Tuesday, January 05, 2016

Apa Yang Kecoh Sangat Tentang Vape? Tak Faham Halal Haram Lagi Ke?

EDITOR MENULIS...
5 JANUARI 2016
Saya maklum bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini telah memutuskan bahawa penggunaan Vape atau rokok e-elektronik adalah haram hukumnya. Keputusan tersebut dibuat selepas muzakarah dilaksanakan dalam bentuk ijma' yang disertai oleh golongan ulama' muktabar negara.

Ekoran keputusan tersebut maka kecohlah di kalangan umat Islam, khususnya di kalangan yang menggelar diri mereka sebagai #BangsaVape. Macam-macam yang diperkatakan tentang pengharaman vape tersebut. Walaupun dimulutnya akur, namun ada 'tapi'nya di belakang...

Pertamanya, saya lebih suka melihat sudut agama. Kita tahu bahawa ijma' ulama yang muktabar merupakan salah satu sumber perundangan Islam selain Al-Quran, Hadis dan qias. Ijtihad juga sumber, namun di zaman ini dilihat agak sukar untuk ulama memenuhi syarat ketetapan untuk melakukan ijtihad secara ifrad.

Bagi saya lah, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaaan mengharamkan vape adalah suatu perkara yang tidak mengejutkan kerana penggunaan rokok e-elektronik itu adalah sangat sinonim dengan penggunaan rokok yang telah difatwakan haram sebelum ini.

Jadi, adalah amat pelik jika Majlis Fatwa mengharamkan rokok tapi tidak mengharamkan vape. Justeru itu maka saya bersetuju mengatakan bahawa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum vape sebagai haram itu adalah tepat.

Secara mudah, apabila dihukum sebagai haram, maka ia adalah hampir sama statusnya dengan perkara-perkara lain yang diharamkan dalam Islam. Mungkin ia tidak sama seperti haramnya najis berat seperti babi dan anjing, namun mungkin ia sama status haramnya dengan dadah.

Paling utamanya, haram tetap haram, halal tetap halal, dan hukum tetap hukum. Terserahlah untuk patuh kepada hukum yang ditetapkan itu atau tidak kerana dosa dan pahala adalah hak mutlak individu. Sekurang-kurangnya, ulama-ulama kita sudah melunaskan tanggungjawab mereka untuk menentukan hukum bagi perkara tersebut.

Namun, lain pula konteksnya jika dibicarakan dari sudut perundangan negara. Kita punya undang-undang negara yang perlu dipatuhi, bukan? Jika hukum Islam hanya melibatkan umat Islam, undang-undang negara pula tidak mengenal anutan agama, bangsa atau budaya.

Kita punya Akta Racun 1952. Kita punya beberapa garis panduan yang ditetapkan untuk dipatuhi. Melanggar undang-undang bermaksud kita tidak patuh dan boleh dihukum jika sabit kesalahan. Jelas bukan?

Jadi, dari sudut ini maka timbul sama ada penggunaan vape itu dibenarkan atau tidak dibenarkan dari sudut perundangan. Dalam bahasa Inggerisnya, 'legal' atau 'illegal'.

Mengambil contoh rokok konvensional, saya kira semua umat Islam tahu bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan hukumnya adalah haram bukan? Namun dari sudut perundangan negara, ia adalah dibenarkan selagi tidak melibatkan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang seperti rokok seludup dan sebagainya.

Memang jelas dua situasi yang berbeza pula dengan vape yang baru dikenali di negara kita. Penulis dapati bahawa Kementerian Kesihatan telah membenarkan cecair vape dan penjualan dilakukan di farmasi yang berlesen sahaja.

Selain itu, beberapa syarat lain turut dikenakan bagi 'vapers', kecuali Johor dan Kelantan yang sebelum ini mengharamkan penggunaan vape secara total. Jadi, pengguna atau peniaga vape disarankan supaya memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak berkuasa tersebut.

Pada saya, sekiranya syarikat rokok sebelum ini bersusah payah memenuhi syarat mengilang, mengedar dan menjual rokok yang jauh lebih ketat, apalah kiranya #bangsavape melakukan perkara yang sama, kan?

Justeru itu, tidak perlulah digembar-gemburkan sangat perkara seperti ini. Bukannya ia mendatangkan faedah sangat pun. Rasanya belum ada lagi orang yang mati kerana tidak hisap rokok atau vape. Tapi ramai yang sudah mati kerana rokok, kan? Mungkin vape masih 'awal' lagi untuk menyebabkan kematian berlaku.

Tepuk dada tanya selera. Jika umat Islam mahu patuh atau tidak, maka terserah. Dosa pahala, 'legal illegal', maka tanggunglah sendiri. Bagi yang bukan Islam, memang mereka tidak perlu patuh pada halal atau haram, tapi mereka tetap sangkut dengan terma 'legal' dan 'illegal'. Fikir baik-baik...

Fikir-fikirkanlah ya...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMoEhF9SBhGuMMWIV247Ei5tk94Gj0YZzzVJ89eF5zV2i_PTSXZix083XM6cNxgxRKqJVlk_dzM3qh_CPVXlkPkZB0_x5juQCeaPmBKncSpi1G3uh1xNh8OkMjfbMkCEyrUxxs6QiNXbsi/s1600/Debat+93.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment