Monday, January 25, 2016
Pengganas Sudah Dipulihkan Bagi Deradikalisasi Ekstremis Di Bawah POTA
KUALA LUMPUR : Malaysia menggunakan pengganas yang
sudah berjaya dipulihkan sebagai contoh dan teladan baik dalam kaedah
untuk proses deradikalisasi ekstremis, yang ditahan di bawah Akta
Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.
Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kaedah
itu merupakan satu daripada empat bahagian dalam modul negara bagi
program deradikalisasi dan pemulihan.
“Bekas pengganas atau individu yang sudah berjaya dipulihkan boleh
menjadi contoh baik dan mampu memujuk bekas rakan seperjuangan untuk
meninggalkan perjuangan mereka yang telah disalah tafsir.
“Mereka juga lebih berwibawa untuk menunjukkan mana-mana fakta
penting berkaitan radikalisme yang telah disalah tafsir dan
diselewengkan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan peringkat menteri
berhubung Dasar Deradikalisasi antara negara-negara peserta pada
Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme
Keganasan 2016 (IDC 2016) di sini hari ini.
Tiga lagi bahagian dalam program itu ialah pembabitan ulama yang
mempunyai pengaruh lebih baik ke atas masyarakat setempat; pembabitan
anggota keluarga kerana ia amat efektif dari segi psikologi dan
kerohanian; dan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) yang amat penting
untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang akibat
negatif keganasan.
Ahmad Zahid berkata bagi mereka yang ditahan di bawah POTA, modul itu
meliputi pelbagai aspek seperti kemahiran sosial, pengurusan diri,
patriotisme, pengurusan kewangan dan psikologi dan juga bertindak
sebagai garis panduan bagi pegawai pemulihan.
Beliau berkata penjara dan golongan radikal dalam tahanan turut
menjadi kebimbangan kerana kerajaan sedar tahanan berkenaan mempunyai
latar belakang dan kepercayaan berbeza dan tahap kecenderungan dan
fahaman radikal mereka juga berbeza.
“Untuk memastikan kejayaan program deradikalisasi kami, kami
membabitkan pakar-pakar yang mempunyai kepakaran khusus, keselamatan,
psikologi dan kerohanian atau agama berlainan.
“Tahanan juga dipantau dan dinilai oleh sebuah lembaga pakar bebas
yang akan menentukan tempoh penahanan, kesesuaian untuk dibebaskan dan
keperluan bagi pemantauan berterusan selepas dibebaskan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata program itu
termasuk latihan bagi membolehkan mereka mendapatkan kemahiran untuk
mendapat kerja, menyara kehidupan secara jujur dan dibantu untuk
menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Sementara itu, negara anggota ASEAN memuji langkah kerajaan
Malaysia menganjurkan persidangan itu yang menurut mereka adalah tepat
pada masanya dan menggesa ditingkatkan kerjasama dalam perkongsian
maklumat dalam usaha memerangi keganasan secara efektif.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment