Monday, January 25, 2016
Usaha Promosi Wilayah Iskandar Dipergiat Bagi Bantu Ekonomi Negara
SINGAPURA : Usaha mempromosikan wilayah Iskandar yang juga
koridor ekonomi di selatan negara, akan terus dipergiatkan bagi
membantu ekonomi negara, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah
Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.
“Kita menunggu dasar (kerajaan) selanjutnya. Sudah tentu Kerajaan
Pusat mempunyai justifikasinya sendiri dan IRDA sudah pasti bekerjasama
bagi membantu negara dalam konteks ini,” katanya di luar Forum
Pembangunan Bandar Raya Eko dan sidang media projek Forest City Global,
di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 28 Januari ini.
Wilayah ekonomi selatan di Johor yang berkembang sekitar 7.0 hingga
8.0 peratus setahun itu, berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak
RM189 bilion sejak penubuhannya pada 2006 sehingga November 2015 lepas.
Laporan sebelum ini menyatakan, IRDA dalam proses memuktamadkan
rundingan dengan sekurang-kurangnya tiga pengendali taman tema menjelang
akhir tahun ini bagi pembukaan tempat tarikan berkenaan.
Ismail berkata, kesemua projek itu adalah sebahagian sasaran pelaburan sebanyak RM30 juta yang ditetapkan bagi tahun ini.
Selain itu, IRDA juga menyasarkan untuk menarik lebih banyak
pengendali hotel bagi membuka kemudahan bertaraf lima hingga enam
bintang serta pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).
Menurutnya, kedudukan negara pelabur utama di wilayah Iskandar akan
turut berubah yang ketika menyaksikan Singapura di kedudukan teratas
diikuti China dan Amerika Syarikat.
Namun China mulai memberi tumpuan dan setakat ini melabur sekitar RM176 bilion bagi pembangunan Projek Forest City, katanya.
“Iskandar juga dijangka menerima satu atau dua pelaburan Amerika
Syarikat tidak lama lagi selain dari Timur Tengah, ASEAN, Eropah dan
Asia Pasifik,” katanya.
Mengulas pelaburan Forest City, Ismail menyifatkan langkah penambakan
tanah di kawasan barat wilayah Iskandar sebagai keputusan strategik dan
tiada ketetapan untuk mengehadkan pembangunan di kawasan pantai bagi
pelaburan akan datang.
Terletak di empat pulau buatan, Forest City diperkenalkan secara
rasmi pada Jumaat lepas oleh pemaju hertanah yang tersenarai di Hong
Kong, Country Garden Holdings Co Ltd dan dibangunkan bersama syarikat
Johor, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.
Pembangunan mesra alam berkeluasan 1,386.05 hektar dengan anggaran
pelaburan sebanyak RM175.8 bilion bagi 20 tahun akan datang, juga
diunjur melonjakkan lagi pembangunan ekonomi wilayah itu.
Lapan industri termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan serta pelancongan, bakal menjadi tonggak utama pertumbuhan ekonomi Forest City.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment