Thursday, April 28, 2016

#PRNSarawak : PKR, DAP Masih Belum Terlambat Untuk Paksa 3 Calon Tarik Diri

EDITOR MENULIS...
28 APRIL 2016
jacel
Susulan dari kenyataan ‘permohonan maaf’ dari Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini, kini giliran Pengarah Pilihan Raya parti itu, Nurul Izzah Anwar pula bersuara mengenai pertembungan sebanyak 6 kerusi di antara PKR dan DAP di PRN Sarawak kali ini.

Kata Nurul Izzah, PKR memutuskan untuk berbincang dengan DAP berkenaan isu itu selepas PRN Sarawak tamat pada 7 Mei ini. Jadi katanya, sebarang soalan yang dikemukakan kepada PKR mengenai perebutan 6 kerusi Dun tersebut, dia akan berikan jawapan ‘standard’ itu.

Pada pandangan saya, pendirian PKR mengenai isu perebutan kerusi dengan DAP di Sarawak itu menandakan kedua-kedua parti itu sebenarnya enggan mengalah, tidak menghormati antara satu sama lain, tiada kesefahaman dan paling jelas tidak menepati janji.

Apa yang dipersoalkan adalah tentang isu pertindihan calon di PRN Sarawak kali ke-11 di antara PKR dan DAP. Sekiranya perebutan kerusi itu diteruskan, maka secara tidak langsung ia akan mengesahkan sikap sebenar seperti yang dikatakan di perenggan di atas.

Pada saya, PKR sebenarnya mampu untuk mengelak dari terus dilabel sebagai ‘mengejar kerusi’, tidak menepati janji atau mengkhianati kesepakatan. Malah mereka sebenarnya mampu mengatasi masalah yang berlaku dengan DAP di Sarawak menerusi persefahaman di dalam perbincangan yang amat mudah.

PKR dan DAP masing-masing meletakkan calon di 6 Dun Sarawak, iaitu Mulu, Mambong, Ngemah, Murum, Simanggang dan Batu Kitang. Mungkin masing-masing memikirkan mereka mampu menang di kerusi-kerusi terbabit.

Pada pandangan saya, selagi belum tiba hari mengundi, PKR dan DAP masih boleh mengarahkan calon masing-masing menarik diri dari bertanding di Dun-Dun tersebut. Jika ingkar arahan parti, mereka boleh bertanding di atas tiket ‘calon bebas’.

PKR dan DAP sepatutnya duduk semeja segera. Mereka sepatutnya boleh mencari titik persetujuan untuk membahagi 6 kerusi Dun tersebut kepada parti masing-masing. Maksud saya, berikan 3 Dun kepada calon PKR dan 3 Dun lagi kepada calon DAP. Selesai masalah, bukan?

Apakah yang membuat masalah tersebut gagal diselesaikan? Kenapa susah sangat untuk PKR dan DAP duduk semeja untuk membincangkan soal pembahagian kerusi 6 Dun itu dan membiarkan berlaku pertindihan calon kedua parti berkenaan?

Saya yakin, punca utama masalah itu diatasi ialah kegagalan PKR dan DAP dalam menyatukan PKR Sarawak dan DAP Sarawak sebagai satu parti yang mewakili Pakatan Harapan. ‘Skill’ politik dan perpaduan mereka sebenarnya sangat goyah!

Mereka tidak seperti BN Sarawak yang meskipun memiliki banyak parti komponen, ada yang bertelagah dan kurang sefahaman, namun mereka mempunyai semangat kesepakatan yang jitu dan kukuh untuk bersatu padu sebagai satu parti. Itulah yang tidak ada pada PKR dan DAP.

Itupun PKR dan DAP masih lagi mahu menggunakan perkataan ‘Pakatan’ di dalam pembentukan blok pembangkang mereka? Mereka hakikatnya tidak sepakat, tapi tetap meletakkan nama ‘Pakatan’ kerana mahu beritahu rakyat yang mereka ‘sepakat’?

Masih belum terlambat Nurul Izzah dan DAP untuk memaksa 3 calon mereka menarik diri dari bertanding di kerusi yang sama pada PRN Sarawak kali ini. Cuma kita tunggu dan lihat saja sama ada mereka punya keberanian untuk membuktikan mereka sebenarnya ‘sepakat’ atau ‘tidak sepakat’, bukan?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment