Thursday, April 28, 2016
Tunku Ismail, Khairy Akhirnya Bersemuka
KUALA LUMPUR : Selepas beberapa hari isu debat di antara
Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail
Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hangat
diperkatakan, kedua-dua mereka akhirnya bersemuka hari ini.
Bagaimanapun, pertemuan yang diadakan di pusat latihan kelab Johor Darul
Ta’zim (JDT) itu tidak berlangsung ‘panas’ seperti yang dijangkakan,
sebaliknya berjalan dengan baik, malah kedua-dua mereka menyifatkan ia
sebagai pertemuan yang sangat positif.
Khairy dalam Twitter memuat naik foto pertemuan dengan Tunku Ismail
bersama kenyataan gambar: “Pertemuan yang positif bersama DYAM Tunku
Mahkota Pemangku Raja Johor hari ini. Kerjasama utk masa depan bola
sepak.”
Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) pula melaporkan,
pertemuan itu diadakan untuk membincangkan mengenai pembangunan bola
sepak tanah air.
Tunku Ismail yang juga Tunku Makhota Johor (TMJ) berkata, perjumpaan
tersebut membolehkan Khairy mendapat gambaran yang lebih jelas tentang
sukan bola sepak, terutama projek JDT serta program-program belia yang
beliau inginkan di negeri itu.
“Selepas perbincangan bersama Khairy, saya ingin mengucapkan syabas di
atas usaha dan kerja kerasnya untuk sukan dan belia di negara ini.
“Perjumpaan ini amat positif di mana kami dapat duduk semeja,
membincangkan hala tuju, berkongsi pendapat dan mendapat jalan
penyelesaian untuk memperbaiki bola sepak tanah air serta program yang
melibatkan belia,” katanya dalam Facebook JST, hari ini.
Dalam perjumpaan itu, Khairy turut dibawa melihat fasiliti dan kemudahan
yang dimiliki oleh JDT seperti pusat latihan, gimnasium serta padang
tertutup di Padang Seri Gelam.
Sebelum ini, Tunku Ismail pernah mencabar beberapa pihak, termasuk
Khairy untuk mengadakan satu perbahasan bagi mengupas dengan lebih
mendalam masalah kemerosotan bola sepak negara dan pihak yang perlu
bertanggungjawab.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment