Monday, January 25, 2016
Tindakan Ketua Bahagian Kedah Ikut Perlembagaan
PUTRAJAYA : Tindakan disiplin tidak akan diambil terhadap 14 Ketua
Bahagian UMNO Kedah kerana mereka bertindak mengikut perlembagaan parti,
kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata mereka hanya menyuarakan
ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, dan
menyerahkan sepenuhnya kepada presiden parti untuk membuat keputusan.
“Mereka menyuarakan tidak senang dengan ketua perhubungan UMNO negeri
mereka, tetapi mereka kata terpulang kepada presiden parti untuk
menentukan, bukan mereka desak supaya letak jawatan seperti (dilakukan)
ketua cawangan.
“Mereka ikut perlembagaan, mereka ada perbincangan dahulu dalam
kalangan mereka barulah mereka mengeluarkan kenyataan mengenai kurang
senang terhadap ketua perhubungan mereka…itu memang ada dalam
Perlembagaan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan
kira-kira 2,000 peserta Kayuhan Cinta Malaysia, di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbezaan tindakan
disiplin diambil terhadap beberapa Ketua Cawangan UMNO yang mendesak
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak
meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata Perlembagaan UMNO menetapkan
ketua di peringkat cawangan, bahagian atau negeri boleh digugurkan jika
dua pertiga daripada anggota jawatankuasa tidak bersetuju dengan ketua
masing-masing.
“Ini lebih dua pertiga, jadi mereka suarakan dan minta presiden parti
membuat keputusan, bukan desak (untuk letak jawatan) seperti dilakukan
oleh ketua-ketua cawangan.
“Kita tahu ada cawangan-cawangan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian.
Jadi ada yang menangguk di air keruh menggunakan 20 peratus di peringkat cawangan yang tidak selari dengan bahagian ini.
“Jadi ini dua kaedah berbeza. Ada kata yang hendak bakar Perlembagaan
UMNO, saya kata kalau hendak bakar baik berhenti sahaja jadi anggota
UMNO,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan Najib dengan Ketua-ketua Bahagian UMNO
Kedah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, Tengku Adnan berkata
pemimpin UMNO Kedah sebulat suara bersetuju akan akur dan menunggu
keputusan presiden parti.
Ditanya sama ada kemelut UMNO Kedah akan menjejaskan prestasi UMNO
secara keseluruhannya, Tengku Adnan berkata ia bukan krisis tetapi hanya
ketidakpuasan hati terhadap pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
“Saya juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, saya tahu kadang
kala ada ketidakpuasan hati jika kita tidak tadbir dengan baik.
“Jika tidak urus dan kita biarkan anak-anak buah kita seperti ayam
tidak beribu, mereka akan suarakan ketidakpuasan hati,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment