Mukhriz anak Tun Mahathir tidak dinafikan memang popular. Beliau suka berselfie dengan rakyat dan kesukaan itu disifatkan sebagai 'pemimpin berjiwa rakyat'. Kalau minum di kedai kopi di tepi jalan, sudah tentu ada 'pemakan dedak upahan' yang akan rakam gambar dan viralkan, konon 'pemimpin rakyat marhain'. Padahal, perkara seperti itu adalah perkara biasa yang menjadi rutin bagi ramai lagi pemimpin politik lain.
Sejarah politik Mukhriz mula popular ketika bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, beliau berdepan dengan Khairy Jamaluddin dan Dr Khir Toyo. Beliau 'sengaja kalahkan dirinya sendiri' walaupun beliau mendapat pencalonan tertinggi yang 'luar biasa'.
Mukhriz ketika itu memang popular. Namun ketika berdebat secara langsung dengan Khairy dan Dr Khir, beliau 'sengaja tenggelamkan' diri. Khairy dan Dr Khir dilihat lebih menonjol dengan hujah-hujah yang lebih meyakinkan ramai pihak. Walaupun mendapat pencalonan tertinggi, mengejutkan ramai bila Mukhriz tewas ketika berdepan dengan undi perwakilan.
Mengapa Mukhriz tewas? Mudah ceritanya. Sebenarnya, ramai berpandangan ketika itu bahawa Mukhriz hanya popular kerana beliau anak Mahathir. Jika beliau anak kepada 'Din' atau 'Khalid', jangan haraplah beliau dapat pencalonan atau undi.
Layaknya Mukhriz ketika seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau popular, tapi tidak cerdik dalam realiti seni politik. Beliau hanya hidup dalam 'khayalan' populariti, namun tidak bijak menghadapi sepak terajang politik sebenar. Bila tewas, mula salahkan orang lain.
Walaupun kalah, Mukhriz tetap diberi peluang oleh Dato' Seri Najib Tun Razak untuk memimpin negara. Mukhriz dilantik menjadi Timbalan Menteri berbanding Khairy yang walaupun menang sebagai Ketua Pemuda UMNO tapi tidak dilantik menjawat apa-apa jawatan di dalam kabinet.
Seterusnya sebelum berdepan PRU ke-13, khabarnya bapa Mukhriz bertemu Najib meminta supaya anaknya itu menjadi Menteri Besar jika UMNO berjaya merampas Kedah dari PAS. Difahamkan, Najib penuhi permintaan Mahathir itu namun merahsiakannya dari Mukhriz hingga ke saat-saat akhir.
Di Kedah ketika itu, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berhempas-pulas selama 5 tahun menyatukan seluruh ahli, pemimpin dan jentera UMNO negeri untuk menewaskan PAS. Mukhriz pula hanya kembali membantu Kedah kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13, itupun setelah beliau khabarnya sudah tahu akan dilantik sebagai Menteri Besar jika BN menang.
Bila BN menang di Kedah, khabarnya kem Mukhriz mendabik dada kononnya PAS takkan tewas jika bukan kerana Mukhriz Mahathir. Pada penulis, hanya mereka yang 'buta' politik dan tidak tahu apa-apa saja yang akan percaya pada propaganda kem Mukhriz itu.
Khabarnya, propaganda itu sengaja diwar-warkan oleh kem Mukhriz yang 'diimport' dari luar dan langsung tidak tahu apa-apa mengenai realiti politik di Kedah. Mungkin kerana itu ramai pejuang UMNO yang hampir 'muntah hijau' mendengar kenyataan angkuh seperti itu.
Seterusnya, Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau tewas lagi walaupun popular. Kekalahan Mukhriz itu membuktikan UMNO bukan hanya perlukan pemimpin yang popular, tapi pemimpin yang berprestasi tinggi, bukan hanya cakap saja yang lebih.
Bercakap mengenai prestasi, boleh dikatakan prestasi Mukhriz amat mengecewakan. Tiada apa-apa yang membanggakan bangsa Melayu ketika beliau menjadi Timbalan Menteri MITI. Malah banyak yang merungut beliau tidak membantu langsung nasib usahawan bumiputera.
Lebih memalukan, prestasi arwah Tan Sri Azizan Razak dari PAS dikatakan jauh lebih bagus berbanding Mukhriz. Azizan sekurang-kurangnya berjaya membina kompleks membeli belah Aman Central di Alor Setar dan Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil yang bernilai ratusan juta ringgit biar pun dalam kepayahan. Tapi Mukhriz? Hendak bina Litar 1Kedah yang benilai bawah RM10 juta pun gagal?
Saya melihat, Mukhriz lebih kurang Khairy. Mereka cepat naik dan popular disebabkan nama bapa dan mertua mereka. Tanpa mendaki anak tangga satu persatu, mereka tekan butang lif mahu cepat naik ke atas segera. Jadi, mereka tidak punya pengalaman dalam dunia politik. Hanya bermodalkan air liur sahaja, tapi mahu rebut jawatan tinggi.
No comments:
Post a Comment