Tuesday, January 05, 2016
Pakatan Harapan Meterai Perjanjian Politik Sabtu Ini
KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan akan mengadakan satu persidangan di Shah
Alam, Selangor pada 9 Januari bagi memeterai Perjanjian Pakatan Harapan
di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata,
perjanjian itu diadakan bagi memastikan ketiga-tiga parti itu dapat
bekerjasama dalam sebuah kesatuan politik yang mampan, di samping
memastikan perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini
tidak berulang.
"Rundingan dan perbincangan untuk memuktamadkan Perjanjian Pakatan
Harapan telah bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas
pelancaran Pakatan Harapan (pada tahun lepas)," katanya pada sidang
media di ibu pejabat Amanah, di sini Selasa.
Turut hadir ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim
Kit Siang dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin
Abdullah.
Intipati perjanjian itu, antara lain, menggariskan prinsip dan kaedah
dalam membuat sesuatu keputusan; prinsip dan kaedah menyelesaikan
pertikaian di antara parti; penentuan kerusi yang ditandingi dalam
sesebuah pilihan raya; serta prinsip dan kaedah sekiranya perjanjian
dilanggar mana-mana parti.
Ditanya sekiranya PAS akan dijemput ke persidangan itu, Dr Wan Azizah
berkata, perjanjian pada hari berkenaan hanya melibatkan peranan PKR,
DAP dan Amanah sahaja.
Ketika diminta menjelaskan hubungan antara PKR dan PAS di Selangor
susulan perjanjian itu, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi isu.
"Hubungan (dengan) PAS di Selangor tidak terlibat, kerana kami
bekerjasama dalam sesetengah perkara sahaja. No issue," katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment