Monday, January 25, 2016

Negara Manfaatkan Kerjasama Tarik Lebih Ramai Pelancong Asean

http://www.yasnita.org.my/wp-content/uploads/2014/06/Mas-Ermieyati-Samsudin.jpg
ALOR GAJAH : Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan memanfaatkan jalinan kerjasama yang dimeterai bersama sembilan lagi negara ASEAN pada Forum Pelancongan ASEAN yang berakhir di Manila, Filipina semalam.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata melalui kerjasama itu, industri pelancongan di negara ini dijangka dapat dipertingkat dan dimajukan dengan kedatangan lebih ramai pelancong ASEAN.

Beliau berkata kerjasama berkenaan juga dilihat akan dapat meningkatkan ekonomi negara serta menjana dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pemain dalam industri pelancongan negara.

“Memorandum kerjasama ini akhirnya dapat dimeterai setelah sembilan tahun ia gagal mencapai kata sepakat berhubung beberapa isu berbangkit.

“Kesepakatan yang dicapai pada forum empat hari itu bermula Rabu lepas, akan membuka satu dimensi baharu dalam industri pelancongan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Parlimen Masjid Tanah di Masjid Al-Fattah Kampung Lalang di Kuala Sungai Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata pameran dan pertemuan ahli perniagaan yang disertai delegasi dari Malaysia pada forum itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta negara ASEAN yang lain.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan sentiasa mempertingkatkan keselamatan negara daripada sebarang ancaman yang mampu menggugat industri pelancongan.

Oleh itu, katanya, rakyat diminta tidak menyebarkan berita tidak sahih atau sensitif di media sosial sehingga mewujudkan rasa cemas dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memberi jaminan isu keselamatan negara menjadi keutamaan pihak keselamatan. Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh rakyat kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat membantu dan menyokong kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dengan mengamalkan sikap ramah serta budaya ketimuran kepada semua pelancong.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment