Monday, January 04, 2016

Kena Bijaksana Dalam Menilai Berita dan Maklumat – NGO Perak

IPOH : Pengerusi Barisan NGO-NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar membidas sikap pihak yang tidak bertanggungjawab, khususnya pihak pembangkang yang memanipulasikan  kenyataan Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan berhubung isu dua kerja baru-baru ini.

Menurut beliau, apa yang disebut oleh Timbalan Menteri itu adalah berhubung menambah pendapatan melalui talian online di mana beliau menyarankan mereka yang sudah bekerjaya tetap untuk menjalankan perniagaan sampingan melalui online.
Ahmad Maslan dua kerja 
“Jika kita membaca berita di dalam akhbar atau media sosial, saya sarankan kita baca artikel itu sepenuhnya dan sampai habis. Ini disebabkan ada kalanya tajuk berita yang dikeluarkan oleh agensi berita adakalanya disensasikan dan tidak tepat dengan apa yang diperkatakan sebenarnya.

“Sebab itu kita kena baca sampai habis dan tidak hanya membaca tajuknya sahaja. Membaca tajuk saja tanpa membaca isinya akan menyebabkan kita salah faham kerana akhbar selalunya cuba mensensasikan tajuk berita untuk menarik perhatian ramai pembaca.

“Kita sebagai rakyat di zaman maklumat hanya dihujung jari ini sebenarnya perlu lebih teliti dan berhati-hati, baca sepenuh-penuhnya kenyataan seseorang pemimpin itu dan jangan baca tajuk atau separuh jalan. Akhirnya kita menyebarkan perkara yang tidak betul dan ada pihak tertentu  mengambil kesempatan menyebarkan pula perkara tidak betul itu sehingga menjadi fitnah,” ujarnya kepada pihak media di sini hari ini.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai agar jangan terus percaya dan menelan bulat-bulat dengan sebarang maklumat khususnya di laman media sosial seperti whatsapp, facebook dan lain-lain.

“Kita sebagai rakyat yang bijaksana, perlu teliti dulu maklumat tu. Sahih ke tidak, palsu atau betul. Islam juga menyuruh umatnya supaya menyiasat dulu sebarang maklumat yang diterima sebelum membuat apa-apa tindakan atau komen.

“Sebab sekarang ni terlalu banyak sangat maklumat yang tak betul tersebar di dalam media sosial. Lebih malang lagi ada segelintir rakyat di negara ini suka sangat menyebarkan maklumat salah dan palsu tanpa memeriksa terlebih dulu. Perkara ini amat bahaya dan boleh mendatangkan mudarat kepada yang difitnah dan juga orang lain.

“Sebagai umat Islam, kita juga harus ingat bahawa dosa fitnah itu lebih besar dari dosa melakukan pembunuhan. Ini memperlihatkan bahawa Islam begitu tegas dalam hal-hal yang berkaitan dengan fitnah.

“Fitnah bukan saja boleh menjatuhkan dan mengaibkan maruah seseorang individu, tetapi ia juga boleh menghancurkan instituasi kekeluargaan, boleh memecah belahkan antara rakan-rakan dan boleh menyebabkan sesebuah negara jadi huru hara. Akibatnya terlalu terbesar untuk kita tanggung,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment