Thursday, April 28, 2016
Bila Cebur Politik Untuk Jawatan Dan Kuasa…
EDITOR MENULIS...
28 APRIL 2016
Bagi mereka yang pernah ke luar negara, melalui sendiri pengalaman
melihat sistem serta budaya politik beberapa negara maju, mungkin ada
yang terpaksa mengaku dan menggeleng kepala apabila terkenangkan budaya
politik di negara kita.
Paling ketara di kebanyakan negara maju, mereka hanya berpolitik
apabila tiba masa yang sesuai seperti musim pilihan raya pemilihan
presiden, senator dan sebagainya. Namun apabila di luar musim, tidak
kira kerajaan mahupun pembangkang, mereka bersatu untuk memastikan
kestabilan politik , khususnya dalam pembentukan dasar-dasar negara.
Sekiranya ditanya pada pemimpin politik di negara kita terutamanya
pihak pembangkang tentang matlamat mereka menceburkan diri dalam dunia
politik, saya yakin jawapan yang akan diberikan adalah ‘untuk
berkhidmat kepada masyarakat dan negara’. Satu jawapan ‘tipikal’ dan
‘stereotype’ yang selalu kita dengar.
Namun begitu, realiti yang berada di depan mata kita di negara ini
adalah berbeza. Boleh dikatakan para pemimpin pembangkang di negara kita
siang malam asyik berpolitik 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 31 hari
sebulan dan 365 hari setahun.
Hasil dari gangguan politik yang sengaja dilakukan sepanjang masa
itu, maka tidak hairanlah kerajaan di negara ini tidak kira di peringkat
Persekutuan atau Negeri sering terganggu ekoran terpaksa melayan
kerenah budaya politik yang ‘meletihkan’.
Bagi kebanyakan isu yang dipolitikkan, walaupun pihak kerajaan telah
memberi jawapan yang sah, rasmi dan benar, pihak yang melemparkan
pertikaian itu akan tetap enggan menerima kebenaran yang diberi. Malah
ada yang tetap mengatakan mereka ‘lebih benar’ walaupun bersandarkan
pada fakta rekaan dan palsu pihak luar.
Sebagai contoh, isu RM2.6 bilion dan 1MDB yang sebenarnya telah pun
dijawab dengan kenyataan-kenyataan berbukti kukuh serta berfakta. Namun
begitu masih ada lagi yang lebih percaya pada laporan luar negara yang
memetik dari sumber penipu seperti Claire Brown?
Selain itu, kita juga melihat beberapa peralihan kuasa di beberapa
negeri yang dihinggapi kemelut politik. Sekiranya dirujuk pada akal
pembangkang, mereka berpendirian mahu Dewan Undangan Negeri dibubarkan
dan diadakan pilihan raya negeri (PRN).
Pada pandangan saya, sekiranya dibubarkan Dun dan diadakan PRN, ia
tidak semestinya akan menyelesaikan kemelut politik bagi sesebuah
negeri itu. Ia mungkin selesai dan ia juga berkemungkinan akan
merumitkan lagi keadaan.
Sebagai contoh di Terengganu, ada pihak yang mahu Dun dibubarkan dan
diadakan PRN, atas alasan untuk ‘kestabilan politik negeri’. Namun jika
diturutkan kehendak tersebut, apakah politik di Terengganu akan
benar-benar stabil seperti yang didakwa? Boleh rujuk kes Dato’ Seri
Idris Jusoh, Dato’ Seri Ahmad Said dan kini Ahmad Razif pula? Stabil?
Pada pandangan saya, kestabilan politik di negara kita sama ada di
peringkat Pusat atau Negeri, ia ditentukan oleh sikap ahli-ahli politik
itu sendiri.
Jika niat mereka mahu mengejar kuasa, maka pelbagai perkara karut
akan berlaku. Namun jika sikapnya untuk berkhidmat kepada rakyat dan
memastikan kestabilan politik, maka ia tidak akan berlaku seperti yang
berlaku sekarang.
Jika mahukan kestabilan politik negara dan kemajuan mencapai negara
maju menjelang 2020, maka saya yakin bekas Perdana Menteri tidak akan
mengganggu Perdana Menteri sekarang yang sedang berusaha keras ke arah
menjayakan wawasan yang beliau sendiri cetuskan ketika menjadi Perdana
Menteri dulu.
Jika mahukan kestabilan politik, beliau tidak akan cuba jatuhkan
Perdana Menteri secara tidak demokrasi, tidak bersandarkan pada fitnah
yang direka media asing yang beliau benci dulu, dan tidak akan sesekali
mempersoal tindakan melucutkan jawatan Menteri Besar yang disandang
anaknya yang terbukti gagal mengamalkan ‘parti sebagai pemerintah
kerajaan, bukan individu’.
Jika mahukan kestabilan politik dan berkhidmat untuk rakyat, ahli
politik pembangkang akan lebih ikhlas membantu pihak kerajaan dalam
merangka dasar dan tidak akan cuba bermain politik kotor untuk
mendapatkan ‘mileage’ politik.
Jika sayangkan negara dan niat ikhlas mencebur diri dalam dunia
politik negara, mereka takkan sanggup memburuk-burukkan imej negara,
memperlekeh kerajaan yang memerintah dan tidak akan sesekali
bersekongkol dengan anasir-anasir negatif yang mencemar budaya serta
minda rakyat terhadap politik.
Mungkin kerana kegagalan dalam memainkan peranan sebenar ‘ahli
politik’ itu, maka ada di kalangan rakyat yang keliru dan mula bosan
dengan suasana politik di negara kita, lantas memilih untuk tidak
mendaftar diri sebagai pengundi yang sah.
Mungkin kerana itu maka mereka melampiaskan kekecewaan dan kekeliruan
mereka di media-media sosial dengan mempamerkan persepsi-persepsi
peribadi yang sebenarnya tidak tepat serta lebih terdorong dari emosi
yang melulu.
Justeru, saya melihat bahawa ahli-ahli politik di negara ini,
terutama dari kalangan ahli politik pembangkang dan ‘sekutu-sekutu’
gerakan deklarasi tidak berfaedah itu untuk berubah sikap serta
memperbaiki budaya politik yang mereka cemari sejak beberapa tahun
kebelakangan ini.
Jika tidak, saya bimbang jika lebih ramai lagi rakyat yang akan
melihat pihak pembangkang di negara ini sebagai ‘tidak sihat’, lebih
mengejar kuasa dan jawatan politik. Hasilnya, politik pembangkang tidak
akan menyumbang apa-apa kepada negara ini ekoran tersasar jauh dari
konsep ‘check and balance’ yang sepatutnya berlaku di negara kita.
Kerajaan hingga kini tetap kerajaan yang melaksanakan amanah dan
tanggungjawab sejak memenangi PRU ke-13 yang lalu secara sah. Apa yang
menjadi persoalan kelak adalah sama ada negara kita mempunyai
pembangkang yang ‘sihat’ atau sebaliknya….
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment