Tuesday, January 05, 2016
Isu "2 Kerja" Ahmad Maslan : Inilah Jadinya Bila Suka Baca Tajuk Saja...
EDITOR MENULIS...
5 JANUARI 2016
Sebelum ini, ramai pemimpin dan tokoh di negara ini menggesa rakyat
Malaysia supaya membaca keseluruhan kandungan penuh sesuatu laporan
berita dan tidak cepat membuat sebarang persepsi dengan hanya membaca
tajuk laporan sahaja.
Namun seperti biasa, mungkin ramai yang malas membaca dan enggan
menerima nasihat berguna itu. Mereka tetap dengan budaya malas membaca
walaupun laporan berita hanya melibatkan beberapa perenggan saja.
Bila hanya baca pada tajuk sahaja, maka mudahlah terpesong cerita dan
mereka sewenang-wenangnya mencetus persepsi sesuka hati tanpa
menghiraukan kandungan berita yang sebenar. Paling menjengkelkan, mereka
obses dengan persepsi salah tersebut walaupun mereka diberikan
penjelasan mengenai salah faham itu.
Itulah yang berlaku terhadap Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan.
Dengan hanya membaca tajuk saja, ramai yang marah-marah menuduh beliau
memaksa semua rakyat Malaysia melakukan 2 kerja untuk menampung kos sara
hidup. Padahal, kenyataan beliau jelas bertentangan dari apa yang
mereka faham.
Memetik laporan penuh media, Ahmad memahami keadaan rakyat yang kini
bergelut dengan kenaikan kos sara hidup. Sebenarnya, beliau hanya
memberi komen bahawa melakukan 2 kerja di zaman ini adalah satu perkara
yang biasa ekoran kenaikan kos sara hidup.
"Saya rasa ia (dua pekerjaan) bukanlah satu kesalahan, (walaupun)
Malaysia ada peraturan, ia satu cara bagi menangani kos sara hidup juga.
Walaupun kerja waktu pejabat (dari jam 8 pagi ke 5 petang), masih boleh
buat online business, asalkan datang kerja dengan tidur yang cukup.
Online business boleh buat weekend juga.
"Kerajaan telah melancarkan dua perkara; e-usahawan dan e-rezeki… boleh
lihat portal… ia (dua pekerjaan) selaras dengan apa yang dibuat oleh
peringkat kerajaan," - Ahmad Maslan, 28 Disember, 2015.
Berdasarkan kenyataan di atas, langsung tiada kenyataan yang memaksa
rakyat melakukan 2 kerja sebagaimana yang dihebohkan pihak yang gemar
membaca tajuk saja itu, bukan? Malah kenyataannya jauh sekali dari apa
yang diperkatakan.
Sebab itulah saya menegaskan tentang betapa pentingnya membaca isi
kandungan penuh sesuatu laporan itu sebelum membuat sebarang persepsi.
Fahamkan betul-betul apa yang cuba disampaikan supaya tidak berlaku
kesilapan dalam tafsiran sesuatu isu.
Sebab itulah juga wahyu pertama Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW supaya
membaca. Betapa membaca itu memberikan kefahaman kepada kita tentang
sesuatu perkara, maka kita sebagai umat Islam harus sedar tentang hikmah
yang disampaikan itu.
Malangnya, ramai umat Islam kini lebih cenderung untuk malas membaca.
Bila ditegur atau dinasihati, ramai pula yang enggan menerima kesilapan
sendiri. Bila disebut itulah antara punca penyebab Islam lemah di akhir
zaman, mulalah marah-marah tidak tentu hala...
Hakikatnya, terimalah saja kelemahan itu dan berubahlah ke arah yang
lebih positif. Orang nasihat bukannya kerana benci, sebaliknya atas
dasar kasih sayang sebagai saudara seagama yang tidak mahu melihat
saudaranya terus hanyut dengan budaya negatif.
Berubahlah rakyat Malaysia, khususnya umat Islam. Buangkan syak wasangka
buruk dan menjelang tahun baru 2016, penulis menyarankan agar kita
semua berazam untuk berubah menjadi lebih bertanggungjawab dalam
menangani persepsi tidak benar. Lebih utama lagi, bagi mengelak sebarang
unsur fitnah dan dosa dalam pemikiran kita.
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment