Thursday, April 28, 2016

Jangan Letak Bahan Kempen Di Tiang Elektrik – SEB

http://cdn.theborneopost.com/newsimages/2016/04/myy-bp270416-nm-SEBelection.jpg
KUCHING : Sarawak Energy Bhd (SEB) menasihatkan petugas pilihan raya supaya berhati-hati apabila meletakkan bahan-bahan kempen di tiang elektrik kerana ia boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan kecederaan.

“Kami menerima maklum balas daripada pasukan teknikal bahawa tiang elektrik digunakan untuk menggantung bahan-bahan kempen,” kata Naib Presiden Kanan (Peruncitan) SEB, Lau Kim Swee dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata petugas-petugas pilihan raya berdepan risiko kejutan elektrik jika mereka menghampiri kawasan talian penghantaran elektrik kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius, atau lebih buruk lagi boleh membawa maut. 

Katanya kakitangan syarikat pembekal tenaga elektrik milik kerajaan Sarawak itu akan menurunkan kain rentang dan bunting tanpa memberi sebarang notis jika tempat diletakkan bahan-bahan kempen itu dianggap berbahaya kepada orang ramai.

“Berada berhampiran punca-punca elektrik juga boleh mendatangkan bahaya, dan ia juga akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pelanggan,” katanya.

Lau berkata papan iklan tidak seharusnya diletakkan berhampiran mana-mana talian penghantaran SEB dan pencawang elektrik, kerana bimbang akan bersentuhan semasa angin kencang.

“Kita perlu mengambil langkah-langkah ini dengan begitu serius,” katanya.

Beliau berkata SEB sentiasa memberi peringatan melalui media cetak, radio, pameran dan risalah, di samping menganjurkan ceramah kesedaran keselamatan di sekolah-sekolah bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya melakukan aktiviti berhampiran infrastruktur elektrik.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment