nasional.
Pada sebelah petangnya pada hari sama, bengkel mengenai isu-isu utama
TPPA seperti akses pasaran, ISDS dan pelaburan, perolehan kerajaaan,
Bumiputera dan syarikat milik kerajaan serta hakcipta harta intelek dan
ubat-ubat telah diadakan. Saya gembira kerana ahli-ahli Yang Berhormat
Kerajaan dan Pembangkang telah berbincang isu-isu yang mendalam dalam
suasana yang cukup tertib dan berhemah.
Tuan yang DiPertua,
Hari ini, hari Selasa 26 Januari, saya ucapkan terima kasih kerana
YAB Perdana Menteri dan sahabat-sahabat dalam Kabinet yang hadir sidang
khas ini. Ini membuktikan bahawa komitmen tinggi Kerajaan. Esok hari
Rabu, adalah hari Kabinet. YAB Perdana Menteri telah membuat keputusan
bahawa mesyuarat Kabinet ditunda ke hari Jumaat. Ini mencerminkan bahawa
seluruh Kerajaan bersatu dan berpendapat bahawa amat penting isu ini
dibahaskan di Parlimen untuk kelulusan.
Saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat bahawa di kalangan 12
negara TPPA, cuma Malaysia sahaja yang membawa perkara ini ke Parlimen
untuk kelulusan sebelum menandatangani perjanjian tersebut. Kesemua
negara lain telah membuat keputusan untuk pergi ke Auckland, New Zeland
pada 4 Februari 2016 bagi menandatangani perjanjian ini kerana ia tidak
memerlukan kelulusan badan legislatif negara-negara berkenaan. Bagi
Malaysia, kita akan membuat keputusan samada untuk menandatangani TPPA
atau tidak hanya selepas ia dibahaskan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat
dan Dewan Negara. Ini merupakan satu langkah yang menunjukkan bahawa
Kerajaan ini menghormati pandangan ahli-ahli Yang Berhormat.
Sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat setuju agar Kerajaan
menandatangani TPPA, ianya belum boleh dilaksanakan lagi. Tempoh
kira-kira 2 tahun diperlukan untuk kita membuat beberapa pindaan kepada
undang-undang berkaitan dan peraturan tertentu sebelum dapat
diratifikasikan. Sebanyak 26 pindaan perlu dibuat ke atas 17
undang-undang bagi mengambil kira beberapa persetujuan dicapai oleh
negara-negara dalam TPP.
Pindaan undang-undang yang substantif merangkumi bab-bab berikut:
Empat pindaan, yang melibatkan bidang penguatkuasaan dibawah Akta Kastam
1967, Akta Zon Bebas 1990 dan Perintah Kastam No.27 dalam Bab Barangan
(Bab 2);
Dua pindaan yang melibatkan bidang penguatkuasaan dibawah Akta Kastam 1967 dan Akta Zon Bebas 1990 dalam Bab Tempasal (Bab 3);
Sembilan pindaan yang melibatkan bidang paten, hakcipta, cap dagangan,
petunjuk geografi dan penguatkuasaan dibawah Akta Tanda Niaga 1976,
Peraturan-peraturan Tanda Niaga 1997, Akta Paten 1983,
Peraturan-peraturan Paten 1986, Akta Hakcipta 1987, Akta Indikasi
Geografikal 2000, Akta Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism
Financing Act 2001, Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan Baru 2004 ,
Peraturan-peraturan Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2008 390/2008 dan
389/2008, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan-peraturan
Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Directive No. 2/2011 (berkaitan “data
exclusivity”) dan Akta Pencegahan Perubahan Wang Haram dan Pencegahan
Pembiayaan Keganasan 2001 dalam Bab Harta Intelek (Bab 18);
10 pindaan yang melibatkan bidang penguatkuasaan di bawah Akta
Kesatuan Sekerja 1958, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kerja
1955, Akta Pasport 1966, Akta Standard-standard Minimum Perumahan dan
Kemudahan Pekerja 1990, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Anti
Pemerdagangan Orang 2007, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan)
1966, Ordinan Buruh Sabah Cap 67 dan Ordinan Buruh Sarawak Cap 76 dalam
Bab Buruh (Bab 19);
Satu pindaan yang berkaitan dengan anti-rasuah dan melibatkan bidang
penguatkuasaan dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
dalam Bab Ketelusan (Bab 26).
Pindaan yang prosidural merangkumi bab-bab berikut:
Semakan semula akan dibuat keatas peraturan perolehan kerajaan sedia ada
yang akan melibatkan pindaan untuk memastikan keseragaman peraturan
berkaitan pelaksanaan dibawah Arahan Perbendaraan (T1) dan satu
Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan dengan Treasury Instructions
(1PP) dibawah Bab Perolehan (Bab 15).
Saya ingin menekankan disini bahawa pindaan ke atas 17 undang-undang
Malaysia adalah untuk memastikan bahawa 26 pindaan keatas undang-undang
kita dikemaskini berdasarkan perkara yang telah dipersetujui dalam
rundingan dan tidak melibatkan pindaan perlembagaan. Perlu ditekankan
bahawa pindaan ini tidak menjejaskan dasar-dasar utama negara seperti
agenda Bumiputera. Sebaliknya, pindaan ini secara amnya adalah bertujuan
untuk menggunapakai amalan-amalan terbaik dalam hal berkenaan buruh,
alam sekitar serta hakcipta harta intelek.
Tuan Yang diPertua,
GLOBALISASI DAN PERDAGANGAN
Berkurun-kurun lamanya Malaysia adalah sebuah negara yang amat
bergantung pada perdagangan antarabangsa. Sejak Zaman Kesultanan Melayu
Melaka lagi, tanah air kita adalah sebuah pusat perdagangan yang ulung
kerana lokasi yang strategik dalam menemukan saudagar-saudagar dari
seluruh dunia. Ini telah membawa kemakmuran kepada Melaka.
Legasi perdagangan ini diwarisi sehingga sekarang dan Malaysia terus
unggul dalam perdagangan antarabangsa. Malaysia sebagai sebuah ekonomi
terbuka, di mana jumlah dagangan adalah 1.5 kali ganda lebih besar
daripada KDNK. Pada masa ini, Malaysia berada di tangga ke-23 negara
pengeksport dan ke-25 negara pengimport tertinggi di dunia. Jumlah
dagangan pada tahun ini dijangka RM1.4 trillion.
Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, Malaysia berdagang dengan
lebih 200 buah negara di seluruh dunia. Dasar kita adalah untuk berkawan
dan berdagang dengan semua negara. Oleh itu, kita telah menandatangani
13 FTA sehingga hari ini, yang terkini dengan Turki dan Malaysia juga
sedang merundingkan beberapa FTA yang lain termasuklah Perkongsian
Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan China serta FTA
dengan Kesatuan Eropah. Jumlah perdagangan dengan Turki telah melonjak
lebih 70% sejak Ogos tahun lepas. Penglibatan dalam TPPA bukanlah
bermakna kita meminggirkan China, ASEAN ataupun negara-negara Islam.
Malaysia perlu mempelbagaikan hubungan dagangan kita, dan jika ada
peluang sudah pasti kita ingin menjual barangan kita ke seluruh dunia.
Dalam dasar luar negara Malaysia, ASEAN adalah keutamaan kita. Pada masa
yang sama China dan negara-negara sahabat yang lain juga penting untuk
kita.
Penglibatan dalam TPPA tidak bermakna kita memilih Amerika dan
mengenepikan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain. Ini adalah
tanggapan yang tidak tepat.
Di samping itu, penglibatan Malaysia dalam TPPA tidak bermakna kita
mengabaikan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO). Malaysia masih lagi
berkeyakinan WTO merupakan platform terpenting untuk meningkatkan
hubungan perdagangan antara ngegara-negara dunia. WTO mempunyai 162
negara ahli dan insiatif WTO seperti Doha Development Agenda yang
bermula pada 2001 sehingga ke hari ini masih lagi belum menampakkan
hasil.
Kita tidak boleh menunggu Doha Development Agenda ini ditamatkan
sebelum kita terlibat dalam mana-mana FTA. Ini satu tindakan yang tidak
cerdik. Sekiranya kita menunggu sehingga Doha Development Agenda tamat,
kita tidak akan dapat menandatangan satu FTA baru pun. Oleh itu,
pihak-pihak yang berkata kita tidak patut menandatangani TPPA dan terus
terlibat dalam WTO dan tidak faham tentang perdagangan antarabangsa.
Saya ingin berkongsi dengan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian
kenyataan Ketua Pengarah WTO, Roberto Azevedo. Mengikut beliau bahawa
TPPA bukanlah satu persaingan sebaliknya ia melengkapi ataupun
complement. Kenyataan ini datang daripada orang paling kanan dalam
perdagangan dunia. Siapalah kita ini semua untuk menidakkan pandangan
Azevedo yang secara terbuka mengalu-alukan TPPA sebagai satu perjanjian
yang penting dalam melengkapi WTO.
Sejarah membuktikan bahawa negara yang mengamalkan dasar terbuka
lebih berjaya dari negara yang tertutup. Negara-negara yang mengamalkan
dasar tertutup seperti Korea Utara, Cuba dan suatu ketika dahulu Myanmar
tidak mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan. Sebab itulah
negara berlumba-lumba untuk menandatangani FTA. 619 FTA telah dilaporkan
kepada WTO dan 413 daripadanya telah pun berkuatkuasa. Kita boleh
memilih untuk menutup pintu kita kepada perdagangan dan pelaburan asing.
Kita juga boleh memilih untuk membuka pintu kita seluas-luasnya tanpa
had. Namun bagi Malaysia, kita mengamalkan sistem pasaran terbuka tetapi
akur kepada Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan budaya tempatan.
Malah, agensi seperti MIDA, InvestKL, Iskandar Malaysia, Koridor
Pembangunan Sabah (SDC), Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak
(SCORE), Koridor Utara dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur telah
diperkenalkan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara
kita. Itulah sebabnya juga ada InvestPenang di Pulau Pinang,
InvestSelangor di Selangor, InvestPerak di Perak dan InvestJohor di
Johor.
Semua negeri berlumba-lumba untuk mendapatkan pelaburan asing.
Malah keadaan sama di peringkat antarabangsa di mana negara-negara dunia
turut berlumba untuk menarik pelaburan asing. Kalau ada ahli-ahli Yang
Berhormat beranggapan bahawa pelaburan asing mencuri peluang pelabur
tempatan seperti dihujahkan di Padang Merbok oleh beberapa penceramah
pada hari Sabtu yang lalu, maka Yang Berhormat Bagan perlu tutup
InvestPenang dan Yang Berhormat Gombak pula harus tutup InvestSelangor.
Selaku Menteri MITI saya juga perlu tutup MIDA dan MITI.
Dasar Kerajaan adalah untuk menggalakkan pelaburan asing kerana ia
mendatangkan banyak manfaat kepada negara. Di Kelantan ada syarikat
Jepun bernama Rohm-Wako Electronics yang sudah 30 tahun beroperasi.
Rohm-Wako Electronics tidak mencuri peluang orang Kelantan sebaliknya ia
membawa pelaburan bernilai RM924 juta ringgit, 1,700 peluang pekerjaan
dan eksport produk LED syarikat tersebut yang tidak boleh dihasilkan
oleh Kelantan dihantar 100% ke seluruh dunia. Adakah Rohm-Wako
Electronics mencuri peluang orang Kelantan?
Jawapannya tidak sama
sekali. Sekiranya kemasukan syarikat-syarikat asing dikatakan mencuri
peluang rakyat tempatan, maka wajarlah Kerajaan Negeri Pulau Pinang
mencadangkan agar syarikat seperti Dell dan Intel berpindah keluar dari
negeri tersebut. Saya yakin Yang Berhormat Bagan tidak bercadang untuk
berbuat demikian. Justeru, berhati-hatilah ketika bercakap kerana
sebenarnya Malaysia bergantung kepada perdagangan luar dan pelaburan
asing yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa masuk modal serta
menjadi pemangkin kepada kemajuan setempat seperti yang berlaku di Kulim
dan Selangor.
Pelaburan asing juga telah membawa pembangunan kepada kawasan
setempat. Kulim Hi-Tech Park yang mempunyai lebih 20 pelabur asing
bertaraf global umpamanya telah menyediakan 25,000 peluang pekerjaan.
Tidak ada pelaburan asing di Kulim Hi-Tech Park, maka pembangunan Kulim
terbantut. Tanpa perdagangan luar, tidak adalah Pelabuhan Klang,
Perlabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Negara China dahulunya miskin. 50 tahun dahulu rakyat China
kebuluran. Waris-waris mereka di Malaysia menghantar wang kepada sanak
saudara di China untuk membolehkan mereka makan. Hari ini, negara China
pesat berkembang. Kenapa? Kerana Deng Xiaoping pada tahun 1989 telah
memperkenalkan reformasi yang radikal dan membuka ekonominya.
Pada tahun
2001, China menjadi ahli WTO setelah 15 tahun berunding. Kenapa China
mahu menjadi sebahagian dari dunia? Kerana Deng Xiaoping dan China
nampak faedah keterbukaan. Pada saat dan ketika ini, banyak kawasan di
negara China lebih maju dari Malaysia. Hari ini mungkin orang China
menghantar wang kepada keluarga mereka di Malaysia.
Lima puluh lima tahun dahulu, Singapura sama miskin dengan Malaya.
Hari ini, pendapatan perkapita Singapura lima kali lebih besar dari
pendapatan per kapita Malaysia. Kenapa?
Kerana dasar keterbukaan
Singapura. Singapura tidak mengeluarkan setitik pun minyak petroleum
tetapi merupakan salah sebuah negara pengeluar refined pteroleum
terbesar di dunia. Singapura tidak ada kelapa sawit, getah atau padi.
Mereka tidak ada sumber, mereka cuma ada modal insan atau pun human
capital. Kita harus akui bahawa Singapura lebih berjaya dari Malaysia
pada hari ini kerana dasar keterbukaannya.
Negara kita boleh memilih samada untuk tutup atau buka. Kerajaan
Barisan Nasional berpendapat untuk menjadi sebuah negara maju, untuk
mencatatkan pertumbuhan tinggi, untuk membawa lebih banyak pembangunan
ke Sabah Sarawak dan luar bandar, kita harus menjadi sebahagian dari
sistem perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Syarikat kita harus
bersaing agar mereka dapat menjadi sebahagian dari global value chain.
Dalam menghadapi TPPA ini, Malaysia perlu ada keberanian. Kerajaan
harus berani melaksanakan langkah yang mungkin tidak popular dalam
jangka pendek. Pada tahun 1974, Allahyarham Tun Abdul Razak, mantan
Perdana Menteri telah mengiktiraf negara China.
Ramai yang tidak
bersetuju pada ketika itu kerana China adalah sebuah negara komunis yang
membantu Parti Komunis Malaya. Namun jelas bahawa tindakan berani yang
diambil oleh Allahyarham Tun Abdul Razak itu membawa manfaat kepada
Malaysia. Hari ini, hubungan perdagangan di antara Malaysia dan China
amat baik.
TPPA memberi akses kepada pasaran lebih luas. Benar kita sudah ada
komuniti ekonomi ASEAN, benar kita sudah ada 12 FTA lain. Tetapi pada
pandangan saya adalah salah untuk mengatakan bahawa 13 FTA sudah cukup
buat Malaysia. Apabila kita tandatangan TPPA, pasaran kita akan
berkembang khususnya di empat negara yang Malaysia masih belum mempunyai
FTA iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Analoginya cukup
mudah, kalau saya orang Kelantan nak berniaga tomyam di Kelantan
insyaAllah rezeki ada saya masih boleh hidup. Tetapi sekiranya saya
memilih datang ke Lembah Klang maka pasaran saya lebih luas dan rugilah
sekiranya saya melepaskan peluang ini. Samalah juga halnya dengan TPPA,
sekiranya kita diberi peluang untuk menambah perniagaan di pasaran
terbesar di dunia maka kita tidak sewajarnya menolak peluang untuk
perniagaan tersebut.
Tuan Yang DiPertua,
Dalam dunia hari ini kita perlu bersaing. 115 tahun dahulu, Argentina
dahulu adalah antara negara terkaya di dunia. Pada satu masa dahulu
United Kingdom merupakan satu kuasa ekonomi dan militari terkemuka
dunia. Malah, sewaktu dulu Jepun dikatakan bakal mengancam kedudukan
Amerika Syarakat. Tetapi dunia sudah berubah. Hari ini China merupakan
negara ekonomi kedua terbesar di belakang Amerika Syarikat.
Pada 30
tahun dahulu, Malaysia, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan berada di
tahap pembangunan yang sama. Ketiga-tiga negara tersebut sudah menjadi
negara maju dan Malaysia masih terperangkap dalam middle income trap.
Sebab itu kita laksanakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan
Transformasi Ekonomi (ETP) untuk pastikan cita-cita Malaysia menjadi
negara maju tercapai. Kita tidak mahu negara kita dipintas oleh Vietnam
atau negara jiran yang lain.
Kita mahu jadi negara maju tetapi saya
bimbang sekiranya kita mengambil pendekatan yang terlalu jumud,
tertutup, anti pelaburan asing, anti perdagangan, saya takut Malaysia
akan tercicir dan kita akan berputih mata. Vietnam kini mengamalkan
dasar terbuka dan semakin agresif dalam menarik pelaburan asing. Saya
bimbang Malaysia akan menyesal sekiranya kita tidak menyertai TPPA
kerana para pelabur akan melihat negara-negara seperti Vietnam sebagai
satu destinasi pelaburan yang lebih menarik.
Terbuka tidak bermakna kita abaikan segala-gala tanpa ada kawalan
atau sekatan. Dasar keterbukaan yang kita amalkan adalah bertepatan
dengan Perlembagaan Persekutuan, melindungi hak Bumiputera, merapatkan
jurang antara yang kaya dan miskin, serta merapatkan jurang antara
negeri maju dan mundur. Dalam TPPA, ada yang berkata ia akan
mengakibatkan kemasukan bahan lucah tanpa kawalan. Ini merupakan satu
fitnah kerana Malaysia masih lagi boleh mengawal selia bahan-bahan ini
di bawah TPPA.
Penyertaan dalam TPPA tidak menjejaskan hak. Kerajaan
untuk menapis kandungan asing termasuk filem dan majalah-majalah dari
negara-negara ahli TPPA. Ini telah dimasukkan dalam senarai pengecualian
di bawah Bab Pelaburan dan Bab Perdagangan Rentas Sempadan
(Cross-Border Trade). Kemasukan buku-buku, majalah-majalah atau
suratkhabar, karya-karya seni serta filem-filem yang diimport dan akan
diedarkan ke dalam pasaran Malaysia adalah tertakluk kepada perundangan
Malaysia.
TPPA melibatkan 12 buah negara. Benar, Amerika Syarikat menyumbang
20% kepada pengeluaran dunia dan merupakan negara terbesar dalam TPPA.
Namun yang demikian, prinsip yang digunakan di sepanjang rundingan TPPA
ialah “Nothing is agreed until everything is agreed”. Ini bermakna kita
membuat keputusan berdasarkan konsensus. Kita memasuki TPPA atas
kerelaan kita, tanpa dipaksa, dan bab 30 perkara 6 memperuntukkan bahawa
kita boleh keluar dari TPPA sekiranya ia membawa kemudaratan kepada
negara.
Keluar TPPA tidak bermakna kita akan disaman atau menjadi sebuah
negara muflis.
TPPA adalah lebih demokratik dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB), International Monetary Fund, dan World Bank. Beberapa negara
dalam PBB diberikan kuasa veto manakala dalam TPPA keputusan dibuat
secara bersama atau konsensus. Di bawah perjanjian perdagangan ini, TPPA
Commission bakal ditubuhkan di mana tidak ada satu negara pun memiliki
kuasa veto. IMF dan World Bank pula memberikan lebih kuasa kepada negara
besar berbanding negara kecil. Justeru, TPPA adalah satu perjanjian
yang lebih adil dan demokratik berbanding PBB, IMF dan World Bank.
Segelintir individu cuba menakutkan rakyat dengan tuduhan tidak
berasas. Contohnya, ada yang mengatakan bahawa negeri-negeri tertentu
tidak boleh mengisyhtiharkan cuti pada hari Jumaat. Ada juga beranggapan
bahawa TPPA akan memaksa kedai-kedai dibuka pada pukul 12-3 petang hari
jumaat dan mungkin disaman sekiranya mereka tutup pada waktu itu.
Sesungguhnya, ini merupakan fitnah daripada individu-individu yang
langsung tidak memahami TPPA.
TPPA melibatkan 12 buah negara termasuklah
negara Islam seperti Brunei. Harus diingat bahawa Brunei merupakan
sebuah negara Islam. Malaysia juga diberi kebenaran untuk terus
menggunapakai sistem pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM.
Salah seorang penulis dari sebuah universiti tempatan telah
menerbitkan buku TPPA yang menggunakan gambar khinizir. Ini merupakan
satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang yang cerdik.
Kerajaan menyatakan bahawa TPP mempunyai kelemahan dan kebaikan.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga perlu sedar bahawa Malaysia merupakan
negara yang hebat. Ratusan ribu rakyat Malaysia kini bekerja sebagai
profesional di luar negara sebagai doktor, perniaga dan profesional.
Malah, syarikat milik kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Petronas
adalah dihormati. UEM dan SP Setia beroperasi di Australia, Rimbunan
Hijau beraksi di New Zeland. Mengikut perangkaan BNM sehingga September
2015, pelaburan Malaysia di luar negara berjumlah RM600 bilion
berbanding pelaburan syarikat asing di Malaysia bernamai RM500 billion.
Bagi negara-negara tertentu, umpamanya Australia bagi setiap RM1 yang
dilaburkan syarikat Australia di sini, syarikat kita ada RM5 di sana.
Adakah pelaburan Malaysia di negara asing bermakna kita menjajah negara
tersebut? Jawapannya tidak. Perniagaan adalah menang-menang. Kita
untung, dia untung. Kita harus sedar bahawa TPPA bukan sahaja memberi
peluang untuk syarikat asing memasuki pasaran Malaysia tetapi juga buat
syarikat Malaysia untuk melangkah masuk ke pasaran antarabangsa.
TPP menjadi kontroversi kerana ia tidak hanya bertumpu kepada tariff
dan pengurangan cukai. TPP merupakan satu perjanjian alaf baru dan
komprehensif. Perjianjian TPPA ini meliputi enam perkara yang penting
bagi Malaysia iaitu:
Cukai yang lebih rendah bagi barang-barang tertentu khususnya barang elektronik dan elektrikal;
Layanan lebih baik di empat buah negara yang kita belum ada perjanjian iaitu AS, Kanada, Mexico dan Peru;
Liberalisasi dan perlindungan pelaburan Malaysia di luar negara;
Meningkatkan kerjasama; dalam bidang kastam, pembangunan PKS;
Penguatkuasaan peraturan alam sekitar, buruh dan harta intelek; dan
Ketelusan serta dasar anti-rasuah.
Malaysia memasuki TPPA di atas terma-terma sendiri. Sejak awal lagi
YAB Perdana Menteri telah menegaskan kepada Presiden Obama dan pemimpin
dunia lain bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan dasar Bumiputera
semata-manta mahu memastikan tempatnya di dalam TPPA.
Pada 8 Oktober
2013, sewaktu mesyuarat ketua-ketua kerajaan di Bali sempena Sidang
Kemuncak APEC, YAB Perdana Menteri dengan lantang mengatakan bahawa
dasar Bumiputera merupakan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan. Dasar ini tidak boleh digugat. Perdana Menteri dengan
lantang menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan dasar ini
semata-semata untuk menyertai TPPA. Buat pertama kalinya dalam
perjanjian pedagangan antarabangsa, kedudukan Bumiputera diiktiraf. Ini
adalah satu kemenangan bagi malaysia dan inilah sebabnya kita buat
keputusan untuk masuk TPPA.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya tahu kebanyakan ahli-ahli Yang Berhormat telah faham dan membaca
TPPA. Bagi pihak Barisan Nasional, saya berani beri jaminan mereka
faham kerana mereka telah mengadakan beberapa bengkel yang saya sendiri
turut serta. Bagi pembangkang saya kurang pasti. Oleh yang demikian,
saya tidak akan senaraikan secara terperinci kandungan bab dalam TPPA.
Sepeti sedia maklum TPPA memmpunya 30 bab jadi saya akan highlight
beberapa bab yang difikir penting untuk diberikan penerangan.
Yang pertama, Malaysia membuat keputusan untuk menyertai TPPA kerana
kita masih belum mempunyai FTA dengan 4 buah negara iaitu Amerika
Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Amerika Syarikat adalah kuasa ekonomi
terbesar di dunia dan peluang untuk menembusi pasaran negara ini akan
memberi pulangan kepada syarikat-syarikat Malaysia.
Pada pagi ini, saya
cuma ingin menjelaskan tentang faedah yang dinikmati oleh syarikat
Malaysia dalam tiga bidang utama iaitu elektrikal & elektronik,
tekstil dan komponen automotif.
Cukai import bagi barangan eletrikal & elektronik Malaysia untuk
memasuki pasaran Amerika Syarikat buat masa ini adalah secara purata 5%.
Dengan terlaksananya TPPA, duti ke atas 99.8% dari produk elektrikal
& elektronik akan dimansuhkan serta merta. Ini akan memberi faedah
kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan pelaburan dan menerusi
pelaburan tambahan ini kita menjangkakan peluang pekerjaan serta eksport
juga akan bertambah.
Dalam bidang tekstil, baju-baju ini tarifnya sekarang ialah di antara
0.5 hingga 32% di Amerika Syarikat. Melalui TPPA, cukai import yang
dikenakan ke atas produk-produk ini akan dikurangkan sebanyak 70% pada
tahun pertama. Syarikat-syarikat pengeluar tekstil dan pakaian tempatan
menjangkakan bahawa pelaksanaan TPPA akan membantu meningkatkan hasil
eksport sebanyak 30%.
Walaupun Malaysia bukanlah pengeluar utama sektor automotif, Kerajaan
berpendapat sektor ini mempunyai potensi besar di bawah TPPA. Melalui
pemansuhan duti dan peraturan tempasal yang memerlukan pengeluar
automotif mendapatkan inputnya dari negara-negara TPP, komponen ini
dapat dieskport ke negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico,
sekaligus menambah peluang pekerjaan.
Tuan Yang DiPertua,
APA YANG BERJAYA DIPERTAHANKAN
Secara ringkasnya dibawah TPPA Malaysia telah berjaya mempertahankan:
Pelaksanaan dasar bumiputera di bawah Bab Perolehan, SOE serta Bab
Pelaburan dan Perkhidmatan. Fleksibiliti yang diberi kepada Malaysia
meliputi:
Tempoh dan threshold yang lebih tinggi untuk melaksanakan obligasi
Malaysia, terutama dibawah Bab Perolehan dan SOE. Pengecualian ini
termasuk:
memperuntukkan 30% untuk kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan;
memberi keutamaan kepada Bumiputera (termasuk PKS) dan juga entiti
daripada Sabah dan Sarawak sehingga 40% peruntukan pembelian tahunan
SOEs;
Disamping itu, pembekal dan pengeluar Bumiputera akan terus menikmati
keutamaan harga bagi barangan dan perkhidmatan bagi perolehan kerajaan;
Projek IPP dan pembangunan luar bandar serta pengecualian entiti-entiti
khusus daripada obligasi Bab SOE, iaitu KWSP, KWAP, LTAT, MARA, TERAJU,
EKUINAS, PNB dan Lembaga Tabung Haji; dan
Pengecualian dasar bumiputera dari obligasi Bab Pelaburan dan
Perkhidmatan, di mana Malaysia berhak untuk memberi layanan istimewa
dalam bentuk lessen / permit kepada pengusaha bumiputera, serta
pemberian subsidi kepada pengusaha bumiputera.
Hak kerajaan negeri di pelihara bagi:
urusan tadbir hal-hal berkaitan tanah, termasuk untuk meluluskan dan
menetapkan syarat-syarat bagi transaksi dan soal berkaitan pemilikan
tanah di bawah Bab Pelaburan dan Bab Perkhidmatan
Perolehan Kerajaan di peringkat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang dikecualikan dari obligasi Bab Perolehan; dan
Badan Berkanun Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikatnya yang dikecualikan dari obligasi Bab SOE.
Pensijilan Halal tidak dianggap sebagai suatu halangan kepada perdagangan, iaitu sistem sedia ada diteruskan.
Sistem pengimportan dan pengedaran beras di Malaysia tidak tertakluk kepada disiplin TPPA.
Hanya Malaysia dan Vietnam yang boleh terus mengenakan cukai eksport dalam TPPA.
Kerajaan boleh terus melaksanakan dasar kawal selia internet serta
penapisan bahan-bahan berunsurkan lucah dan bercanggah dengan nilai
moral dan agama tempatan.
Hak Kerajaan untuk mengurus aliran modal tidak menentu (volatile
capital flows) apabila berlaku krisis kewangan atau ancaman krisis.
Tuan yang DiPertua,
KEBIMBANGAN TERHADAP TPPA
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penjelasan kepada
beberapa kebimbingan yang diutarakan terhadap TPPA, samada melalui media
sosial atau semasa sesi penerangan TPPA.
Harga Ubat
Terdapat pelbagai dakwaan bahawa harga ubat akan naik oleh kerana
TPPA. Kita harus sedar bahawa terdapat pelbagai faktor yang menentukan
harga ubat, seperti kadar pertukaran matawang, kos penyelidikan dan
tempoh masa pengujian ‘clinical trials’. Hasil rundingan TPPA
mengekalkan dasar patent sedia ada seperti berikut:
Undang-undang Malaysia memperuntukkan perlindungan paten selama 20 tahun
dan ini kekal di bawah Perjanjian TPP, konsisten dengan terma di bawah
WTO.
Tempoh perlindungan paten hanya akan dilanjutkan sekiranya berlaku
kelewatan tanpa sebab-sebab munasabah. Amalan sedia ada bagi kelulusan
pemasaran adalah efisyen dan mengambil masa kurang dari 245 hari.
Memandangkan tempoh 245 hari tidak dianggap kelewatan tidak munasabah
untuk kelulusan pemasaran, maka tempoh paten kekal 20 tahun.
Bagi ubat-ubatan biologik (bukan kimia):
Syarikat farmaseutikal boleh mendaftarkan data ujian ubatan untuk
mendapat perlindungan selama 5 tahun menerusi proses perlindungan data
farmaseutikal yang telah berkuatkuasa semenjak tahun 2011.
Kerajaan bersetuju untuk memberi tempoh perlindungan yang sama bagi produk ubatan biologik.
Selain daripada Malaysia, negara TPPA seperti New Zealand dan
Australia juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa TPP tidak akan
menyebabkan kenaikan harga ubat kerana seperti Malaysia, negara-negara
tersebut mengekalkan mengekalkan dasar patent sedia ada.
ISDS
ISDS, atau mekanisme penyelesaian pertikaian diantara pelabur dengan
kerajaan bukan sesuatu yang baru kepada Malaysia. Sehingga kini, negara
telah menandatangani 74 perjanjian pelaburan dua hala dan 8 FTA yang
mengandungi mekanisme ISDS. Perlu ditegaskan disini bahawa ISDS tidak
menyekat hak Kerajaan untuk mengawal selia bagi perkara-perkara
berkaitan kesihatan awam, keselamatan dan alam sekitar.
ISDS juga
bertujuan melindungi pelabur-pelabur kita di negara-negara yang
mempunyai perjanjian pelaburan dengan Malaysia. Memandangkan ada
kegusaran dan kelemahan dalam mekanisma ISDS sedia ada beberapa
penambahbaikan bagi proses ISDS telah dirundingkan dalam TPPA.
Penambahbaikan ini termasuk mewajibkan proses konsultasi dan rundingan
sebelum dibincangkan di tribunal antarabangsa.
Interpretasi peruntukan-peruntukan TPPA ditentukan oleh negara ahli
TPPA, melalui Suruhanjaya TPPA, dan Tribunal wajib mengikut interpretasi
ini. Di samping itu semua tuntutan tidak munasabah atau frivolous claim
tidak akan dibenarkan. Tempoh masa untuk pelabur membawa kes terhadap
kerajaan terhad kepada 3 tahun 6 bulan.
Kebanjiran Pekerja Asing
Terdapat kebimbangan bahawa TPPA akan mengakibatkan kebanjiran pekerja
asing. Ingin diperjelaskan disini adalah bahawa obligasi di bawah Bab
Buruh bertujuan untuk mempertingkatkan standard perburuhan sedia ada ke
tahap yang lebih tinggi, seperti memberi kebebasan menubuhkan kesatuan
pekerja, rundingan secara collective, penghapusan buruh paksa, buruh
dibawah umur & diskriminasi di tempat kerja, penetapan gaji minima,
waktu bekerja serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TPPA
tidak akan mengubah dasar mengenai kemasukan pekerja asing. Pekerja
asing maupun pekerja mahir masih tertakluk kepada syarat-syarat
domestik sekiranya mereka ingin bekerja di Malaysia.
Industri Kecil dan Sederhana (PKS)
Ramai pihak bimbang bahawa industri kecil dan sederhana (PKS) tidak
dapat bersaing di bawah TPPA. Hakikatnya di bawah FTA sedia ada, pasaran
kita sudahpun terbuka, di mana duti import ke atas lebih dari 90%
produk yang masuk ke Malaysia telahpun dimansuhkan.
PKS diutamakan di
dalam TPPA dimana satu Bab Khusus telah diwujudkan dimana usaha bersama
kesemua ahli-ahli TPPA akan diadakan untuk membina upaya PKS. Di
samping itu Kerajaan telah pun mempunyai pelbagai program bina upaya
untuk membantu PKS mengambil peluang dari peluang yang wujud dibawah
TPPA. PKS di Malaysia telah pun terlibat dalam pasaran eksport, dimana
lapan belas peratus (18%) daripada bilangan PKS telah terlibat dalam
eksport. Lima puluh satu peratus (51%) PKS adalah dari sektor
perkhidmatan dan empat puluh lapan peratus (48%) dari sektor pembuatan.
TPPA akan membuka peluang yang lebih besar kepada PKS.
Bab PKS akan meningkatkan peluang penglibatan PKS di dalam rantaian bekalan global dimana setiap negara TPPA perlu:
Menyediakan program khusus pembangunan kapisiti PKS; dan
Menyediakan pangkalan data untuk dikongsi bersama oleh PKS.
PKS juga dapat meraih faedah di bawah TPPA:
Meningkat eksport melalui akses pasaran baru yang luas dikalangan ahli
TPPA, terutama pasaran ahli baharu, iaitu Mexico, Kanada, Peru dan
Amerika Syarikat.
Mengurangkan kos operasi memandangkan kos impot bahan mentah adalah lebih rendah akibat pengurangan duti import.
Dari aspek Perolehan Kerajaan:
Keutamaan syarikat Bumiputera dan PKS dikekalkan.
Pembekal PKS Malaysia juga berpeluang memasuki pasaran perolehan
kerajaan luar negeri – produk makanan, produk minyak masak, pakaian,
sarung tangan getah, komponen otomotif.
Penjajahan Semula
Adalah tidak benar, bahawa TPPA akan mengakibatkan penjajahan semula di
Malaysia. Pelaburan Malaysia di luar negara yang berjumlah kira-kira
RM600 bilion, melebihi pelaburan asing di negara kita sebanyak RM500
bilion (Q3 2015). Kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar
negara tidak bermakna kita menjajah negara-negara tersebut.
Disamping
itu, pelabur dari Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura sudah lama
berada di Malaysia. Pelaburan asing adalah penting untuk Malaysia,
terutama pelaburan yang berintensifkan modal serta berteknologi tinggi
dan dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran
tinggi.
Hakcipta dan Buku Rujukan Kegunaan Pelajar Universiti
Terdapat kebimbangan dipihak pelajar universiti bahawa tempoh hakcipta
(copyright) akan dipanjangkan dibawah TPPA daripada 50 tahun kepada 70
tahun, dan ini akan mengakibatkan peningkatan dalam kos kepada pelajar
universitI. Namun begitu, terdapat beberapa pengecualian daripada
komitmen tersebut bagi tujuan:
Pengajaran,
Penyelidikan,
Akses maklumat oleh individu yang ada kesukaran penglihatan, ataupun
lain-lain tujuan yang seumpama.
Tuan Yang DiPertua,
Kerajaan sedar bahawa penyertaan dalam TPPA ada kosnya. TPPA akan
memberi kelonggaran untuk penubuhan Kesatuan Sekerja. TPPA akan
memudahkan prosidur sekiranya kesatuan itu ingin mengadakan mogok. TPPA
juga membolehkan orang asing memimpin kesatuan sekerja dengan
syarat-syarat tertentu. Ini mungkin akan mengenakan tekanan kepada
majikan tetapi ia adalah baik untuk pekerja kerana mereka mendapat hak
yang lebih. Di bawah TPPA juga, kita dikehendaki untuk menambahbaik
kebajikan pekerja termasuklah membanteras perdagangan manusia,
menghapuskan buruh kanak-kanak. Ini merupakan satu langkah yang baik
untuk pekerja.
TPPA juga membolehkan beberapa PKS dalam sektor pembuatan
meningkatkan daya saingnya bagi menembusi pasaran luar negara. Benar,
bukan senang untuk menembusi pasaran tersebut walaupun beberapa PKS
sudah pun berjaya. Kerajaan mengakui bahawa kita memerlukan satu pelan
tindakan yang mantap bagi memastikan PKS tempatan mampu menembusi
pasaran global. MITI dan agensi-agensinya seperti SME Corp akan
menjalankan dan memperkasakan program bina upaya dan peningkatan
pencapaian piawaian antarabangsa. MATRADE akan memainkan peranan lebih
aktif dalam mencari pasaran dan memastikan agar syarikat kita mampu
bersaing di luar negara.
Kajian PwC mengatakan bahawa imbangan dagangan akan berkurangan
kerana meskipun jumlah ekport meningkat, namun jumlah import akan
meningkat pada kadar lebih tinggi. Imbangan dagangan akan menurun
sebanyak 4.3-5.2% dalam masa 10 tahun selepas TPPA dilaksanakan. Apa
yang lebih penting ialah Malaysia akan terus mendapat lebihan dagangan
setelah TPPA dilaksanakan. Kerajaan akau terus berusaha meningkatkan
jumlah eksport negara khsusnya melalui inisiatif yang dirangka oleh
Majlis Eksport Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.
Dalam apa jua keputusan ada buruk dan baiknya. Kerajaan buat
keputusan berdasarkan buruk baik. Kerajaan berpendapat Malaysia dapart
meraih kebaikan dan kita akan ketinggalan sekiranya tidak menyertai
pakatan perdangan terbesar ini.
Ramai mungkin tak nampak feadahnya hari ini tapi saya bimbang ekonomi
negara-negara jiran lain yang menyertai TPPA akan menjadi lebih mantap
sekiranya kita memilih untuk tidak menyertai TPPA.
Kalau kita pilih untuk menunggu dan masuk kemudian kita mungkin tidak
akan dapat pengecualian yang sama dalam isu seperti bumiputera,
pensijilan Halal dan lain-lain kelonggaran yang telah dirundingkan. Ini
dipanggil first mover’s advantage. Kalau Malaysia menyertai TPPA
kemudian perkara yang telah berjaya dirundingkan mungkin tidak akan
terpakai lagi
PENUTUP
Tuan Yang DiPertua,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat
yang telah banyak memberikan pandangan tentang TPPA sepanjang 5 tahun
tempoh rundingan berlangsung. Ucapan terima kasih saya tujukan khusus
kepada ahli Kaukus TPP yang diketuai oleh YB Jasin. Banyak isu yang
telah dibangkitkan oleh wakil Kerajaan dan Pembangkang, ahli-ahli
Yang
Berhormat serta rakyat Malaysia yang menyertai ratusan sesi engagement
yang diadakan.
Saya ingin menyatakan penghargaan kepada para perunding kita yang
diiktiraf negara TPPA lain sebagai berpengalaman dan tegas
mempertahankan kedudukan kita dan berjaya merundingkan TPPA atas terma
Malaysia.Tahniah kepada pegawai kita, terima kasih kepada Kaukus TPP dan
terima kasih rakyat Malaysia. Saya harap semua pihak dapat menilai TPPA
secara objektif serta mengambil kira manfaat jangka masa panjang serta
peluang yang mungkin terlepas sekiranya kita tidak menyertai perjanjian
ini. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka
Kerajaan merasakan bahawa penyertaan Malaysia ke dalam TPPA adalah
selari dengan kepentingan negara.
Harum sungguh bunga kemboja,
Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
Telitilah kandungan sehingga tamat
Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Berbahaslah tuan berbekalkan ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment