Katanya, Pua juga seolah-olah telah hilang ingatan apabila cuba menafikan kenyataannya sebelum ini yang berat sebelah dan berbaur politik terhadap 1MDB walaupun PAC yang turut dianggotai wakil rakyat pembangkang masih menjalankan siasatan secara telus ke atas syarikat berkenaan.
“Nampaknya kenyataan saya berjaya menusuk saraf Pua. Saya sebelum ini tidak menyebut nama sesiapa tetapi siapa yang makan cili, dia terasa pedas. Saya tertanya-tanya dari mana dia mendapat bukti melalui maklumat umum kononnya berbilion wang hilang disebabkan penjahat, adakah berdasarkan laporan audit atau membaca Sarawak Report dan terus membuat kesimpulan?
“Jika kita boleh membuat kesimpulan berdasarkan maklumat umum, maka apa gunanya mesyuarat PAC. Pua perlu faham bahawa inkuiri di dalam PAC dijalankan dengan tepat untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang dibuat oleh media,” katanya yang juga anggota panel PAC dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Teck Meng semalam menempelak Pua berikutan kenyataannya yang memburukkan 1MDB serta cuba mencari publisiti murahan apabila ‘melakonkan’ watak sebagai mangsa terhadap tuduhan yang dikeluarkan.
Pua dalam reaksinya hari ini bagaimanapun dilihat cuba mencari simpati apabila mendakwa Teck Meng mempunyai niat memastikan beliau digantung daripada PAC dengan mengeluarkan kenyataan berkaitan 1MDB.
Menurut Teck Meng, tiada gunanya PAC ditubuhkan jika masih ada pemimpin seperti Pua yang mengeluarkan kenyataan tidak profesional melangkaui peranan PAC untuk mencari kebenaran kepada rakyat.
Katanya, semua anggota PAC termasuk Naib Pengerusinya daripada DAP, Dr. Tan Seng Giaw telah beberapa kali meminta supaya setiap tuduhan perlu disertakan dengan bukti sahih, justeru Pua juga tidak terlepas untuk mematuhinya.
“Adakah terlalu susah untuk Pua faham? Adakah susah untuk bekerjasama dengan kami semua dan mengeluarkan kenyataan rasmi berdasarkan fakta bukannya merendahkan kredibiliti keseluruhan pasukan melalui kenyataan tidak produktif dan berbaur politik?
“Tiada gunanya mengeluarkan banyak kenyataan jika kebanyakannya berbaur politik, tidak berasaskan fakta sahih. Ini hanya menambah kekeliruan bukannya kebenaran,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment