Monday, January 25, 2016
Persepsi TPPA Adalah Penjajahan Amerika, Kuasa Besar Tidak Benar Sama Sekali
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persepsi
bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan suatu
bentuk penjajahan oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar adalah
tidak benar sama sekali.
Perdana Menteri menegaskan realitinya ialah penyertaan Malaysia dalam
TPPA adalah dengan mengambil kira sepenuhnya kepentingan serta pulangan
jangka panjang perjanjian ini kepada negara dan rakyat Malaysia
khususnya.
“TPPA pastinya akan membuka lebih banyak ruang kepada Malaysia untuk
meneroka pasaran baharu di negara-negara TPPA terutama di Amerika
Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru,” katanya dalam catatan di laman
Facebooknya.
Najib
menarik perhatian bahawa perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan
pelaburan langsung asing (FDI) bukan sesuatu yang baharu bagi Malaysia.
Malaysia,
katanya, telahpun memeterai FTA dengan negara-negara seperti Jepun,
China, Korea, India, Pakistan, Chile, New Zealand dan Australia.
Oleh yang demikian, kata Najib, tidak harus ada pihak membuat andaian
bahawa perjanjian TPPA bakal menggadaikan negara kepada kuasa-kuasa
besar.
Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah dipaksa mahupun diberi tekanan untuk menyertai TPPA.
“Sebaliknya, penglibatan Malaysia dalam TPPA harus dilihat sebagai
sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan Malaysia
kekal berdaya saing di medan ekonomi global,” kata perdana menteri.
Katanya, daripada 12 negara yang bakal menandatangani TPPA, Malaysia
merupakan satu-satunya negara yang membentangkan TPPA di Parlimen untuk
diperdebat dan diraktifikasi.
“Justeru, jelas bahawa negara berpegang teguh kepada prinsip
demokrasi dengan memastikan pandangan dan kebimbangan rakyat terhadap
perjanjian TPPA diambil kira sebelum TPPA ditandatangani,” katanya.
Menyedari akan impak positif TPPA terhadap perkembangan ekonomi dan
perdagangan, Najib berkata pemimpin-pemimpin negara TPPA lain turut
menyambut baik perjanjian ini.
“Oleh itu, kita seharusnya melihat liberalisasi perdagangan
plurilateral sebagai suatu bentuk pembangunan positif dan bukannya
ancaman kepada sistem dagangan global,” kata Najib, yang juga Menteri
Kewangan.
Berbanding dengan FTA yang sebelumnya, beliau berkata, TPPA mengambil
kira kepentingan isu-isu khusus kepada Malaysia dengan memberikan
pengecualian dalam hal-hal seperti hak Bumiputera, perolehan kerajaan,
syarikat milik kerajaan dan sebagainya.
Di samping itu, kata perdana menteri, Malaysia mempunyai kebebasan
untuk menarik diri daripada TPPA dengan memberi notis bertulis selama
enam bulan.
“Maka TPPA bukan kontrak yang mengikat Malaysia selama-lamanya.
Sekiranya TPPA dilihat merugikan negara maka Malaysia sebagai sebuah
negara berdaulat berhak untuk menarik diri daripada perjanjian
tersebut,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Najib berkata, FTA seperti TPPA bukan sahaja dapat
membuka pasaran kepada produk dan perkhidmatan, malah bakal membantu
membangunkan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di
samping memberi pilihan barangan pada harga lebih murah kepada rakyat
Malaysia.
“Penerimaan baik terhadap TPPA oleh negara-negara TPPA jelas
menunjukkan bahawa mereka bersetuju bahawa perjanjian ini merupakan
peluang terbaik untuk memajukan serta merancakkan perkembangan ekonomi
negara mereka,” katanya.
Usul untuk memutuskan tentang penyertaan Malaysia dalam TPPA akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen mulai Selasa.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment