Thursday, April 28, 2016
Adenan Mampu Laksana Banyak Lagi Inisiatif Jika Dapat Mandat Besar – Najib
KUCHING : Tan Sri Adenan Satem telah melaksanakan banyak
inisiatif sebagai Ketua Menteri Sarawak dalam tempoh dua tahun lepas dan
mampu melakukan lebih lagi jika diberi mandat besar memimpin negeri ini
untuk tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata sejak memegang tampuk kepimpinan negeri ini
pada Februari 2014, Adenan telah mengumumkan banyak dasar yang mesra
rakyat dalam tempoh yang agak singkat.
“Tidak adil kalau dia (Adenan) diberi dua tahun sahaja. Rakyat mesti
berikan dia lima tahun lagi (untuk terus melaksanakan banyak lagi
inisiatif),” katanya ketika berucap pada program Sembang Santai di pekan
Siburan, kira-kira 35km dari sini, hari ini.
Beliau berkata antara dasar yang telah dilaksanakan oleh Adenan dalam
tempoh dua tahun ini, termasuklah pemansuhan tol jalan raya dan cukai
tanah pertanian serta perumahan yang telah memberikan impak besar kepada
rakyat.
“Saya dan Tok Nan (Adenan) telah membuat aku janji untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan untuk Sarawak,” katanya.
Najib berkata perbalahan semakin ketara dalam kalangan parti
menganggotai pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kali
ini, seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat untuk terus memilih
Barisan Nasional (BN) memimpin Sarawak.
“Pada Januari lepas, DAP, PKR serta Amanah (Parti Amanah Negara)
telah membuat aku janji untuk meletakkan satu calon sahaja (bagi setiap
kawasan untuk menentang BN) tetapi hari ini, janji tinggal janji sahaja.
“Pembangkang sudah tidak bersatu hati sekarang dan bertembung sesama
sendiri di enam kerusi. Mereka tidak ada kerjasama dan tidak mungkin
dapat menubuhkan kerajaan yang stabil di Sarawak,” katanya.
Pada majlis itu, Najib sebagai Pengerusi BN turut mengisytiharkan
sokongan penuhnya kepada pencalonan Datuk Dr Jerip Susil sebagai calon
langsung BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, yang
sebelum ini dikenali sebagai DUN Bengoh.
Beliau berkata pencalonan Dr Jerip, berketurunan Bidayuh yang
merupakan antara kumpulan minoriti di Malaysia, membuktikan BN
mengamalkan prinsip inklusif untuk memberi peluang kepada semua kaum
mengambil bahagian dalam pentadbiran negara.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment