Tuesday, April 26, 2016

PRN Sarawak : BN Pamir Solidariti, Pembangkang Pamir Drama Tipu Menipu

TEMERLOH : Drama tipu menipu, khianat mengkhianati yang dipertontonkan oleh parti pembangkang di pilihanraya negeri Sarawak sudah cukup untuk menggambarkan sejauh manakah keikhlasan kedua-dua parti tersebut dalam matlamat untuk membela kebajikan rakyat dan memakmurkan negara, demikian jelas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin.

Beliau yakin bahawa rakyat di seluruh negara, khususnya di Sarawak boleh menilai keikhlasan parti-parti pembangkang melalui episod drama tuduh menuduh dan tipu menipu yang sedang berlangsung dalam isu perebutan kerusi yang sehingga ke saat akhir berlangsungnya pilihanraya, ianya masih lagi tidak dapat di selesaikan oleh pembangkang.
PKR VS DAP 
Sedangkan jelasnya Barisan Nasional (BN) terus mempamirkan semangat solidariti, kesatuan bersama dan semangat juang tinggi dalam proses penamaan calon semalam untuk memastikan kemenangan semua calon dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei ini.

“Drama ini sebenarnya menimbulkan persoalan apakah mereka benar-benar mahu membela rakyat, atau hanya mahukan kuasa demi kepentingan parti masing-masing? Dalam hal ini, saya kira Pembangkang hanya sepakat untuk menjatuhkan BN, namun mereka ini langsung tidak sepakat dalam hal-hal selain daripada itu. Sebab itu kita dapat lihat, isu pembahagian kerusi biarpun hanya melibatkan lima kawasan sahaja pun mereka tidak dapat selesaikan sehinggalah ke saat akhir pilihanraya.

“Ini juga secara tidak langsung  memperlihatkan betapa tidak sepakatnya mereka dalam membuat keputusan. Ini bukan perkara baru tetapi ianya sudah lama berlaku di dalam pembangkang. Seolah-olah tidak ada langsung perbincangan dan tolak ansur di antara mereka. Masing-masing berjuang untuk menegakkan matlamat dan agenda kepartian masing-masing, dan mengenepikan agenda utama untuk membela kebajikan rakyat.

“Jika perkara masalah sekecil itu pun mereka tidak dapat selesaikan, bagaimana rakyat mahu memberikan harapan dan sokongan terhadap parti pembangkang untuk mentadbir negeri atau negara,” tegasnya kepada media di sini hari ini.

Sharkar turut membanding  senario yang berlaku di dalam pakatan pembangkang dengan BN di mana menurut beliau, perkara khianat mengkhianati, tipu menipu seperti ini tidak pernah terjadi di dalam BN terutamanya  dalam menghadapi pilihanraya.

“Setiap parti yang bernaung di bawah bendera BN mempunyai satu matlamat utama iaitu untuk membangunkan negara dan membela nasib rakyat di negara ini. Sebarang permasalahan akan diselesaikan dengan cara tolak ansur atas dasar kepentingan nasional dan bukannya bermatlamatkan kepentingan parti tertentu di dalam BN.

“Sebab itu, walaupun mungkin ada beberapa keputusan yang tidak dipersetujui oleh beberapa parti lain, namun akhirnya yang tidak bersetuju itu akan akur kerana apa yang penting ialah matlamat utama BN adalah untuk membela rakyat dan memakmurkan negara. Bukan untuk agenda politik peribadi atau agenda politik kepartian tertentu.

“Itulah beza yang amat ketara antara pakatan pembangkang dan BN. Pembangkang lebih banyak berpolitik, termasuklah sesama mereka di dalam parti yang sama. Sikap pembangkang yang terlalu gila berpolitik ini menyebabkan mereka mendahului kepentingan agenda kepartian masing-masing berbanding agenda kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.

Isu pertembungan antara PKR dan Dap di lima kawasan baru-baru ini telah menyebabkan kepimpinan Dap menuduh PKR telah mengkhianati parti tersebut dengan meletakkan calon untuk bertanding di lima kawasan iaitu Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan kekecewaan dengan keputusan PKR untuk bertanding menentang parti itu di lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak dan merasakan bahawa Dap telah ditipu oleh PKR berhubung pengagihan kerusi di lima kawasan tersebut.

Manakala PKR pula melalui kenyataan Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebaliknya menyalahkan Dap yang tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung pertindihan kerusi di lima kawasan tersebut sehingga ke saat akhir penamaan calon.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment