Tuesday, January 05, 2016

Demi Islam, Najib Dan Hadi Bekerjasama Walau Beza Ideologi

EDITOR MENULIS...
5 JANUARI 2016
Sejak seminggu dua ini, heboh diperkatakan tentang isu UMNO dan PAS yang dilihat sangat mesra dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Bermula dari Dewan Rakyat hinggalah ke 'Parlimen Kedai Kopi', kecoh dipedebatkan isu tersebut.

Saya sebenarnya melihat perkembangan serta pendekatan baru di antara UMNO dan PAS itu secara teliti. Saya banyak membaca ulasan, komen dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan berhubung isu tersebut.

Ada yang menentang keras, ada yang menyokong penuh. Ada yang negatif, ada yang positif. Ada yang kata mustahil, ada yang kata boleh berlaku. Ada yang kata sukar dan 'mendung', ada pula yang mendoakan agar kedua parti terbesar Melayu itu bersatu di bawah satu payung...

Pada pandangan saya, kita rujuk dulu pada Islam. Allah SWT di dalam Al-Quran menyuruh kita bersatu di atas 'tali Allah' yang merujuk pada Islam. Rasulullah SAW juga pernah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.

Kemudian, kita rujuk pula tentang apa yang berlaku di Malaysia. Umat Islam di negara kita berpecah belah kerana politik sejak sekian lama, sejak di zaman merdeka, bukan? Sejak Pilihan Raya Umum Pertama pada tahun 1955, bukan?

Seterusnya, umat Islam dipecah belahkan lagi apabila ada yang menyertai DAP, menubuhkan Semangat 46, Berjasa, PKR, Parti Kita dan yang terbaru, Parti Amanah Negara pimpinan Mohamad Sabu. Teruk atau tidak umat Islam berpecah di Malaysia, itulah hakikatnya. Paling menyedihkan, ia semua adalah angkara POLITIK.

Semalam, PAS menjelaskan bahawa parti itu hanya mahu bekerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) demi kepentingan Islam, rakyat dan negara. Kata parti itu, pihaknya tidak setuju bergabung dari sudut politik. Jelas?

Maksudnya, PAS mahu terus jadi pembangkang, tapi berperanan sebagai pembangkang sebagai 'check and balance' yang terpenting dalam sistem demokrasi. Maksudnya, PAS mahu jadi pembangkang yang sihat dan bukannya kerja membangkang apa saja membuta tuli seperti Pakatan Harapan.

Bagi pihak UMNO pula, parti itu tiada masalah untuk bekerjsama dengan PAS. Tidak pula UMNO sebut atau suruh PAS masuk BN. Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak hanya menghulurkan salam silaturrahim, dan ia disambut baik oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Salahkah tindakan itu?

Lebih teruja lagi, tindakan Najib itu belum pernah dilakukan oleh dua Presiden UMNO sebelumnya, Tun Mahathir Mahathir mahupun Tun Abdullah Ahmad Badawi. Lebih manis lagi ia disambut baik oleh Hadi yang terkenal dengan sikapnya yang keras dan tegas.

Jadi,untuk apa diperdebatkan hal gabungan UMNO dan PAS sebagai satu entiti? Cemburu? Dengki melihat Melayu bersatu dan bekerjasama? Atau memang hati itu hitam, busuk dan tidak lagi ada nur hidayah untuk menerima sesuatu yang baik?

Pada pandangan penulis, biarkan saja UMNO dan PAS bekerjasama dengan erat. Satu kerajaan, satu pembangkang, ada 'check and balance'. Biar mereka-mereka diluar sana garu kepala dan berteka-teki, tapi jangan haraplah untuk perkotak-katikkan UMNO dan PAS lagi, kan?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMoEhF9SBhGuMMWIV247Ei5tk94Gj0YZzzVJ89eF5zV2i_PTSXZix083XM6cNxgxRKqJVlk_dzM3qh_CPVXlkPkZB0_x5juQCeaPmBKncSpi1G3uh1xNh8OkMjfbMkCEyrUxxs6QiNXbsi/s1600/Debat+93.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment