Thursday, April 28, 2016

Kedudukan Ayer Hitam Wajar Diletak Di Barisan Depan Sidang Dun Kedah, Tapi...

EDITOR MENULIS...
28 APRIL 2016
http://www.tv14.my/wp-content/uploads/2016/01/mukhriz.jpg
Beberapa rakan saya di Kedah memberitahu bahawa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah telah berlangsung. Buat pertama kali sejak bertanggungjawab merampas Kedah kembali dari PAS, Dato' Seri Ahmad Bashah mengetuai Kerajaan BN Negeri Kedah sebagai Menteri Besar.

Beliau berhak dan layak. Setelah menyinsing lengan dan perit bersilat siang malam selama 5 tahun mengepalai seluruh jentera UMNO di Kedah, Ahmad Bashah akhirnya diberikan kuasa oleh Allah SWT untuk duduk di kerusi yang sepatutnya beliau isi sejak Mei 2013 lagi.

Khabarnya mantan Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir pun hadir sama kelmarin bersidang. Kedudukan beliau tidak lagi di depan selaku Menteri Besar, sebaliknya duduk di belakang, malah tidak sebaris pun dengan barisan Exco yang teruk 'dibuli' olehnya dulu.

Saya diberitahu, Mukhriz juga ada bertanyakan soalan di sidang Dun Kedah itu. Namun merujuk pada soalan yang dikemukakan Adun Ayer Hitam itu, bunyinya seakan-akan beliau adalah salah seorang dari pembangkang!

Beliau bertanyakan status projek KXP, projek yang beliau desak Kerajaan Pusat untuk terima bulat-bulat untuk dilaksanakan di Kulim. Merengek-rengek mahu membina lapangan terbang di wilayah selatan Kedah itu...

Apa yang melucukan saya, soalan Mukhriz itu hanya dijawab secara bersahaja oleh salah seorang Exco Kerajaan Negeri. Padahal, Mukhriz mengharapkan agar soalan itu dijawab sendiri oleh Ahmad Bashah. Macam budak kecil, beliau kemudian 'merengek' di luar dewan di depan media.

Sudah dijawab, KXP sedang diteliti dan dibincangkan dengan Kerajaan Pusat. Projek berkenaan bukan bernilai RM20, tapi dijangka menelan kos berbilion ringgit duit rakyat. Jadi, haruslah diteliti dengan baik tentang 'pro dan kontra'nya.

Apakah Mukhriz tidak diajar ibu dan bapanya untuk bersabar jika berkehendakkan sesuatu? Mungkin gaya hidup 'aristokrat' yang lahir dalam 'kepuk emas' mengajar beliau untuk tidak sabar dalam mengejar kemahuannya. Itu caranya 'pemimpin berjiwa rakyat' yang tiada sabar dalam diri?

Saya ingin mencadangkan kepada Speaker Dun Kedah supaya membuat sedikit perubahan pada kedudukan kerusi Dun Ayer Hitam pada persidangan yang akan datang. Pada saya, kedudukan beliau sekarang agak tidak sesuai, terletak di bahagian belakang.

Cadangan saya apalah lah salahnya jika Speaker Dun Kedah meletakkan kedudukan Mukhriz di bahagian hadapan sidang Dun itu. Beliau bukan calang-calang orang, malah anak kepada seorang 'negarawan ulung' yang 'cemerlang, gemilang lagi terbilang'!

Kedudukan Mukhriz yang paling sesuai di dalam sidang Dun Kedah adalah di barisan hadapan. Cuma, letakkanlah beliau di sebelah pembangkang. Jadi, sekurang-kurangnya bolehlah beliau jadi 'ketua' di barisan pembangkang.

Harapnya Speaker Dun Kedah tanyalah barisan pembangkang, sama ada mereka sudi benarkan Mukhriz untuk 'menumpang' di kem mereka. Lagipun, senanglah sedikit untuk kenal pasti mereka yang membangkang. Bukan apa, agak memualkan loya jika lihat 'gunting dalam lipatan' duduk dalam kerajaan...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Seremban

No comments:

Post a Comment