Tuesday, January 12, 2016
Berita Baik Untuk Golongan Pendidik
Kementerian Pendidikan mengumumkan beberapa
berita baik kepada golongan pendidik di negara ini sebagai inisatif
untuk mengekalkan ‘keharmonian’ dalam pengajaran dan pembelajaran di
sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antaranya adalah
menambah pembukaan permohonan pertukaran bagi guru ‘duka lara’ kepada
tiga kali tahun ini berbanding dua kali sebelum ini dengan dimulakan
untuk guru di Sabah dan Sarawak pada 15 hingga 25 Januari ini.
Selain itu, beliau berkata, kementerian juga akan mengkaji semula
kewajaran sekolah menghantar data termasuk melibatkan kehadiran pelajar
ke peringkat kementerian secara harian.
Beliau berkata, untuk kebaikan setempat pula, kementerian akan turut
melihat semula syarat pelantikan guru besar dan pengetua di sekolah yang
sebelum ini perlu memiliki sijil Program Kelayakan Profesional
Pemimpin Kebangsaan (NPQEL).
“Kalau tahun-tahun sebelum ini kita buat dua kali pertukaran guru,
tahun ini kita cadang tiga kali pertukaran dengan syarat, guru yang
mengajar di kelas peperiksaan tidak termasuk dalam kategori ini.
“Sebagai contoh, kalau guru itu mengajar kelas peperiksaan tahun
enam, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan tingkatan lima, dia tidak
bolehlah minta. Elok dia minta hujung tahun sebab kelas sedang
berjalan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perutusan Tahun
Baharu 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini
hari ini.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, keja-kerja menghantar pangkalan data
secara online ke kementerian oleh pihak sekolah juga perlu dilihat
semula memandangkan wujud pelbagai kekangan terutama dari segi capaian
liputan Internet di sekolah-sekolah tertentu.
Kata beliau, sekiranya terdapat data-data yang dilihat tidak
diperlukan dengan kadar segera, data tersebut boleh disimpan di
peringkat sekolah dan pejabat pendidikan daerah (PPD) terlebih dahulu.
“Biar data itu ada di sekolah dan di peringkat PPD kerana sebelum ini
penghantaran data tersebut menjadi antara keresahan. Jadi, kita rasakan
adalah tidak perlu semua data dipusatkan. Kita akan agih-agihkannya,”
katanya.
Berhubung pelantikan guru besar dan pengetua yang mensyaratkan
sijil NPQEL, beliau berkata, sebelum ini seseorang itu perlu memiliki
sijil NPQEL di Institut Aminuddin Baki untuk melayakkannya menjadi guru
besar dan pengetua.
“Jadi, ini juga boleh dikaji semula untuk tujuan kebaikan setempat
atas nasihat atau sokongan Pengarah Pendidikan negeri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment