Tuesday, April 26, 2016

Kerajaan Negeri Perak Kesal Insiden Ceroboh Kuil

http://static.wixstatic.com/media/629c40_24ebf2a0b18c4ae4b45c3ab25036c8b8.jpg/v1/fill/w_446,h_267/629c40_24ebf2a0b18c4ae4b45c3ab25036c8b8.jpg
IPOH : Kerajaan negeri Perak kesal dengan kejadian menceroboh dan memecahkan patung di sebuah kuil di Jalan Hospital di sini, Ahad lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kejadian itu tidak harus dibiarkan berlaku kerana ia boleh menimbulkan masalah termasuk dari segi hubungan agama dan kaum.

“Kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak yang sengaja bertindak mencetuskan huru-hara dengan perbuatan sebegini. Kita juga tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang mengambil kesempatan dengan insiden ini untuk mencetuskan perbalahan dan pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian kesepakatan akademik antara Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dan London School of Business and Management dengan kerjasama Universiti Northampton, semalam.

Ia ditandatangani oleh Rektor KUISAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi dan Pengarah London School of Business and Management, Robert Hartley. 

Zambry turut meminta semua pihak supaya bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Kita perlu bekerjasama supaya perkara sebegini tidak dimainkan berikutan ia merupakan satu isu yang sensitif berkaitan agama. Perbuatan mengganggu gugat tempat beribadat sesuatu agama tentunya akan menimbulkan bahang ketegangan sekiranya tidak dikendali dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Pada Ahad lepas, seorang suspek lelaki berumur 29 tahun telah masuk ke kawasan kuil berkenaan dengan sebuah kereta sebelum memecahkan patung di rumah ibadat itu kira-kira 5.10 petang.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment