Thursday, April 28, 2016
Jawapan Terbaru PM Pada Yang Nak Gugat Kepimpinannya…
Kalau ada yang merasa Datuk Seri Najib Tun Razak berasa gabra dan hilang
fokus dengan pelbagai asakan politik untuk gugat kepimpinannya…ini
jawapan terbaru darinya.
Dalam bahasa jalanan yang popular sekarang,Perdana Menteri tidak ambil
port.“Kerajaan mengambil jalan tidak mahu terganggu oleh hal-hal yang
membuang masa serta tidak membawa apa-apa faedah itu dan akan terus
menjalankan amanah lebih besar yang dimandatkan iaitu menumpukan sepenuh
jiwa memacu serta menjulang Malaysia ke persada yang
dijanji-janjikan,”katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan
Program Transformasi Negara (NTP) 2015 di Angkasapuri Selasa malam.
Perdana Menteri berkata juga berkata meskipun begitu beliau tetap
memilih untuk berjiwa besar dan memimpin kerajaan, tetap berdiri tegak,
memandang ke hadapan dan mara selangkah demi menjayakan rencana kemajuan
negara.
Serentak dengan itu Najib meminta rakyat menaruh kepercayaan kepada
kerajaan."Maka yang demikian, berilah peluang dan waktu kepada kerajaan
yang ada pada hari ini untuk mewajah dan mewarnakan masa depan, menurut
rancangan yang kita telah tentu dan sudah tetapkan,”katanya.
Beliau amat kesal dengan tindakan segelintir pihak yang meracuni,
menghasut dan mempengaruhi fikiran rakyat dengan cara memburuk-burukkan
negara serta cuba menjatuhkan pemipin secara tidak demokratik.
Perdana Menteri menegaskan apa yang dinikmati negara hari ini adalah
hasil mahsul perjuangan dan kegigihan kerajaan sejak berdekad-dekad
lepas hinggalah ke era Dasar Transformasi Nasional.
"Berkaitan perkara ini juga, terlebih kita berasa sedih dan sayang
seribu kali sayang, yang turut terheret dalam kancah ini, adalah
bekas-bekas para pemimpin dan negarawan.
"Tidak cukup dengan itu, sehingga mereka sanggup memperlekeh negara
sendiri dan meminta campur tangan kuasa asing. Sedangkan satu masa
ketika dahulu, orang itulah yang menyebut biar Malaysia ini ditentukan
rupa dan bentuknya dengan acuan kita sendiri," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan sejak mengambil alih
jawatan perdana menteri, beliau telah membuat ketetapan bahawa kerajaan
perlu bergerak kehadapan untuk membina negara yang mempunyai ekonomi
yang berdaya tahan, mampan dan inklusif untuk rakyat bertunjangkan
falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
"Apa yang penting, jangan sesekali kita alpa, kalau kita leka dan
termakan dengan angkara-angkara serta anasir-anasir negatif, semuanya
boleh lenyap dan punah dalam sekelip pejaman mata," katanya.
Perdana Menteri berkata dengan berpaut kepada prinsip tawaduk,
kerendahan hati lagi bertawakal, beliau bersama-sama timbalannya Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota jemaah pentadbiran yang lain,
tidak mungkin dapat melakukan apa yang ada hari ini tanpa sokongan,
dokongan dan kefahaman rakyat.
Lantaran itu, katanya, apa yang paling baik adalah rakyat dan kerajaan
harus saling dekat mendekati, damping-mendampingi, dalam menaruh yakin
serta percaya terhadap komitmen juga inisiatif-inisiatif kerajaan selama
ini.
Najib mengingatkan sesetengah pihak bahawa sebagai sebuah negara yang
berdaulat, merdeka dan berundang-undang, mereka tidak boleh berbuat
sesuka hati dengan mengajak rakyat bertindak di luar batas-batas
undang-undang, kedaulatan undang-undang dan apa yang telah dimaktubkan
dalam perlembagaan.
"Ini termasuklah dengan mengadakan deklarasi-deklarasi dan membuat
referendum dengan tujuan tidak baik di mana semua ini salah di sisi
undang-undangm," katanya.
Perdana Menteri berkata tiada pihak yang boleh menafikan bahawa
kedudukan ekonomi dan tahap sosioekonomi rakyat Malaysia adalah baik dan
wajar dibanggakan.
Berdasarkan lawatan-lawatan rasmi dan tidak rasminya, katanya beliau
melihat ramai rakyat kini memiliki kualiti kehidupan yang baik, malah
boleh disifatkan antara yang terbaik di rantau ini.
"Misalnya, saya lihat ibu bapa di bandar-bandar dapat membawa anak-anak
mereka bercuti dan membeli-belah terutama menjelang musim cuti sekolah.
"Saya juga diberitahu, semasa MATTA Fair (Pameran Persatuan Ejen-Ejen
Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) baru-baru ini, penjualan
pakej-pakej percutian dan tiket-tiket penerbangan begitu laris sekali.
"Malah, promosi dan jualan hari-hari perayaan seperti Aidilfitri sudah pun bermula seawal bulan lepas," katanya.
Najib berkata keadaan sosioekonomi sebenar negara dan rakyat
bertentangan dengan apa yang cuba dimomokkan dan dipersepsikan secara
negatif oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru itu, beliau meminta rakyat menolak dan menepis semua pandangan
yang tidak membina itu kerana kerajaan sekarang tekad menumpukan segala
agenda dan usaha untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment