Tuesday, January 05, 2016

Kerjasama Dengan UMNO : Haron Din Suruh Tunggu Pengumuman Penting Haji Hadi

Tak diragui lagi, dua tokoh PAS yang cenderung kepada 'perpaduan ummah' Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin spritual PAS Datuk Seri Dr Haron Din yang juga Mursyidul Am PAS.

Dengan barisan kepimpinan diperingkat pusat yang 100 peratus menyokong kepimpinan keduanya selepas 'duri dalam daging' sebelum ini keluar beramai-ramai menubuhkan parti baru selepas tewas dalam pemilihan PAS Jun tahun lalu.

Pemerhati politik menunggu penuh minat pengumuman yang dijangka dibuat oleh Haji Hadi mengenai apakah parti tersebut bersetuju menerima 'pinangan' UMNO untuk mengadakan kerjasama politik.

"Pinangan' dari UMNO dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO awal Disember lalu di PWTC.

Difahamkan PAS bakal mengumumkan keputusan rasmi mengenai kerjasama politik diantara parti Islam itu dengan parti pemerintah, UMNO dalam masa terdekat ini.

Mursyidul Am PAS Dr Haron Din dipetik berkata keputusan itu akan diumumkan dalam sehari dua ini oleh pimpinan tertinggi parti.

"Mungkin perlu tunggu sehari dua lagi, akan ada penguguman rasmi..sama ada jadi tak jadi dalam sehari dua ini", katanya.

Haji Hadi dijadual memberi taklimat khas mengenai perkara tersebut kepada seluruh pimpinan PAS negeri, Ahli Parlimen PAS, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pimpinan akar umbi yang bakal berlangsung di Kota Baru Sabtu ini.

Sebelum ini perkongsian pentas antara Haji Hadi dan Najib dalam program Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang diadakan pada bulan lalu menimbulkan pelbagai persepsi dan perdebatan, sama ada di media arus perdana mahupun di media sosial.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melahirkan keyakinan bahawa sudah wujud keserasian dalam pemimpin UMNO dan PAS untuk menyatakan kerjasama kedua-dua parti itu secara formal.

Menurutnya usahasama dan perpaduan kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang menggalakkan dan ikatan tahaluf siyasi boleh terjalin andainya ada persefahaman yang termeterai.

PAS sebelum ini mengekalkan keputusan parti itu untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP dan parti serpihannya (PAN) yang mempunyai objektif yang sama untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional daripada menguasai Putrajaya.

Malah, Haji Hadi berkata, perjuangan PAS kini berpaksi kepada mengubah dasar pemerintahan kerajaan, bukan semata-mata ingin merebut jawatan dan mahu memerintah negara.

"PAS sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya UMNO ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu kuasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita ambil pendekatan lain iaitu ambil alih pemerintahan.

"Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikat kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa," kata Haji Hadi.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment