Monday, January 25, 2016

PM Lancar ICOMM Untuk Tingkat Taraf Hidup, Keselamatan Penduduk

PEKAN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) untuk meningkatkan taraf hidup dan keselamatan rakyat. Kampung Padang Rumbia di sini dipilih sebagai projek perintis iComm.
PEKAN, 23 Jan -- CERIA… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tertarik dengan paparan skrin pada sistem komunikasi setempat projek perintis Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) Kampung Padang Rumbia yang beliau rasmikan dekat sini. Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau (kiri). --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA
Najib berkata, projek itu yang pertama seumpamanya di rantau ini, bakal diperluaskan ke seluruh negara untuk memastikan masyarakat luar bandar turut bersama-sama penduduk bandar menikmati ledakan arus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya sistem itu yang dilengkapi sistem rangkaian kamera litar tertutup (CCTV), alat pemantau paras air sungai dan platform sistem komunikasi mudah alih berasaskan internet juga mampu mengawasi sempadan negara daripada sebarang ancaman pencerobohan.

“Kita boleh pasang sistem iComm ini di timur Sabah seperti di Lahad Datu, Semporna, dan Sandakan. Melalui CCTV yang dipasang kita dapat mengesan kehadiran sebarang anasir luar yang cuba menceroboh negara ini.

“Sistem ini secara langsung memberikan banyak manfaat bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan projek perintis iComm di Kampung Padang Rumbia, hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Berhad Datuk Abdul Wahab Abdullah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bebar Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Projek tersebut merupakan satu inisiatif di bawah program inovasi sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dibangunkan melalui agensi penyelidikan dan pembangunannya Mimos Sdn Bhd untuk menaik taraf sistem komunikasi masyarakat setempat.

Najib berkata, masyarakat di Kampung Padang Rumbia seharusnya berbangga kerana sistem tersebut mula diperkenalkan di kampung tersebut dan mereka dapat menikmati capaian internet percuma selain panggilan telefon percuma.

“Kampung ini juga dilengkapi dengan 10 CCTV yang membolehkan setiap apa yang berlaku di kampung ini diawasi selain dilengkapi dengan sistem amaran banjir yang canggih.

Projek ini membolehkan penduduk Padang Rumbia mengecapi gaya hidup yang berbeza dari masa lalu,” katanya.

Menurutnya, senario itu juga mencerminkan dengan jelas kehendak pembangunan di luar bandar kini berbeza jika hendak dibandingkan semasa ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment