Thursday, April 28, 2016
Apakah Ini Cubaan Untuk Melagakan Rakyat Dengan Istana?
Kemelut yang sedang
berlaku di Terengganu sememangnya mengundang rasa ingin tahu dari semua
pihak. Sejuta penghargaan kepada Menteri Besar, yang berjiwa besar untuk
terus taat setia kepada Sultan Terengganu sekalipun telah dilucutkan
segala darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Mizan
Zainal Abidin.
Rasionalnya mudah, iaitu anugerah darjah kebesaran adalah hak mutlak istana. Maka, biarkan lah yang berhak untuk menentukan.
Namun, penulis agak terkejut membaca
artikel yang disiarkan di sebuah portal Free Malaysia Today, yang
memetik laporan dari portal China Press, apabila mengaitkan perlucutan
darjah kebesaran tersebut adalah disebabkan sokongan yang diberikan oleh
menteri besar kepada pendakwah bebas terkenal, Dr. Zakir Naik.
Apa yang cuba disampaikan oleh kedua-dua portal ini?
Dr. Zakir Naik, yang menerima anugerah
Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia, sememangnya mengundang aura
luarbiasa dengan kemampuan oratornya, sehingga di bumi Terengganu
sendiri menyaksikan lahirnya “saudara baru”. Rata-rata penerimaan rakyat
terhadap usaha beliau dan beliau sendiri adalah cukup membuktikan,
betapa ilmuwan ini mendapat tempat di hati kebanyakkan
masyarakat. Jangan terkejut, ada juga penganut agama lain yang kagum
dengan keupayaan yang Dr. Zakir miliki.
Beberapa minggu lalu, kita dapat
menyaksikan bagaimana hampir seluruh persatuan dan organisasi Islam
mempertahankan kehadiran beliau di Malaysia. Sikap sayangkan agama yang
ditunjukkan oleh umat Islam, bersolidariti menyokong Dr. Zakir Naik,
menzahirkan masih ada rasa tanggungjawab, sayang dan cinta kepada Islam.
Dengan populariti yang dikecapi oleh Dr.
Zakir Naik, laporan-laporan berita yang cuba mengaitkan beliau dengan
apa yang sedang berlaku di Terengganu perlu dipandang serius oleh pihak
berkuasa.
Pada hemat penulis, perkara-perkara
sedemikian boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk melaga-lagakan rakyat
dengan institusi Raja-Raja Melayu.
Untuk apa laporan sedemikian dihebahkan?
Apakah ianya bertujuan untuk menyemarakkan amarah dan rasa tidak puas
hati rakyat terhadap Tuanku Sultan Terengganu?
Status sebagai ketua negeri, dan ketua
agama Islam yang dimiliki oleh Institusi Raja-Raja Melayu tidak perlu
dipertikaikan lagi. Jika YB Tuan Ahmad Razif sendiri mampu berjiwa besar
menerima keputusan Istana, rasanya tidak perlu lah untuk pihak-pihak
lain campurtangan serta memandai-mandai dalam urusan antara beliau dan
pihak Istana. Yang pasti, kita tidak mampu untuk menghalang pihak-pihak
yang gemar “menangguk di air yang keruh”.
Jangan biarkan benih-benih anti-monarki
dan anarki berputik, kerana kelak nanti ia bakal meruntuhkan
“tiang-tiang seri” yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
Daulat Tuanku!
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment