Tuesday, April 26, 2016

Pesta Tikam Belakang Di PRN Sarawak Sekali Lagi Pamer Politik Khianat Pakatan Pembangkang

KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan pesta tikam belakang yang berlaku di antara parti-parti pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak hari ini merupakan satu lagi bukti kecelaruan pakatan pembangkang yang tidak pernah sepakat dalam apa juga perkara apabila ianya melibatkan kepentingan politik parti masing-masing.

Jelas beliau, pertembungan sesama sendiri yang berlaku di kalangan pembangkang di dalam PRN Sarawak ini juga merupakan manifestasi kepada sikap tamak dalam merebut kuasa yang ada di dalam parti pembangkang, sehingga mengenepikan kesepakatan dan persetujuan di antara mereka sebelum ini.
Pesta Tikam Belakang Di Sarawak 
“Senario tikam belakang ini bukan baru di dalam parti pembangkang dan saya yakin sikap tikam belakang dan khianat mengkhianati sesama mereka ini tidak akan berhenti. Sebab itu saya  berulang kali katakan, bahawa persepakatan pembangkang ini hanya di permukaannya sahaja, tetapi dalamannya tidak begitu. Mereka tidak segan-segan untuk mengkhianati sesama sendiri demi untuk merebut kuasa demi kepentingan parti masing-masing.

“Pembangkang ini bagi saya macam pasangan yang bersekedudukan. Tidak ada ikatan yang sah di antara mereka. Sebab itu kita boleh lihat mereka sesuka hati membuat keputusan biarpun keputusan yang mereka lakukan itu mengkhianati dan menyakiti pasangan mereka. Ikatan yang ada pada pembangkang tidak kukuh dan amat mudah untuk terlerai.

“Persepakatan rapuh antara pembangkang ini sebenarnya tidak baik untuk rakyat. Sebab itu kita lihat pembangkang hari ini lebih cenderung kepada berpolitik sesama sendiri demi untuk mencapai agenda peribadi parti masing-masing. Bila ini berlaku, maka rakyatlah akan menjadi mangsa kerana soal rakyat tidak lagi menjadi keutamaan mereka, sebaliknya agenda peribadi dan kepartian itu lebih diutamakan dari kebajikan rakyat,” jelasnya kepada media di sini hari ini.

Namun, perkara ini menurut beliau tidak berlaku di dalam pakatan parti-parti di bawah Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara semenjak merdeka lagi.

“Permuafakatan antara parti-parti di dalam BN pula bagi saya ibarat satu pernikahan yang sah. 

Biarpun UMNO menjadi  ‘kepala’ di dalam BN, namun sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira pandangan parti-parti demi untuk kepentingan negara.

“Parti-parti yang bernaung di dalam BN tidak membuat keputusan secara berasingan, malah segala keputusan baik dari segi pentadbiran negara atau pun bila mendepani pilihan raya, ianya dibuat secara kolektif untuk memastikan tiada mana-mana parti yang terpinggir. Contohnya jika menghadapi pilihan raya, tidak pernah berlaku dua parti yang bernaung di bawah BN bertanding dalam satu kawasan sepertimana yang berlaku di dalam pakatan pembangkang,” ujarnya.

Ini juga secara tidak langsung menurutnya memperlihatkan kepimpinan di dalam parti-parti di bawah BN bersikap  profesional serta meletakkan kepentingan bersama dalam usaha untuk memakmur dan membangunkan negara, lebih utama berbanding kepentingan peribadi dan parti masing-masing.

“Kita bukan nak mengatakan bahawa BN merupakan sebuah gabungan parti yang terbaik atau tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi jika nak dibandingkan dengan pembangkang, bezanya seperti langit dan bumi. Dalam usaha kita untuk membangunkan negara, kita perlukan sebuah gabungan parti yang kukuh, profesional dan tidak meletakkan agenda peribadi dan kepartian melebihi kepentingan nasional.

“Inilah kelebihan yang tidak ada pada parti-parti pembangkang. Mereka bukan sahaja tidak ada permuafakatan, malah sanggup tikam-menikam rakan mereka sendiri demi untuk mencapai agenda peribadi dan kepartian masing-masing . Natijahnya, agenda kebajikan rakyat akan terpinggir kerana mereka lebih sibuk untuk berpolitik sesama sendiri daripada mengambil tahu hal ehwal rakyat.

“Saya harap agar pengundi-pengundi di Sarawak akan memilih BN untuk terus kekal sebagai parti pemerintah di negeri itu. Hanya BN saja setakat ini yang mampu membawa agenda pembangunan untuk Sarawak berbanding dengan parti di dalam pakatan pembangkang yang lebih suka membuang masa dengan tidak habis-habis berpolitik sesama mereka sendiri,” tegasnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment